Wednesday, 26 June 2013

Anwar Ketua Pembangkang di Parlimen

SEPERTI yang dijangkakan, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilantik semula sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat bagi Parlimen ke-13.

Ketika mengumumkan perkara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata pelantikan Anwar yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 4A (3).

“Mengikut maklum balas yang saya terima, saya berpuas hati bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebulat suara mendapat sokongan daripada anggota parlimen pembangkang di Parlimen untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.


1,000 unit rumah PPR dibina di Kota Belud


KERAJAAN akan membina 500 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kota Belud  bagi fasa pertama dan akan ditambah lagi 500 unit  untuk  fasa kedua dan perlaksanaannya akan bermula tahun ini, sebaik sahaja kementeriannya mendapat laporan lengkapberhubung  lokasi perumahaan itu," umum Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan selepas merasmikan Pesta Kaamatan Kampung Sorob Tambulion di Kota Belud, baru-baru ini.

Rahman mengatam  padi sebagai sembolik perasmian Pesta Kaamatan Kampung Sorob Tombulion. - OLEH GINDANAU SAKAT

 

RM3,000 setahun geran bantuan diberi kepada 363 Pasukan Bomba Sukarela

OLEH GINDANAU SAKAT

KOTA BELUD: Pemberian geran bantuan pentadbiran RM3,000 setahun kepada 363 Pasukan Bomba Sukarela di seluruh negara membuktikan kerajaan menghargai serta prihatin terhadap semua usaha yang disumbangkan pasukan itu kepada negara.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata selain itu setiap anggota pasukan bomba sukarela pula diberikan perlindungan insuran bernilai RM15,000 jika ditimpa kemalangan atau kematian.

"Inisiatif itu bertujuan memberi perlindungan serta sokongan kepada anggota pasukan bomba sukarela supaya lebih bersemangat dalam memberi perkhidmatan cekap dan berkesan kepada masyarakat.
 "Saya berbangga kerana statistik menunjukkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Sabah mempunyai 39 pasukan bomba sukarela berdaftar dan aktif.

"Lebih membanggakan lapan pasukan bomba sukarela itu berdaftar dan aktif di Kota Belud," katanya ketika menutup Konvensyen Pasukan Bomba Sukarela Peringkat Negeri 2013, di Dewan Tun Said, di sini, baru-baru ini.

Abdul Rahman yang juga Anggota Parlimen Kota Belud berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kini mempunyai 363 pasukan bomba sukarela seluruh negara membabitkan 15,787 orang anggota.

Katanya, ia adalah satu pencapaian membanggakan kerana kewujudan pasukan bomba sukarela, dapat membantu pasukan bomba menghadapi bencana alam, selain meningkatkan kesedaran terhadap aspek keselamatan di komuniti terbabit.

"Setiap keperluan pasukan bomba sukarela akan dinilai sebaiknya supaya keutamaan dapat diberikan kepada yang amat memerlukan terlebih dahulu," katanya.


Sehubungan itu, tambahnya, kementeriannya ingin melihat pasukan bomba sukarela bergerak maju seiring pembangunan negara dan setaraf pasukan bomba sukarela di negara maju.

Tuesday, 25 June 2013

Suara anggota polis dikenal pasti dalam pintasan bualan telefon


DITUDUH ... Hassan (tengah) dari Semporna dituduh dengan sengaja menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan keganasan di pejabat Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, antara Januari dan 3 Mac tahun ini.

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu suara dalam dua perbualan telefon yang dipintas dikenal pasti sebagai suara anggota polis yang sedang dibicarakan bagi kesalahan berkaitan pencerobohan pengganas Sulu di pantai timur Sabah.

Saksi kedua yang dilindungi itu berkata beliau mengecam suara Detektif Koperal Hassan Ali Basari dalam komunikasi yang dipintas sebelum ini di mana tertuduh memperkenalkan identiti dirinya.

Hassan dari Semporna dituduh dengan sengaja menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan keganasan di pejabat Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, antara Januari dan 3 Mac tahun ini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Saksi berkenaan berkata pada 2 Mac tahun ini, Hassan dihubungi seorang lelaki Sabah pukul 7.37 malam untuk bertanyakan jika satu peperangan sudah berlaku dan Hassan mengiyakannya.

Saksi berkata menurut perbualan telefon yang diterjemahkannya itu, lelaki Sabah tersebut memaklumkan dia ada menghubungi Filipina dan mengatakan lebih 400 orang akan memasuki Sabah dari Bongao, Filipina.

Dalam perbualan telefon yang dipintas pada 3 Mac tahun ini, Hassan sekali lagi dihubungi lelaki Sabah terbabit pada pukul 9.28 pagi untuk memberitahu maklumat yang diperolehnya melalui internet mengatakan jumlah penceroboh mencecah angka ribu dan memerlukan sokongan kewangan yang banyak.

Menurut saksi itu, Hassan memaklumkan lelaki Sabah berkenaan, Amerika Syarikat menyokong pencerobohan itu, termasuk bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis Sabah Zulkifli Abd Aziz memberitahu mahkamah maklumat dalam pintasan komunikasi antara tertuduh dengan lelaki Sabah tersebut penting untuk keselamatan negara.

Ketika Zulkifli memegang jawatan Timbalan Ketua Cawangan Khas 1 di Sabah, beliau berkata Hassan turut terlibat dalam risikan ancaman pengganas Sulu di Lahad Datu.

Katanya, tertuduh dipilih dalam tugas risikan ancaman pengganas Sulu kerana kebolehannya berbahasa Bajau dan Suluk dan mempunyai ramai kenalan dari kalangan suku kaum tersebut di Lahad Datu.

Beliau juga menafikan pernah menerima maklumat mengenai ancaman pengganas Sulu atau kegiatan keganasan di Kampung Tanduo, Lahad Datu oleh tertuduh.

Menurutnya, maklumat mengenai sebarang ancaman terhadap keselamatan negara yang diperoleh anggota polis Cawangan Khas di peringkat daerah perlu segera dilaporkan kepada ketua Cawangan Khas daerah.

Tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohamad Chinki dan Ram Singh, manakala Datuk Nordin Hassan mengetuai pihak pendakwaan.

Turut hadir isteri dan dua anak tertuduh.

Perbicaraan di hadapan Hakim P. Ravinthran bersambung esok.



PDRM manfaatkan perayaan kongsi maklumat cegah jenayah

PENAMPANG: Dengan berpaksikan tema Pesta Kaamatan 2013 – ‘Muhibah Dan Persefahaman Melalui Kaamatan', pihak pasukan polis kontinjen Sabah akan  memanfaatkan semasa perayaan bertemu masyarakat untuk berkongsi maklumat berhubung isu kepolisan sebagai alternatifnya menurunkan kadar jenayah di negara ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib, berkata perjumpaan semasa sambutan perayaan adalah pendekatan dan langkah terbaik untuk pasukan polis bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat dan turut sama meraikan perayaan kaum lain di negara ini.

"Menurunkan kadar jenayah ke arah sifar bukan sesuatu yang mustahil jika ada usaha dan kerjasama, kita semua mampu lakukan," katanya ketika berucap pada perasmian sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Polis Sabah, di sini malam tadi.

Hamza juga menyeru kepada semua supaya membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menyalurkan apa saja maklumat demi memastikan keselamatan dan keharmonian negara terpelihara.              


Monday, 24 June 2013

Pesta Kokotuan 2013 bakal tonjol kebudayaan asli Tindal

ALBUM … James Bagah (tengah) bergambar bersama beberapa peserta Unduk Kokotuan Tindal 2013 di Rumah Terbalik Tampaluri selepas mengadakan sidang akhbar.



PESERTA UNDUK KOKOTUAN … Sebahagian daripada 20 peserta pertandingan Unduk Kokotuan Tindal 2013 merakam gambar sempena Sidang Akhbar Usto di Rumah Terbalik Tamparuli.

KOTA BELUD: Pesta Kokotuan Tindal 2013 akan menonjolkan pelbagai acara kebudayaan asli Tindal di negeri ini di Dewan Kampung Tambulion Laut, dekat sini, pada 29 Jun ini.

Pesta Kokotuan Tindal atau Pesta Kaamatan Tindal anjuran Persatuan Tindal Bersatu Sabah (Usto) dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia  merangkap Ahli Parlimen  Kota Belud, Datuk Abdul Rahman  Dahlan.

Menurut Presiden Usto, James Bagah, pelbagai  acara menarik telah disediakan antaranya  sukan tradisi seperti pertandingan tarik tali, lumba lari menarik pasangan di atas daun pinang yang akan dijayakan oleh peserta dari enam zon iaitu, Zon Warriou, Zon Tempasuk, Zon Bangkahak, Zon Kabayau, Zon Kelawat dan Zon Rosok.  

Selain itu, katanya, pertandingan masakan tradisi dan minuman tradisi juga turut diadakan
Tema Pesta Kokotuan Tindal 2013 ialah ‘Kokotuan Teras Perpaduan’.

James berkata, kemuncak perayaan ialah pertandingan Unduk Kokotuan (Ratu Cantik) dimana 20 peserta terdiri daripada gadis gadis etnik Tindal lengkap dengan pakaian tradisi dipanggil ‘sinipak’.

James berkata demikian ketika sidang akhbar Usto di Rumah Terbalik Tamparuli pada Ahad lepas yang turut dihadiri Ahli Jawatankuasa Usto Pusat antaranya Timbalan Presiden Usto, Sigam Salimun, Bendahari Usto, James Suali, Pengerusi Perayaan, Juali Asim dan dan 20 peserta Unduk Kokotuan Tindal 2013.

Selain itu, katanya, para pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan tiket tuah seperti motorsikal, TV Plasma, basikal, telefon bimbit, barangan elektrik dan hamper.
Sementara itu, Jemes mengingatkan kepada pembeli tiket makan malam (Sodop Unduk Kokotuan) pada 27 Jun  di Dewan Tun Said Kota Belud supaya datang lebih awal untuk mengelakkan kesesakan.

Untuk keterangan lanjut boleh menghubungi James Bagah – (0138515151), Juali Asim – (01126691012), Sigam Salimun – (01116514765), James Suali – (0165865581) dan Patricia Budik – (0146579316).

Beliau juga mempelawa orang ramai di seluruh pelusuk negeri khususnya masyarakat yang tinggal berhampiran dengan daerah Kota Belud supaya datang beramai-ramai untuk memeriahkan lagi sambutan perayaan itu.





Friday, 21 June 2013

Peguam bukan Islam dibenar bertindak sebagai peguam syarie

PUTRAJAYA: Peguam bukan Islam dibenarkan bertindak sebagai peguam syarie di semua mahkamah syariah di Wilayah Persekutuan, demikian diputuskan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Ini berikutan pengisytiharan Perkara 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1983 mewajibkan mereka yang beragama Islam sahaja layak memohon sebagai peguam syarie telah melampaui batasan undang-undang (ultra vires) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin turut berpendapat bahawa perkataan 'mana-mana orang' yang dinyatakan dalam Seksyen 59(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 adalah termasuk orang-orang yang bukan Islam.

Seksyen 59(1) menyatakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) boleh menerima mana-mana orang yang mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang hukum Syarak menjadi peguam syarie bagi mewakili pihak-pihak dalam apa-apa prosiding di dalam Mahkamah Syariah.

"Jika niat badan perundangan adalah untuk menghalang orang bukan Islam diterima sebagai peguam syarie, maka ia harus dinyatakan dalam akta itu," kata Abu Samah yang bersidang bersama hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Aziah Ali.
               
 Abu Samah berkata MAIWP telah bertindak melampaui kuasa apabila ia menggubal Perkara 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1983.

Beliau berkata ia adalah pandangan mahkamah bahawa MAIWP tidak diberi kuasa untuk membuat peraturan-peraturan yang tidak selaras dengan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan).


Panel tersebut membuat keputusan bersejarah itu apabila membenarkan rayuan seorang wanita Kristian, Victoria Jayaseele Martin, memohon untuk mengetepikan keputusan MAIWP menolak permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie atas alasan beliau adalah bukan Islam.

Victoria, 51, yang memperoleh Diploma dalam Undang-undang dan Amalan Syariah (DSLP) pada 2004 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), memfailkan rayuan selepas permohonan semakan kehakiman ditolak oleh Mahkamah Tinggi yang berpendapat MAIWP mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk menetapkan peraturan menerima peguam syarie.

 Abu Samah membenarkan dua lagi perintah yang dipohon oleh Victoria.

Perintah tersebut ialah perintah 'certiorari' bagi membatalkan keputusan MAIWP untuk enggan memproses permohonan beliau untuk diterima sebagai peguam syarie.

Selain itu perintah 'mandamus' bagi memaksa MAIWP menerima dan memperoses permohonan beliau untuk diterima sebagai peguam syarie tanpa mengambil hakikat bahawa beliau adalah seorang bukan Islam.

Beliau berkata permohonan Victoria telah dinafikan tanpa proses yang diberikan kepadanya kerana beliau bukan seorang Islam.

Bagaimanapun, Abu Samah membenarkan permohonan peguam MAIWP Datuk Sulaiman Abdullah untuk menangguhkan pelaksanaan kedua-dua perintah tersebut sementara menunggu permohonan MAIWP dan Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 2009, Victoria berkata melalui surat bertarikh 24 Ogos, 2009, beliau memohon untuk diterima sebagai peguam syarie di Wilayah Persekutuan.

Katanya permohonannya ditolak oleh Jawatankuasa Peguam Syarie pada 9 Sept 2009 dengan alasan bahawa permohonannya tidak dapat diproses kerana syarat utama pemohon mesti merupakan seorang Islam.