KELOMPOK TANAH BERGERAN KECIL ...inilah kawasan tanah bergeran kecil seluas 5,665 ekar milik sebuah syarikat lain yang dikatakan termasuk di dalam tanah syarikat FMU.
KOTA KINABALU: Bukan 42,000 hektar tetapi 60,000 hektar tanah anak negeri (NCR) di daerah Kota Marudu dan Pitas kena ‘ngap’.
Itulah perkataan yang terpacul di bibir seorang aktivis masyarakat, Jaipin Mohigal yang terkejut setelah menerima maklumat baru jumlah keluasan tanah-tanah anak negeri yang dipohon/diambil oleh sebuah syarikat besar.
Bukan alang-alang, katanya, hampir seluruh kawasan tanah anak negeri di daerah Kota Marudu dan Pitas jatuh ke tangan syarikat itu, ianya berlaku tanpa disedari oleh penduduk kampung yang telah mendiami dan meneroka kawasan itu sejak leluhur mereka lagi.
Malang sekali, katanya lagi, tindakan syarikat itu dikatakan mendapat sokongan daripada kerajaan negeri untuk mengambil tanah NCR yang kononnya untuk tujuan pemuliharaan hutan simpan (FMU). Di mana sebuah agensi kerajaan juga terlibat sama dalam projek FMU tersebut.
Beliau juga mempertikaikan, tentang jumlah keluasan tanah yang diukur itu kerana dalam permohonan asal syarikat itu pada tahun 2000 hanya seluas 42,000 hektar atau 105,000 ekar (Bil. Permohonan 2004230359) dan diukur melalui udara (Air Survey). Ini merujuk kepada artikel yang disiarkan oleh akhbar ini pada 29 Oktober 2011.
Syarikat berkenaan juga sudah menjelaskan premium tanah sebanyak RM2.5 juta.
Jaipin berkata, isunya ialah bagaimana keluasaan tanah NCR yang dipohon bertambah 60,000 hektar, sedangkan permohonan asal syarikat itu adalah 42,000 hektar.
Beliau memberitahu, bahawa syarikat itu bersama dengan sebuah agensi kerajaan telah diberi kelulusan untuk ‘Tree Plantation And Forest Management’ seluas 60,000 hektar oleh Kerajaan Negeri di daerah Kota Marudu dan Pitas melalui surat Jabatan Tanah dan Ukur Bil. LS.2201.1.1075(vol 2)/160 bertarikh 12 September 2006.
Katanya, sebaik menerima kelulusan, syarikat itu telah melantik sebuah firma untuk menjalankan kerja-kerja pengukuran dan penandaan sempadan tanah seluas 60,000 hektar tersebut.
Surat Arahan Ukur (RSP.2007229011) yang dikeluarkan oleh Juruukur Daerah Pantai Barat (Utara), Kota Kinabalu melalui surat jabatan itu Ruj. DSWC(N):1.2.24/R/Vol.VII/(114) bertarikh 26 September 2007.
Jaipin berkata, firma itu telah diberi tempoh lapan (8) bulan untuk menyiapkan kerja-kerja pengukuran dan penandaan, membabitkan lapan orang juruteknik dan pembantu menggunakan empat buah kenderaan pacuan empat roda.
Bagaimanapun, katanya, pekerja-pekerja firma itu dihalang oleh penduduk-penduduk kampung (Kg Melangkap dan Kg Tagayamut Kota Marudu) ketika melakukan tugas mereka di kawasan tanah yang diluluskan setelah diberitahu tujuan mereka berada di kawasan itu.
Berikutan insiden itu, tambahnya, firma itu telah ‘menghentikan’ kerja-kerja pengukuran dan penandaan melalui darat sebaliknya pihak kerajaan dan syarikat menjalankan kerja-kerja pengukuran dan penandaan melalui udara (Air Survey).
Terdahulu, sebelum membuat kerja-kerja penyukatan, firma itu telah menulis surat Ruj.5-10-22 /686/23 bertarikh 16 Oktober 2007 ditujukan kepada Pegawai Daerah/Penolong Pemungut Hasil Tanah, Kota Marudu, Pegawai Polis Daerah, Kota Marudu dan Pejabat Juruukur Daerah, Kota Marudu dan salinan kepada Wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung untuk memaklumkan kerja-kerja pengukuran di tanah itu.
Jaipin berkata, apa yang menimbulkan ketidakpuashatian di kalangan penduduk ialah, mereka telah tinggal di kawasan tanah NCR itu sejak sekian lama tetapi telah dianaktirikan oleh kerajaan. Usaha mereka untuk memohon tanah juga tidak pernah diluluskan.
Beberapa penduduk tempatan antaranya WKAN Kuntinggan Singgaran yang mewkili 1,500 penduduk memohon tanah NCR seluas 4,500 ekar melibatkan enam buah kampung dalam Mukim Simpangan dan Marak-Parak Kota Marudu.
Enam buah kampung itu ialah Kg Natu, Kg Paliu Sumbuh, Kg Malangkap Darat, Kg Malangkap Tengah, Kg Mogis dan Kg Wokok Kota Marudu.
Isang Rawai telah mengemukakan permohonan tanah NCR seluas 750 ekar di Kampung Natu, Martha Madaun (600 ekar) dan mendiang Gintulu Kapal seluas 200 ekar serta beberapa orang lagi. Semua permohonan mereka tidak diluluskan oleh pihak berkuasa berkenaan.
Sementara itu, WKAN Kuntinggan Singgaran ketika dihubungi kelmarin memberitahu, beliau telah mengemukakan permohonan tanah NCR sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1970, 1998 dan 2006 setelah tidak mendapat respons daripada pihak Juruukur Daerah Pantai Barat Utara.
Bagaimanapun, katanya, setelah menunggu sekian lama pihak Juruukur Daerah Pantai Barat Utara akhirnya mengeluarkan surat yang menyatakan bahawa permohonan beliau itu tidak dapat diproses.
Kuntinggan berkata, alas an yang diberikan oleh pihak Juruukur Daerah ialah kononnya kawasan yang beliau pohon bertindih/termasuk di dalam kawasan syarikat FMU dan berada dalam kawasan tadahan air Sungai Kanarom.
Beliau juga mempertikaikan alas an-alasan itu kerana terdapat permohonan tanah bergeran kecil seluas 5,665 ekar diluluskan atas nama sebuah syarikat yang bersempadan dengan tanah yang beliau pohon telah mendapat geran tanpa sebarang masalah.
“Ada beberapa kawasan lagi tanah yang dimiliki oleh syarikat-syarikat lain di Mukim Marak-Parak telah mendapat geran tanah daripada Jabatan Tanah Dan Ukur Kota Kinabalu dan tidak pula berstatus tadahan air Sungai Kanarom,” tambanya.
“Kenapa hanya permohonan tanah daripada penduduk tempatan diberikan status sedemikian dan tidak kepada syarikat-syarikat besar,” ujarnya.
Walaupun kecewa dengan keputusan itu, beliau tetap berjuang supaya permohonan tanah seluas 4,500 ekar dalam Mukim Simpangan dan Marak-Parak diluluskan bagi membolehkan penduduk dan anak cucu mereka terjamin masa depan.
Katanya, apa yang penting dilakukan kerajaan ialah mengeluarkan tanah-tanah adat kampung dalam kawasan mukim berkenaan daripada kawasan syarikat FMU dan membatalkan cadangan tadahan air Sungai Kanarom.
“Bayangkan jika berlaku pertikaian tanah adat, ladang, tanah perkuburan di kalangan penduduk, tidak ada siapa yang boleh membantu menyelesaikannya kerana tanah di mana mereka duduki itu bukan lagi milik mereka. Kita tidak boleh buat sesuatu dengan sesuka hati,” tegasnya.
“Atas sebab itulah saya merayu kepada kerajaan supaya membenarkan penduduk tempatan memiliki tanah sendiri yang bergeran untuk kelansungan hidup anak cucu kami,” katanya.