OLEH RAPHIEL PINUS
BERUCAP ... Peter semasa berucap di majlis perjumpaan itu. |
KOTA MARUDU: Masalah berhubung kekurangan kemudahan asas dihadapi
penduduk Kampung Pampang Poring (kira-kira 25 kilometer dari sini) mendapat
perhatian awal daripada Persatuan Anak Negeri Sabah (Pansa) yang melawat
kampung itu, baru-baru ini.
Presiden Pansa Peter Gibin yang mengetuai rombongan
terdiri daripada Ketua Biro Pansa Kota Marudu Ahzveens Akian, Ketua Perhubungan
Pansa Kampung Soronsob Unggak Modiu dan beberapa ahli jawatankuasa Pansa Pusat
dalam kunjungan itu berpendapat, punca utama masalah berkenaan
adalah jalan raya yang tidak sempurna.
Tanpa meragui kemampuan pemimpin dan kerajaan dalam
mengatasi masalah terbabit, beliau percaya pihak kerajaan dan agensi berkaitan
memberi perhatian khusus serta mengambil langkah perlu untuk menyediakan sistem
perhubungan yang baik ke kampung berkenaan.
“Saya berkeyakinan seandainya jalan raya ke kampung itu dinaik taraf,
permasalahan di kampung itu boleh diatasi secara berperingkat termasuk
meningkatkan ekonomi penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis perjumpaan dan
ramah mesra bersama penduduk di kampung berkenaan pada kunjungan itu.
Ujar beliau, dengan adanya sistem perhubungan yang
sempurna setiap pembangunan ke kampung itu dapat dilaksanakan dengar lancar.
“Keadaan jalan raya yang teruk dan mengalami banyak
kerosakan dan hanya boleh dilalui kenderaan tertentu akan membantutkan usaha
kerajaan untuk memberi pembelaan kepada rakyat khususnya di kawasan terpencil
seperti Kampung Pampang Poring,” katanya lagi.
Beliau memberi komennya terhadap keadaan jalan raya untuk
ke kampung itu yang mengalami kerosakan teruk dan seolah kurang
penyelenggaraan.
Selaras dengan peranan Pansa menyokong usaha kerajaan
meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya di luar bandar, Peter berkata
pihaknya akan mengajukan masalah berkenaan ke pihak berwajib untuk tindakan
selanjutnya.
“Kami berharap pihak berkaitan memberi pertimbangan
seterusnya mengambil tindakan sewajarnya sejurus menerima aduan,” katanya.
“Adalah menyedihkan apabila menyaksikan nasib segelintir
anak negeri Sabah masih berada di takuk lama walaupun di sekeliling mereka
sudah banyak pembangunan dicapai sejak negara merdeka lebih 50 tahun lalu,”
katanya.
Untuk ke Kampung Pampang Poring, penduduk juga
merisikokan keselamatan apabila terpaksa menyeberangi dua sungai, Sungai Torintidon
dan Sungai Pampang Poring (Gontoi) kerana tidak mempunyai jambatan untuk
kenderaan.
Pansa yang ditubuhkan kira-kira empat tahun lalu kini
mempunyai sekitar 6,000 ahli di seluruh negeri terdiri daripada kalangan
anak-anak negeri Sabah.
Usaha kukuhkan ekonomi
Berucap pada majlis sama, beliau menggesa penduduk
kampung itu mengambil langkah setapak di hadapan dengan mengusahakan tanah
warisan mereka dijadikan ladang.
“Kamu (penduduk) boleh mengusahakan sebidang tanah
masing-masing sekurang-kurangnya lima ekar dengan tanaman kelapa sawit sebagai
permulaan,” katanya.
Berhubung bantuan kepada penduduk mengusahakan ladang
mereka, Peter berkata Pansa akan
membantu dari segi penyediaan bekalan bibit sawit dan kerja-kerja sokongan lain
setimpal kemampuan persatuan itu.
Gesaan yang sama turut diberikan kepada penduduk yang
berminat mengusahakan tanah mereka dengan tanaman getah.
Beliau juga menasihati ibubapa supaya tidak mengabaikan
kepentingan pendidikan anak-anak mereka dan menegaskan, kejayaan anak-anak
dalam pelajaran mampu mengubah taraf hidup keluarga.
Peter menegaskan, ekonomi anak negeri perlu diperkukuh
supaya mampu setanding dengan masyarakat kaum lain di negara ini dan pendidikan
adalah antara faktor kepada kemajuan itu.
“Masalah kos bukan lagi alasan untuk mengenepikan
pendidikan anak-anak. Kerajaan juga banyak membantu dalam penyediaan pendidikan
sempurna kepada rakyat,” tegas beliau.
Sementara itu, mengulas lawatan Pansa ke kampung Pampang
Poring, Ahzveen berkata progam berkenaan sebagai langkah ‘turun padang ‘ Pansa
selain melihat perkembangan bantuan diberikan persatuan berkenaan sebelum ini.
Antara lain, Pansa menerusi Ketua Biro Pansa Kota Marudu
telah menyumbang sebuah generator, zink dan peralatan alat kelengkapan dapur
untuk kegunaan penduduk.
Susulan permohonan oleh penduduk untuk mendapatkan set
alat muzik bagi keperluan rumah ibadat di situ, Pansa mengumumkan sumbangan
tersebut dan akan disampaikan pada Majlis Hari Keluarga Pansa Peringkat Kota
Marudu, diadakan hari ini di Dewan Masyarakat Kota Marudu.
Pengisian bermanfaat
Sementara itu, pada Majlis Hari Keluarga Pansa yang
dilangsungkan hari ini anjuran Biro Pansa Kota Marudu, pelbagai pengisian
bermanfaat dilaksanakan antaranya berkaitan peranan Pansa dalam membela para
ahli dan perkongisan mengenai usahasama penanaman sawit disampaikan usahawan
tempatan berjaya Linus Gonsilou, penanaman lada oleh wakil Lembaga Lada
Malaysia (Sarawak) serta Pendidikan
Komuniti Luar Bandar oleh wakil daripad Pacos Trust.
Selain itu penerangan mengenai Tanah Adat Anak Negeri
(NCR) oleh seorang peguam yang diundang khas oleh penganjur.
Turut diadakan penyampaian sumbangan dari Pansa
membabitkan zink dan alat muzik untuk penduduk Kampung Pampang Poring,
penyerahan sumbangan peralatan sekolah kepada 50 pelajar sekolah rendah dan pelancaran Usahasama Penanaman Sawit oleh
Presiden Pansa Peter Gibin.
Program ini juga akan dimeriahkan dengan persembahan
Tarian Sumirit oleh kaum ibu dari Kampung Soronsob, Kota Marudu.
PUNCA MASALAH .... Keadaan jalan raya tidak sempurna membantutkan usaha membawa pembangunan ke Kampung Pampang Poring. |
SUKAR DILALUI ... sebahagian jalan raya yang rosak dan tidak sempurna ke kampung itu. |
BERBUAL ... Peter (kanan) dan Azhveens berbual dengan seorang penduduk berlatar belakangkan balai raya di kampung itu yang sudah usang. |
TURUT MINTA PERHATIAN .... Peter (kiri) semasa meninjau ke rumah seorang daripada penduduk kampung berkenaan. |