Thursday, 21 June 2012

Jalan raya ‘neraka’ tagih nyawa penduduk Kg Pampang Poring

(Laporan Khas Bahagian Akhir)


OLEH RAPHIEL PINUS

BERUCAP ... Peter  semasa berucap
di majlis perjumpaan itu.
KOTA MARUDU: Masalah berhubung kekurangan kemudahan asas dihadapi penduduk Kampung Pampang Poring (kira-kira 25 kilometer dari sini) mendapat perhatian awal daripada Persatuan Anak Negeri Sabah (Pansa) yang melawat kampung itu, baru-baru ini.
Presiden Pansa Peter Gibin yang mengetuai rombongan terdiri daripada Ketua Biro Pansa Kota Marudu Ahzveens Akian, Ketua Perhubungan Pansa Kampung Soronsob Unggak Modiu dan beberapa ahli jawatankuasa Pansa Pusat dalam  kunjungan itu  berpendapat, punca utama masalah berkenaan adalah jalan raya yang tidak sempurna.
Tanpa meragui kemampuan pemimpin dan kerajaan dalam mengatasi masalah terbabit, beliau percaya pihak kerajaan dan agensi berkaitan memberi perhatian khusus serta mengambil langkah perlu untuk menyediakan sistem perhubungan yang baik ke kampung berkenaan.
“Saya berkeyakinan seandainya jalan  raya ke kampung itu dinaik taraf, permasalahan di kampung itu boleh diatasi secara berperingkat termasuk meningkatkan ekonomi penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis perjumpaan dan ramah mesra bersama penduduk di kampung berkenaan pada kunjungan itu.
Ujar beliau, dengan adanya sistem perhubungan yang sempurna setiap pembangunan ke kampung itu dapat dilaksanakan dengar lancar.
“Keadaan jalan raya yang teruk dan mengalami banyak kerosakan dan hanya boleh dilalui kenderaan tertentu akan membantutkan usaha kerajaan untuk memberi pembelaan kepada rakyat khususnya di kawasan terpencil seperti Kampung Pampang Poring,” katanya lagi.
Beliau memberi komennya terhadap keadaan jalan raya untuk ke kampung itu yang mengalami kerosakan teruk dan seolah kurang penyelenggaraan.
Selaras dengan peranan Pansa menyokong usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya di luar bandar, Peter berkata pihaknya akan mengajukan masalah berkenaan ke pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya.
“Kami berharap pihak berkaitan memberi pertimbangan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya sejurus menerima aduan,” katanya.
“Adalah menyedihkan apabila menyaksikan nasib segelintir anak negeri Sabah masih berada di takuk lama walaupun di sekeliling mereka sudah banyak pembangunan dicapai sejak negara merdeka lebih 50 tahun lalu,” katanya.
Untuk ke Kampung Pampang Poring, penduduk juga merisikokan keselamatan apabila terpaksa menyeberangi dua sungai, Sungai Torintidon dan Sungai Pampang Poring (Gontoi) kerana tidak mempunyai jambatan untuk kenderaan.
Pansa yang ditubuhkan kira-kira empat tahun lalu kini mempunyai sekitar 6,000 ahli di seluruh negeri terdiri daripada kalangan anak-anak negeri Sabah.

Usaha kukuhkan ekonomi

Berucap pada majlis sama, beliau menggesa penduduk kampung itu mengambil langkah setapak di hadapan dengan mengusahakan tanah warisan mereka dijadikan ladang.
“Kamu (penduduk) boleh mengusahakan sebidang tanah masing-masing sekurang-kurangnya lima ekar dengan tanaman kelapa sawit sebagai permulaan,” katanya.
Berhubung bantuan kepada penduduk mengusahakan ladang mereka, Peter berkata Pansa  akan membantu dari segi penyediaan bekalan bibit sawit dan kerja-kerja sokongan lain setimpal kemampuan persatuan itu.
Gesaan yang sama turut diberikan kepada penduduk yang berminat mengusahakan tanah mereka dengan tanaman getah.
Beliau juga menasihati ibubapa supaya tidak mengabaikan kepentingan pendidikan anak-anak mereka dan menegaskan, kejayaan anak-anak dalam pelajaran mampu mengubah taraf hidup keluarga.
Peter menegaskan, ekonomi anak negeri perlu diperkukuh supaya mampu setanding dengan masyarakat kaum lain di negara ini dan pendidikan adalah antara faktor kepada kemajuan itu.
“Masalah kos bukan lagi alasan untuk mengenepikan pendidikan anak-anak. Kerajaan juga banyak membantu dalam penyediaan pendidikan sempurna kepada rakyat,” tegas beliau.
Sementara itu, mengulas lawatan Pansa ke kampung Pampang Poring, Ahzveen berkata progam berkenaan sebagai langkah ‘turun padang ‘ Pansa selain melihat perkembangan bantuan diberikan persatuan berkenaan sebelum ini.
Antara lain, Pansa menerusi Ketua Biro Pansa Kota Marudu telah menyumbang sebuah generator, zink dan peralatan alat kelengkapan dapur untuk kegunaan penduduk.
Susulan permohonan oleh penduduk untuk mendapatkan set alat muzik bagi keperluan rumah ibadat di situ, Pansa mengumumkan sumbangan tersebut dan akan disampaikan pada Majlis Hari Keluarga Pansa Peringkat Kota Marudu, diadakan hari ini di Dewan Masyarakat Kota Marudu.

Pengisian bermanfaat

Sementara itu, pada Majlis Hari Keluarga Pansa yang dilangsungkan hari ini anjuran Biro Pansa Kota Marudu, pelbagai pengisian bermanfaat dilaksanakan antaranya berkaitan peranan Pansa dalam membela para ahli dan perkongisan mengenai usahasama penanaman sawit disampaikan usahawan tempatan berjaya Linus Gonsilou, penanaman lada oleh wakil Lembaga Lada Malaysia (Sarawak)  serta Pendidikan Komuniti Luar Bandar oleh wakil daripad Pacos Trust.
Selain itu penerangan mengenai Tanah Adat Anak Negeri (NCR) oleh seorang peguam yang diundang khas oleh penganjur.
Turut diadakan penyampaian sumbangan dari Pansa membabitkan zink dan alat muzik untuk penduduk Kampung Pampang Poring, penyerahan sumbangan peralatan sekolah kepada 50 pelajar sekolah rendah  dan pelancaran Usahasama Penanaman Sawit oleh Presiden Pansa Peter Gibin.
Program ini juga akan dimeriahkan dengan persembahan Tarian Sumirit oleh kaum ibu dari Kampung Soronsob, Kota Marudu.
PUNCA MASALAH .... Keadaan jalan raya tidak sempurna membantutkan usaha membawa pembangunan ke Kampung Pampang Poring.

SUKAR DILALUI ...  sebahagian jalan raya yang rosak dan tidak sempurna ke kampung itu.
BERBUAL ... Peter  (kanan) dan Azhveens berbual dengan seorang penduduk berlatar belakangkan balai raya di kampung itu yang sudah usang.
TURUT MINTA PERHATIAN .... Peter (kiri) semasa meninjau ke rumah seorang daripada penduduk kampung berkenaan.




1 comment:

  1. Anak Negeri Sabah perlu bangkit bersama, suda tiba masanya

    ReplyDelete