![]() |
Dompok, Pairin dan Kurup memancak 'Tiang TATABA' sebagai lambang mereka sah Bersatu dalam perjuangan memantapkan masyarakat KDM di Sabah. |
PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata insiden pencerobohan di Lahad Datu bukan sendiwara politik tetapi merupakan sebahagian dari “grand design” pihak tertentu untuk menjejas kedaulatan negara ini.
Beliau berkata,
insiden itu mengingatkan semua pihak bahawa ancaman musuh wujud dan nyata.
“Saya amat terkilan dengan kenyataan pihak tertentu yang menghina dan
mempersoal status masyarakat KDM di negeri Sabah sebagai penduduk asal negeri
Sabah ini.
“Mereka berselindung di bawah badan-badan bukan kerajaan yang tidak
diketahui agenda sebenar. Saya tekankan PBS berpegang teguh kepada definasi
anak negeri yang digubal oleh kerajaan dan termaktub dalam perlembagaan,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Gelombang Tataba gabungan
Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan
Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah
(PBRS), di Hongkod Koisaan KDCA, di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden Upko Tan Sri Bernard Dompok, Presiden PBRS Tan Sri
Joseph Kurup dan semua ahli jawatankuasa tertinggi parti berkenaan.
Pairin berkata, penceroboh yang menceroboh negeri ini tidak berhak untuk
memijak bumi Sabah.
“Ada musuh negara menggambarkan bahawa pendatang asing dari luar Sabah
yang menceroboh masuk secara haram adalah penduduk asal negeri Sabah. Pendirian
PBS mengenai perkara ini jelas. Warga negara asing tidak berhak terhadap negeri
Sabah walau seinci pun.
“Kedaulatan sesebuah negara bukan terletak kepada tuntutan politik yang
sudah lapuk tetapi haruslah berdasarkan kepada kehendak rakyat yang menduduki
sesebuah wilayah negara tersebut,” katanya.
Katanya kedaulatan negeri Sabah terletak kepada rakyat Malaysia yang
tinggal dan menetap di negeri Sabah.
“Soal siapa pemilik negeri Sabah tidak perlu dibahas lebih panjang. Negeri Sabah dimiliki rakyat Malaysia di
Sabah dan mereka sudah menentukan masa depan mereka apabila menyertai gagasan
Malaysia dalam tahun 1963,” katanya.
Pairin berkata, dalam konteks ini, PBS telah bekerjssama dan akan terus
memberi kerjasama dengan parti-parti komponen dalam BN termasuk Umno, Upko,
PBRS, LDP, Gerakan, MCA, dan MIC untuk menjayakan pencapaian matlamat penubuhan
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin.
“PBS juga akan bekerjasama dengan UPKO dan PBRS memastikan masyarakat
KDM tidak akan terpinggir. Kita akan menggagalkan percubaan atau agenda untuk
menukar demografi politik Sabah,” katanya.
No comments:
Post a Comment