Sunday, 24 March 2013

Masyarakat KDM diajak bersatu sokong calon BN



BERSATU  KITA ... Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (depan tengah), Presiden UPKO, Tan Sri Bernard Dompok (dua, kanan) dan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup (tiga, kiri) melaungkan slogan 'Bersatu Kita' sambil mengangkat tangan serta diikuti oleh para penyokong selepas Majlis Pelancaran Gelombang Tataba (perpaduan) di Dewan Kebudayaan Hongkod Koisan (KDCA), dekat Penampang, hari ini.
Majlis tersebut merupakan julung kali diadakan bagi mengeratkan perpaduan di antara parti Kadazan Dusun Murut.

PENAMPANG: Tiga pemimpin Kadazandusun Murut (KDM) mengajak rakyat di negeri ini khususnya masyarakat KDM supaya bersatu dan memberikan sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), yang dijangka sengit dalam sejarah politik negara.

Menurut Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Murut Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok dan Presiden Parti Bersatu Rakya Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup, sokongan masyarakat KDM terhadap kerajaan BN amat penting untuk kesinambungan pembangunan seterusnya memastikan keselamatan dan keamanan sentiasa terpelihara.

“Sebab itu, masyarakat KDM perlu memberikan sokongan penuh kepada BN, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, sekaligus memastikan BN terus kekal memerintah negeri dan Malaysia,” kata mereka sempena majlis pelancaran Gelombang TATABA, di Hongkod Koisaan KDCA, di sini, hari ini.

Pairin dalam ucapannya berkata, pelancaran Gelombang TATABA itu adalah inisiatif yang dipelopori oleh ketiga-tiga Setiausaha Agung PBS, UPKO dan PBRS.

“Saya bersetuju dan menyokong penuh objektif Gelombang TATABA untuk menyatupadu dan mengukuhkan sokongan masyarakat KDM kepada BN. Sebenarnya matlamat utama Gelombang TATABA sama dengan Gelombang Biru yang dipelopori oleh BN,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan persahabatan dengan UPKO dan PBRS dalam rangka kerjasama BN bagi meneruskan agenda pembangunan di Sabah.
“Kita sama-sama meneruskan sokongan kita kepada Perdana Menteri dan harus memberi kerjasama serta komitmen kepada Ketua Menteri Sabah untuk meneruskan agenda pembangunan negeri ini.
“Pilihanraya sudah diambang pintu, kita harus bersiap sedia untuk menghadapai kemungkinan pilihanraya pada bila-bila masa. Marilah semua masyarakat KDM bangkit dan maju ke hadapan berjuang demi masa depan kita dan anak-anak kita,” katanya.

Sementara itu Dompok berkata, gabungan tiga parti dalam Gelombang TATABA amat penting dalam merencanakan halatuju masa depan negeri ini.

“Sokongan semua masyarakat KDM membuktikan bahawa kita mahukan perpaduan yang lebih jitu bagi memastikan hak dan kepentingan kita sentiasa terjamin dan keterlibatan kita dalam pembangunan negara sama tinggi dengan kaum-kaum lain di negara ini.

“50 tahun lepas, Tun Fuad Stephens dan Datuk G.S Sundang mewakili aspirasi kaum kita berunding dan kemudian menandatangani pembentukan Malaysia. Justeru, Himpunan Gelombang Tataba ini merupakan detik terbaik kita mengimbas segala perjalanan bangsa kita selama tempoh ini dan mengambil iktibar dari setiap peristiwa sepanjang perjalanan ini,” katanya.

Dompok berkata dengan adanya perpaduan dan persefahaman yang jitu, kepimpinan ketiga-tiga parti boleh bergabung untuk memperjuangkan aspirasi rakyat bagi mendapatkan manfaat yang sama dalam pelaksanaan Progam Transformasi Kerajaan.

“Misalnya peluang-peluang rakyat dalam perkhidmatan awam, pendidikan, ekonomi dan pembangunan infrastruktur,” katanya.

Katanya lagi di peringkat kerajaan Persekutuan, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bumiputera Sabah dan Sarawak yang ditubuhkan telah dapat mengenalpasti masih banyak isu memerlukan tindakan penyelesaian.

“Kita harus mengambil kesempatan melalui komitmen kerajaan untuk mentransformasikan negara ini, iaitu membawa perubahan kepada cara kita melakukan sesuatu perkara selama ini tanpa perlu mengubah parti kerajaan,” katanya.

Dompok berkata hasil perpaduan dan perjuangan ketiga-tiga parti Kadazandusun, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di negeri ini berjaya diwujudkan.

“Semua ini terjadi kerana kita kini mempunyai seorang Perdana Menteri yang telah memulakan inisiatif mentransformasikan negara kita. Oleh itu inilah detik kita untuk bangkit menyokong inisiatif ini,” katanya.

Berkenaan dengan objektif Gelombang Tataba, Kurup berkata, ia bertujuan untuk melahirkan kerjasama antara tiga parti berasaskan KDM dan mengukuhkan sokongan masyarakat KDM terhadap kerajaan BN.

“Di samping itu ia juga bertujuan untuk mentransformasikan masyarakat KDM sesuai dengan dasar Transformasi Kerajaan BN khususnya dari segi pembangunan politik, ekonomi, sosial, teknologi dan kerohanian agar mencapai potensi seiring dengan masyarakat lain di negara ini,” katanya.

Mengenai PRU-13, beliau berkata masyarakat KDM harus bersatupadu dalam satu suara dan satu bangsa untuk memberikan sokongan penuh kepada calon BN.

ANTARA pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti yang hadir di majlis itu.

KUTIPAN untuk Tabung Wira Lahad Datu turut diadakan di majlis itu.


No comments:

Post a Comment