Sunday, 24 March 2013

Gelombang TATABA mantapkan KDM


PAIRIN, Dompok dan Kurup bersama sebahagian daripada ahli jawatankuasa penganjur menyanyikan lagu perpaduan.

PENAMPANG: Gelombang Tataba yang diusahakan kepimpinan Kadazandusun Murut (KDM) dalam tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dapat memantapkan lagi perpaduan sedia ada di kalangan masyarakat KDM di negeri ini.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yakin inisiatif Gelombang Tataba, walaupun baru bermula namun ia menggambarkan usaha-usaha kepimpinan KDM dalam tiga parti itu ke arah pembangunan masyarakat KDM baik dari segi minda mahu pun pembangunan sosio ekonomi rakyat.

“Saya menyeru masyarakat KDM agar menguasai cara berfikir yang betul seiring dengan perubahan zaman. Kita tidak boleh menyelasai masalah-masalah masa kini dengan cara berfikir tahun enam puluhan.”

“Falsafah Gelombang Tataba merangkumi transformasi minda, pembentukan jati diri dan kecekapan untuk menjana bangsa yang berdikari, bermaruah, berdaya saing, maju dan mampu,”.

“Kita harus berkeupayaan melihat jauh ke hadapan dan berupaya untuk melihat potensi kita sebagai pemangkin kemajuan bukan sahaja bagi masyarakat kita tetapi bagi menjana kekayaan negara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Gelombang Tataba anjuran PBS, Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), di Hongkod Koisaan KDCA, di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden UPKO Tan Sri Bernard Dompok, Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup dan semua ahli jawatan tertinggi parti berkenaan.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata beliau turut mengalu-alukan usaha Gelombang Tataba  untuk menggubal perancangan masa panjang atau Pelan Induk KDM dalam menjana pembangunan sosio ekonomi masyarakat KDM.

“Pelan Induk (blueprint) KDM ini masih dalam perancangan, namun kita semua harus menyedari matlamat perancangan masyarakat KDM tidak mungkin tercapai tanpa perpaduan, persefahaman dan kerjasama antara parti-parti politik yang mewakili masyarakat KDM,” katanya.  

Beliau berkata kerjasama ketiga-tiga parti itu menghasilkan blueprint pembangunan masyarakat KDM untuk meningkatkan status sosio ekonomi masyarakat KDM agar seiring dengan masyarakat-masyarakat lain di negara ini. 

“Sebagai warganegara Malaysia, masyarakat KDM berhak untuk menuntut dan menikmati pembangunan yang adil dan saksama ke arah pencapaian objektif Wawasan 2020,”.

“Masyarakat KDM harus diberi peluang bukan sahaja dalam bidang pertanian tetapi juga aktiviti ekonomi bukan berasaskan pertanian seperti pembuatan, pembinaan, perdagangan dan perhotelan,” katanya.

Pairin berharap Gelombang Tataba bakal melahirkan masyarakat yang membudayakan sifat-sifat positif seperti rendah hati, mengasihi, berdikari, rajin bekerja, bertolak ansur, berdisiplin dan saling hormat menghormati.

Beberapa aktiviti dilaksanakan sempena pelancaran itu termasuk Bantuan Bibit Getah Berkualiti, Bantuan Biji Sawit Bercambah, Bantuan Peralatan Gereja dan Karnival Sukan Perpaduan Tataba.

Beliau berharap bantuan seperti bibit getah akan menjadi pemangkin semangat berdikari dan ingin maju di kalangan masyarakat KDM seluruh Sabah.

Katanya, sebanyak 2,000 buah gereja Kristian dari berbagai denominasi menerima manfaat dari bantuan Operasi Tataba iaitu keyboard, speaker dan PA system, kerusi plastik, genset, chainsaw, atap zink dan lain-lain.

“Saya yakin aktiviti seperti ini bukan sahaja mendekatkan parti-parti politik kepada pihak gereja tetapi secara tidak langsung kepada rakyat,” katanya.

Pairin berkata, selain bantuan gereja, Operasi Tataba juga turut memberi bantuan kepada golongan belia di bawah 40 tahun iaitu bantuan peralatan sukan termasuk T-Shirt, baju jersey dan bola kepada 16 kawasan Dewan Undangan negeri.

“Melalui sumbangan ini setiap DUN boleh menganjur karnival sukan termasuk bola sepak, bola tampar dan sepak takraw yang bakal menarik penyertaan para belia dan beliawanis di bawah umur 40 tahun.

“Saya percaya bantuan ini akan dapat dimanfaatkan agar sukan boleh memupuk persefahaman, perpaduan dan persahabatan para belia dan beliawanis dari ketiga-tiga parti PBS, UPKO dan PBRS di setiap kawasan DUN,” katanya.



                  PERSEMBAHAN tarian tradisi oleh penari dari Lembaga Kebudayaan Sabah.

1 comment:

  1. better late than never!
    syabas dan harus diberi sokongan oleh semua rakyat KDM di Malaysia

    ReplyDelete