KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok mencadangkan supaya pihak berkuasa mengkaji semula setiap kad pengenalan (MyKad) yang telah dikeluarkan selama ini.
Katanya, cadangan yang akan dikemukakan kepada Suruhanjaya
Siasatan Diraja (RCI) dan kerajaan ini merupakan salah satu langkah untuk
membuktikan bahawa hanya penduduk Sabah yang benar-benar tulen sahaja yang akan
mendapat dokumen kenegaraan seperti kad pengenalan baru yang akan dikeluarkan.
“Hal ini juga dapat membuktikan ketulenan susur galur
kerakyatan kita (rakyat Sabah),” kata Dompok ketika berucap di Majlis
Perhimpunan Gelombang TATABA UPKO-PBS-PBRS, di Dewan KDCA, di sini, hari ini.
Tambahnya, penubuhan RCI semata-mata tidak akan
menyelesaikan sepenuhnya masalah pendatang asing tanpa izin maka polisi-polisi
berkaitan dan penyelesaian haruslah direncanakan.
“Kita boleh tampil menghadap RCI atau secara kolektifnya,
menyampaikan kepada Kabinet mengenai rekomendasi bersama ini,” katanya.
Katanya, insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu memberi
pengajaran bahawa cabaran utama yang mungkin menghalang Negara untuk mencapai
halatuju masa depan ialah keselamatan, lebih-lebih lagi apabila rakyat asing
sudah berada di bumi Sabah ini.
Oleh itu, satu penyelidikan menyeluruh dan komprehensif
mengenai insiden pertambahan luar biasa penduduk asing dan bagaimana mereka
(penduduk asing) boleh mendapat dokumen Negara perlu dikaji, katanya.
“Saya pasti,
pemimpin-pemimpin serta semua ahli UPKO, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti
Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) turut sama mahu melihat penyelesaian tuntas kepada
masalah pendatang asing di Sabah yang telah membelenggu kehidupan kita sudah
sekian lamanya ini,” katanya.
Katanya,
cadangan ini juga diharapkan akan mendapat persetujuan daripada semua
parti-parti komponen Barisan Nasional di Sabah yang lain supaya sebuah kertas
cadangan mengenai isu ini dapat dilaksanakan dan dikemukakan kepada RCI.
Dalam pada itu,
cadangan mengkaji semula MyKad ini turut mendapat reaksi yang positif daripada
kedua-dua Presiden PBS dan PBRS.
Menurut
Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan cadangan ini dikemukakan
memandangkan terdapat pelbagai hal yang tidak jelas berkaitan dengan statistik
penduduk di negeri ini.
“Hal ini kerana banyak pendatang di negeri ini tidak mempunyai dokumen
atau yang ada dokumen tetapi dokumen palsu dan ada pula yang mempunyai dokumen
sah tetapi tidak melalui proses-proses tertentu,” katanya.
Jadi katanya,
rakyat Sabah yang ‘tulen’ perlu dikenal pasti bagi memudahkan usaha Kerajaan
dalam membantu rakyat Malaysia di Sabah seperti usaha membasmi kemiskinan yang
perlu dofokuskan hanya kepada rakyat Malaysia.
Dalam pada itu,
Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup, berkata di dalam isu MyKad yang begitu rumit ini,
tidak dinafikan bahawa terdapat sesetengah individu yang tidak layak atau
mempunyai dokumen yang sah tetapi memiliki MyKad dan mereka ini turut menikmati
segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat Sabah.
No comments:
Post a Comment