Monday, 26 March 2012

Jaipin harap Sidang DUN beri tumpuan isu NCR



KERATAN AKHBAR ... Dompok dalam responsnya terhadap kenyataan Fernandez.
JAIPIN MOHIGAL 

KOTA KINABALU: Seorang aktivis masyarakat, Jaipin Mohigal, 62, menaruh harapan supaya Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang bersidang hari ini supaya memberikan tumpuan kepada isu Tanah Hak Adat Negeri (NCR) yang sudah sekian lama menjadi ‘duri dalam daging’ kerajaan dan rakyat.
Katanya, kegagalan kerajaan memuktamadkan penyelesaian terhadap isu itu pastinya akan mengundang persepsi negatif terhadap keupayaan kerajaan membela nasib rakyat.
Menurut Jaipin, berita mengenai aktiviti pencerobohan tanah NCR di merata tempat di negeri ini mendapat liputan meluas oleh media-media massa tempatan di mana pencerobohan itu  dilakukan oleh syarikat-syarikat FMU serta melibatkan agensi kerajaan dan ianya semakin kritikal.
Melihat kepada situasi itu, katanya, slogan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ sudah tidak releven lagi kerana jelas sekali ada tindakan-tindakan kerajaan hanya ‘cakap tidak serupa bikin’.
“Sehinggakan timbul pelbagai pandangan dan cadangan berhubung isu itu yang mahukan kerajaan supaya memberikan pertimbangan adil terhadap rakyat yang banyak berkorban kepada kerajaan,” katanya lagi.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman dalam responsnya terhadap cadangan Ketua Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum bagi penubuhan sebuah Tribunal untuk mengurus soal berkaitan tanah anak negeri, beliau dipetik sebagai berkata, bahawa kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang inisiatif yang boleh membantu usaha meningkatkan kebajikan rakyat dan memperkukuhkan program tanah itu.
Seorang peguam, Datuk Kong Hong Ming juga turut mengulas cadangan Malanjum itu, yang mendakwa Jabatan Tanah dan Ukur serta Kerajaan Negeri adalah pihak yang bertanggungjawab atas kehilangan dan kehakisan hak adat anak negeri di Sabah.
Musa juga dalam reaksinya terhadap kenyataan Peguam Besar Sabah, Datuk Roderic Fernandez yang mendakwa bahawa ‘tiada tanah NCR selepas 1930’ berkata akan membawa perkara itu ke mesyuarat Kabinet Negeri untuk dibincangkan dengan mendalam dan beliau akan turut menjemput pemimpin parti komponen Barisan Nasional untuk membincangkan isu itu.
Jaipin mengambil contoh tanah-tanah NCR di daerah Kota Marudu, Pitas dan Beluran di mana kawasan-kawasan yang berstatus NCR telah dirampas oleh syarikat besar FMU membabitkan agensi kerajaan tanpa pengetahuan penduduk terbabit.
Jaipin menegaskan, pihak kerajaan sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan rakyat jika mahu membangunkan tanah-tanah NCR dan, bukannya melakukan ‘serang hendap’ terhadap tanah-tanah NCR yang diteroka oleh penduduk  untuk diberikan kepada syarikat besar semata-mata mengejar keuntungan tetapi pada masa yang sama menafikan hak orang asal di negeri ini untuk memiliki tanah itu.
Difahamkan juga terdapat kawasan tanah yang dahulunya berstatus NCR telah bertukar kepada status Hutan Simpan dan, penduduk yang menduduki kawasan itu diusir dan hasil tanaman mereka dimusnahkan, rumah dirobohkan dan dibakar tanpa sebarang pampasan.
“Ini berlaku kepada peneroka tanah NCR Kampung Koiboton Darat Pinangkau di daerah Beluran apabila harta benda mereka dimusnahkan dan, yang paling menyedihkan penduduk terbabit ditangkap, dipenjarakan dan didakwa di mahkamah,” ujarnya.
Beliau berharap dan merayu kepada kerajaan supaya perbuatan seperti itu dihentikan, sebaliknya mangsa-mangsa dilindungi dan diberikan tanah untuk diusahakan.
“Tanggungjawab kerajaan yang dipilih rakyat ialah melindungi rakyat jelata dan bukannya dianiya kerana tanpa rakyat siapalah kerajaan dan begitulah sebaliknya,” tegasnya.
Jaipin yang juga bekas Ketua Kampung, Kampung Bunsadan Kota Marudu (yang dilantik oleh Umno) merayu kepada kerajaan sekarang membenarkan mereka memiliki geran tanah sendiri untuk kesinambungan hidup cucu-cicit mereka turun temurun.
Sehubungan dengan itu, Jaipin berharap kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah sama ada daripada kerajaan atau pembangkang supaya memainkan  peranan dan komited untuk mencari jalan penyelesaian mengenai masalah aktiviti pencerobohan tanah NCR di negeri ini supaya ianya tidak terus menjadi mimpi ngeri rakyat.
Dalam perkembangan lain, Jaipin juga mencabar Peguam Besar Sabah, Datuk Roderic Fernandez supaya turun padang ke daerah-daerah yang bergelut dengan masalah tanah NCR untuk memberikan penjelasan berhubung dengan kenyataannya bahawa ‘tiada tanah NCR selepas 1930’.
Antara inti pati kenyataan Fernandez ialah bahawa tiada tanah baru berstatus NCR akan diwujudkan memandangkan hanya tanah yang ‘masih’ diduduki oleh peribumi sebelum tarikh penguatkuasaan Ordinan Tanah Sabah (SLO) yang mendapat pengiktirafan status itu.
Selain itu, Fernandez juga berkata, tiada peruntukan di bawah SLO bagi peribumi untuk menduduki tanah selepas 1930 dan kemudian menuntut NCR, dan ‘pihak yang menuntut NCR hari ini mesti menunjukkan bukti pendudukan tanah itu sebelum 1931’.
Jaipin berkata, kenyataan Fernandez itu telah mengawatkan lagi keadaan dan mencetuskan kemarahan rakyat dan beberapa pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuklah Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok, Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup dan Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang tidak bersetuju dengan pandangan Fernandez berhubung peruntukan NCR dalam SLO bahawa ‘tiada tanah NCR selepas 1930’.
Berikutan dengan kenyatan Fernandez itu, seorang kolumnis akhbar setempat Marcel Jude bertindak memfailkan permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman terhadap Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan Negeri berhubung isu status Hak Tanah Adat di Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu.
Permohonan itu ditetapkan untuk pendengaran pada 3 April ini, jam 9 pagi di hadapan Hakim Datuk David Wong Dak Wah.
Selain Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Seri Joseph Kurup yang meminta Fernandez supaya meletakkan jawatan, sekumpulan kira-kira 70 anggota DAP Sabah baru-baru ini juga turut membuat tuntutan yang sama terhadap Peguam Besar Sabah itu.
Jaipin menyifatkan kenyataan Fernandez itu seperti pedang bermata dua menggores perasaan masyarakat peribumi yang sudah sekian lama berdepan dengan masalah tanah NCR  yang mereka menduduki sejak nenek moyang mereka lagi.
Jaipin berkata, Peguam Besar Negeri sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan negeri harus bertanggungjawab akibat daripada kenyataannya itu, lebih-lebih lagi apabila nasihatnya mempunyai kesan untuk merampas hak asasi anak negeri.
Seorang Pengarah Pusat bagi Pengajian Penduduk Asli Malaysia di Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Ramy Bulan, dipetik sebagai berkata bahawa pemetaan penduduk boleh digunakan untuk membuktikan pemilikan tanah anak negeri.
Dr Ramy juga berkata, mungkin salah satu cara untuk melakukannya adalah dengan membandingkannya dengan peta tanah negeri dan itu adalah salah satu cara di mana mereka kemudian boleh menunjukkan hak mereka terhadap tanah itu.
Menyentuh mengenai Ordinan Tanah Sabah (SLO), Dr Ramy dipetik berkata, ia amat terbuka kerana ia menyediakan peruntukan membolehkan anak negeri mewujudkan NCR di atas tanah itu dan dalam masa tiga tahun, mereka boleh memohon dokumen dengan syarat mereka berada di atas tanah itu, membina sesuatu dan bercucuk tanam di situ.


KERATAN AKHBAR ... antara berita berhubung masalah tanah-tanah NCR di Sabah. 

No comments:

Post a Comment