KUALA LUMPUR, 20 Mac: Beberapa pemimpin
masyarakat dan ahli politik di Sabah dan Sarawak lebih suka jika pilihan raya
umum ke-13 diadakan selepas sambutan perayaan Kaamatan dan Gawai yang
masing-masingnnya jatuh pada 30-31 Mei dan 1 Jun.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku
Jaafar, yang berasal dari Sarawak, berkata adalah tidak bijak jika PRU diadakan
semasa perayaan itu.
“Jika Sarawak
dianggap simpanan tetap Barisan Nasional, janganlah adakan pilihan raya ketika
itu kerana ramai yang mungkin tidak dapat mengundi.
“Tarikh 3 Jun sebagai hari mengundi, seperti yang diramalkan,
memang amat tidak sesuai bagi Sabah dan Sarawak,” kata Wan Junaidi.
Gawai disambut di Sarawak manakala Kaamatan merupakan
perayaan di Sabah dan Labuan. Sarawak dan Sabah serta Labuan mempunyai 57
kawasan parlimen.
Di Sarawak, pilihan raya umum akan datang hanya melibatkan
31 kerusi parlimen dan tidak kerusi Dewan Undangan Negeri kerana pilihan raya
negeri itu telah diadakan pada 16 April tahun lepas.
Di Sabah, ia melibatkan kerusi negeri dan parlimen, yang
masing-masing berjumlah 25 dan 60. Labuan mempunyai satu kerusi parlimen.
Presiden Persatuan Siswazah Dayak Sarawak Dr Dusit Jaul juga
berharap pilihan raya tidak diadakan pada minggu terakhir Mei atau minggu pertama
Jun agar tidak menjejaskan mereka yang menyambut perayaan itu.
“Pertimbangan perlu diberi terhadap mereka yang membuat
persiapan untuk menyambut Gawai.
“Bukan itu saja, jika ia diadakan dalam tempoh sambutan itu,
kerajaan mungkin dituduh tidak peka terhadap kebajikan suku kaum Dayak. Ini
tidak baik bagi kerajaan,” katanya apabila dihubungi hari ini.
Seorang pemimpin Iban dari Sibu, Temenggong Adrian Ringgau,
berkata kebanyakan anggota masyarakat Dayak, terutama yang tinggal di rumah
panjang, akan mengadakan pelbagai majlis termasuk majlis paerkahwinan dan “Gawai
Antu” (perayaan mengingati mereka yang telah meninggal dunia) sempena perayaan itu.
“Jumlah pemilih yang keluar mengundi dalam kalangan
masyarakat Dayak tidak akan mencapai angka yang diharapkan sekiranya tarikh
pilihan raya bertembung dengan tarikh sambutan dan oleh itu pilihan raya
eloklah diadakan menjelang awal Mei atau selepas pertengahan Jun,” katanya.
Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri
William Mawan berkata pilihan raya umum tidak sepatutnya diadakan semasa
sambutan Gawai atau pesta menuai yang dirayakan masyarakat Dayak.
Semasa perayaan itu, anggota masyarakat Dayak yang tinggal
di bandar dan di perantauan akan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk
bertemu sanak saudara dan keluarga.
Mawan, yang juga Menteri Pembangunan Sosial Sarawak, berkata
sekiranya pilihan raya umum diadakan
pada tarikh itu, ada kemungkinan mereka yang pulang ke kampung halaman
akan mempengaruhi penduduk rumah panjang dan kampung melalui pendapat mereka
tentang isu setempat.
Setiausaha Agung Upko dari Sabah Datuk Wilfred Madius Tangau
berkata tarikh sambutan dua perayaan itu perlu diambil kira dalam menentukan
tarikh pilihan raya umum.
“Mei mungkin tidak sesuai, terutama di Sabah kerana Kaamatan
disambut pada 30 dan 31 Mei. Ia merupakan sambutan peringkat negeri. Oleh itu,
tidak wajar pilihan raya umum diadakan dalam tempoh itu,” katanya apabila
dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr
James Masing berkata beliau tidak fikir mengadakan pilihan raya ketika sambutan
Gawai akan menjejaskan perayaan itu.
“Pilihan raya perlu cepat diadakan. Banyak perkara telah
dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan
seperti pengagihan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan kenaikan gaji penjawat
awam.
“Sekiranya pilihan raya diadakan jauh kemudian, kesannya
sudah hilang kerana kesan BR1M hanya mempunyai jangka hayat tiga bulan saja.
“Selepas itu, ia akan hilang. Mana-mana tarikh dalam
tempoh tiga bulan ini memang baik untuk mengadakan pilihan raya,” katanya.
Masing, yang juga
Menteri Pembangunan Tanah Sarawak dan seorang ahli anthropologi, berkata
daripada segi sosial, mengadakan pilihan raya semasa perayaan Gawai tidak
menjadi masalah kerana pengundian hanya melibatkan satu hari sahaja.
Seorang lagi Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald
Kiandee, yang berasal dari Sabah, berkata pemilihan tarikh pilihan raya umum
tidak sepatutnya menjadi isu kerana beliau percaya rakyat sudah cukup matang
untuk memahami kepentingannya.
“Terserahlah kepada Perdana Menteri bilakah beliau hendak
mengadakan pilihan raya. Kalau seseorng mengatakan pilihan raya tidak
sepatutnya diadakan menjelang akhir Mei atau awal Jun, ini bermakna orang itu
meletakkan syarat kepada Perdana Menteri. Ini tidak sepatutnya berlaku,”
katanya.
Bagaimanapun, Kiandee berkata beliau yakin Perdana Menteri
akan memilih masa paling sesuai untuk pilihan raya.
Sama ada sebelum atau selepas perayaan Kaamatan dan Gawai,
seperti yang dikatakan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh
Tun Said Keruak, yang pasti, negeri itu sudah bersedia menghadapinya pada
bila-bila masa.
No comments:
Post a Comment