Oleh Ahmad Shukran Shaharudin
KUALA LUMPUR, 17 Mac: Bila tarikh Parlimen akan
dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13 diadakan terus
menjadi topik perbincangan dan bahan spekulasi menarik banyak pihak.
Baru-baru ini apabila Datuk Seri Najib Tun Razak membuat
lawatan rasmi ke Sabah, beliau mengadakan satu perjumpaan tertutup dengan
pemimpin Barisan Nasional Sabah.
Seorang pemimpin yang ditemui pemberita berkata Perdana
Menteri mengingatkan bahawa pilihan raya semakin dekat.
Bagi anggota parti sama ada Umno atau parti komponen Barisan
Nasional (BN), kata-kata Najib yang juga Pengerusi BN sebenarnya lebih berupa
peringatan kepada jentera parti BN di Sabah dan juga negeri-negeri lain supaya
bersedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa pun.
Namun ungkapan ‘semakin dekat’ itu jelas memberi isyarat
pilihan raya umum bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang. Bahkan
dalam kalangan rakyat cakap-cakap mengenai pilihan raya umum ke-13 kini menjadi
perbualan harian apatah lagi bila pemimpin negara semakin kerap turun padang ke
merata pelosok negeri bertemu rakyat.
Menurut pemerhati politik ada beberapa fakta mungkin memberi
petanda bahawa kemungkinan besar Parlimen dibubarkan pada Mei atau Jun, dan
seterusnya dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran satu pilihan raya umum
diadakan.
Pemerhati politik menggariskan beberapa fakta kebarangkalian
bagi menyokong telahan mereka bahawa Mei atau Jun bakal menyaksikan pilihan
raya umum ke-13 Malaysia diadakan.
Fakta pertama ialah terungkainya kemelut gaji baru penjawat
awam dengan pengumuman Najib pada 8 Mac lepas bahawa skim Saraan Baru
Perkhidmatan Awam (SBPA) dibatalkan dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia
(SSM) yang ditambah baik.
Kemelut ini sangat penting diselesaikan terlebih dahulu
kerana penjawat awam bukan membabitkan jumlah yang kecil, tetapi kira-kira 1.4
juta orang di seluruh negara, yang memainkan peranan penting untuk melaksana
dan menjayakan pelbagai dasar transformasi dan penambahbaikan yang dilakukan
kerajaan untuk rakyat.
Fakta kedua menurut pemerhati politik adalah Perdana Menteri
dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, secara mantap dan terancang
menjelajah ke seluruh negara setiap hujung minggu untuk bertemu rakyat, seperti
yang dijanjikan pada satu sidang akhbar sebaik Perhimpunan Agung Umno 2010
tamat.
Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan juga semakin galak
mahu semua jentera pilihan raya BN khususnya Umno bergerak pada kelajuan ‘gear
lima’ bagi menghadapi pilihan raya umum yang ‘semakin dekat’ ini.
Beliau dipetik sebagai berkata pilihan raya jarang-jarang
melebihi empat tahun lebih, oleh itu ia mungkin tinggal satu, dua, tiga, empat
atau lima bulan sahaja lagi.
Fakta bahawa pilihan raya hanya dilakukan selepas tempoh
mandat kerajaan berakhir juga sangat jarang-jarang berlaku. Mandat kerajaan
sekarang akan berakhir pada 28 April 2013.
Fakta ketiga, Umno juga awal-awal lagi sudah menangguhkan
pemilihan parti selama 18 bulan, iaitu sehingga September 2013, dari tarikh
kali terakhir diadakan pada Mac 2009, bagi mengukuhkan parti dan mengelakkan
pergelutan jawatan di dalam parti demi untuk menghadapi pilihan raya umum
dengan mantap dan sepadu.
Fakta keempat, yang juga petanda positif pilihan raya Mei
atau Jun adalah ekonomi Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk
meneruskan kemajuan pada 2012 seperti laporan Oxford Business Group (OBG),
firma penerbitan, penyelidikan dan perundingan risikan ekonomi global.
Laporan itu menunjukkan pelaburan langsung asing (FDI)
Malaysia meningkat, inflasi terkawal dan sektor kewangan teguh. Menurut laporan
itu hasil prestasi kukuh di kebanyakan sektor ekonomi dalam tempoh 12 bulan
lalu, Malaysia dijangka dapat mencapai prestasi lebih baik dalam 2012.
Fakta seterusnya tertumpu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) yang dilihat banyak pemerhati sebagai telah memberi bayangan Parlimen
mungkin dibubarkan seawal Mei 2012 bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13
diadakan.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Perdana
Menteri tidak mungkin membubarkan Parlimen dalam masa terdekat kerana
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikkan Proses
Pilihan Raya hanya dijangka selesai mengemukakan semua cadangannya ke Dewan
Rakyat pada April.
Sebagai persediaan awal, SPR sudah menjelajah ke seluruh
negara untuk memberi taklimat kepada para petugas pilihan raya.
Seorang petugas yang dilantik SPR memberitahu Bernama bahawa
pegawai SPR menyatakan sekiranya pilihan raya tidak diadakan dalam masa
terdekat, satu lagi taklimat akan diberikan untuk melancarkan operasi dalam
sistem pilihan raya kelak.
Pemimpin parti-parti politik terutamanya pembangkang dilihat
sudah lama bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum.
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata masa terbaik untuk
mengadakan pilihan raya umum ke-13 ialah awal Jun pada cuti sekolah.
“Ini kerana perbahasan Parlimen kali ini akan membentangkan
beberapa rang undang-undang penting seperti pindaan kepada Akta Universiti dan
Kolej Universiti (AUKU), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang memang telah dijanjikan
pada persidangan kali ini,” katanya.
Katanya sekiranya pilihan raya tidak diadakan Jun ini,
mungkin Perdana Menteri akan menunggu sehingga tamat penggal ke-12 mandat
kerajaan pada tahun depan.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku
Jaafar pula berkata tiada masalah untuk mengadakan perasmian persidangan
Parlimen yang baru selepas pilihan raya umum walaupun perasmian baru sahaja
disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 12
Mac lepas.
“Apa sahaja yang belum habis, Rang Undang-undang yang
dibentangkan, usul dan sebagainya boleh dibawa ke persidangan Dewan Rakyat pada
penggal yang baru untuk dihabiskan, jadi tidak timbul masalah,” katanya kepada
Bernama. - Bernama
No comments:
Post a Comment