KOTA KINABALU, 20 Mac: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS)
Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata isu mengenai agihan kerusi dalam
kalangan parti komponen Barisan Nasional negeri pada pilihan raya umum
sebaiknya dibincangkan pada meja bulat dan bukan secara terbuka.
Beliau berkata ini bagi memastikan isu berkenaan dapat
diselesaikan dalam semangat kekeluargaan BN.
Pairin, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata agihan
kerusi, yang diberikan dan dipersetujui oleh semua anggota parti komponen BN
Sabah pada pilihan raya yang lepas, seharusnya menjadi asas rundingan.
“Cuma kerusi Parlimen dan negeri yang dikosongkan oleh Parti
Maju Sabah (SAPP) (yang keluar daripada Barisan Nasional pada September 2008),
perlu dibincang secara bersama oleh BN negeri,” katanya kepada pemberita
selepas merasmikan persidangan Hari Air Sedunia peringkat negeri Sabah di sini
hari ini.
Pairin berkata
demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Umno Penampang Datuk John
Ambrose pada Ahad lepas yang mahu BN mengkaji semula formula agihan kerusi
dalam kalangan parti komponennya.
Ambrose dipetik
sebagai berkata bahawa BN sepatutnya menghapuskan amalan memperuntukkan semula
kerusi kepada parti komponen yang bertanding pada pilihan raya umum sebelum ini
yang menurutnya banyak mendatangkan keburukan kepada BN kerana berdasarkan amalan
itu, sesebuah parti komponen masih diberi peluang untuk bertanding tanpa
mengira sama ada ia mempunyai calon boleh menang atau tidak.
“Beliau bebas memberi pandangan namun ada baiknya isu
seperti ini dibincangkan melalui perundingan meja bulat,” kata Pairin.
Mengenai keinginan beberapa parti komponen BN negeri
meletakkan calon daripada parti masing-masing untuk bertanding bagi kerusi
Parlimen Sepanggar, yang dahulunya dimenangi oleh SAPP, beliau berkata: “Seperti
juga parti komponen BN yang lain, PBS juga berminat untuk meletakkan calon di
situ.”
SAPP keluar daripada BN pada 17 Sept 2008 mengakibatkan BN
kehilangan dua kerusi Parlimen iaitu Sepanggar dan Tawau serta dua kerusi
negeri iaitu Likas dan Luyang.
Dua lagi kerusi yang diperuntukkan kepada SAPP iaitu Elopura
dan Tanjung Papat kekal dalam BN selepas wakil rakyatnya, Au Kam Wah dan Datuk
Raymond Tan Shu Kiah, memutuskan untuk keluar daripada SAPP dan menyertai
Gerakan.
Sebelum itu, dalam ucapannya, Pairin berkata walaupun
Malaysia mempunyai limpahan air bersih, bekalannya tidak harus dilihat sebagai
sesuatu yang akan dinikmati secara berterusan.
Katanya perubahan iklim telah menunjukkan kesan yang negatif
terhadap persekitran alam termasuk sumber air.
“Ia mendatangkan risiko kepada kehidupan dan kepada jaminan
bekalan makanan terutamanya kepada penduduk miskin,” katanya.
Pairin berkata generasi akan datang akan berdepan dengan
masalah kekurangan bekalan air dan ini akan menyebabkan berlakunya masalah
kesihatan.
No comments:
Post a Comment