Sunday, 24 March 2013

Masyarakat KDM diajak bersatu sokong calon BN



BERSATU  KITA ... Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (depan tengah), Presiden UPKO, Tan Sri Bernard Dompok (dua, kanan) dan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup (tiga, kiri) melaungkan slogan 'Bersatu Kita' sambil mengangkat tangan serta diikuti oleh para penyokong selepas Majlis Pelancaran Gelombang Tataba (perpaduan) di Dewan Kebudayaan Hongkod Koisan (KDCA), dekat Penampang, hari ini.
Majlis tersebut merupakan julung kali diadakan bagi mengeratkan perpaduan di antara parti Kadazan Dusun Murut.

PENAMPANG: Tiga pemimpin Kadazandusun Murut (KDM) mengajak rakyat di negeri ini khususnya masyarakat KDM supaya bersatu dan memberikan sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), yang dijangka sengit dalam sejarah politik negara.

Menurut Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Murut Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok dan Presiden Parti Bersatu Rakya Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup, sokongan masyarakat KDM terhadap kerajaan BN amat penting untuk kesinambungan pembangunan seterusnya memastikan keselamatan dan keamanan sentiasa terpelihara.

“Sebab itu, masyarakat KDM perlu memberikan sokongan penuh kepada BN, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, sekaligus memastikan BN terus kekal memerintah negeri dan Malaysia,” kata mereka sempena majlis pelancaran Gelombang TATABA, di Hongkod Koisaan KDCA, di sini, hari ini.

Pairin dalam ucapannya berkata, pelancaran Gelombang TATABA itu adalah inisiatif yang dipelopori oleh ketiga-tiga Setiausaha Agung PBS, UPKO dan PBRS.

“Saya bersetuju dan menyokong penuh objektif Gelombang TATABA untuk menyatupadu dan mengukuhkan sokongan masyarakat KDM kepada BN. Sebenarnya matlamat utama Gelombang TATABA sama dengan Gelombang Biru yang dipelopori oleh BN,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan persahabatan dengan UPKO dan PBRS dalam rangka kerjasama BN bagi meneruskan agenda pembangunan di Sabah.
“Kita sama-sama meneruskan sokongan kita kepada Perdana Menteri dan harus memberi kerjasama serta komitmen kepada Ketua Menteri Sabah untuk meneruskan agenda pembangunan negeri ini.
“Pilihanraya sudah diambang pintu, kita harus bersiap sedia untuk menghadapai kemungkinan pilihanraya pada bila-bila masa. Marilah semua masyarakat KDM bangkit dan maju ke hadapan berjuang demi masa depan kita dan anak-anak kita,” katanya.

Sementara itu Dompok berkata, gabungan tiga parti dalam Gelombang TATABA amat penting dalam merencanakan halatuju masa depan negeri ini.

“Sokongan semua masyarakat KDM membuktikan bahawa kita mahukan perpaduan yang lebih jitu bagi memastikan hak dan kepentingan kita sentiasa terjamin dan keterlibatan kita dalam pembangunan negara sama tinggi dengan kaum-kaum lain di negara ini.

“50 tahun lepas, Tun Fuad Stephens dan Datuk G.S Sundang mewakili aspirasi kaum kita berunding dan kemudian menandatangani pembentukan Malaysia. Justeru, Himpunan Gelombang Tataba ini merupakan detik terbaik kita mengimbas segala perjalanan bangsa kita selama tempoh ini dan mengambil iktibar dari setiap peristiwa sepanjang perjalanan ini,” katanya.

Dompok berkata dengan adanya perpaduan dan persefahaman yang jitu, kepimpinan ketiga-tiga parti boleh bergabung untuk memperjuangkan aspirasi rakyat bagi mendapatkan manfaat yang sama dalam pelaksanaan Progam Transformasi Kerajaan.

“Misalnya peluang-peluang rakyat dalam perkhidmatan awam, pendidikan, ekonomi dan pembangunan infrastruktur,” katanya.

Katanya lagi di peringkat kerajaan Persekutuan, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bumiputera Sabah dan Sarawak yang ditubuhkan telah dapat mengenalpasti masih banyak isu memerlukan tindakan penyelesaian.

“Kita harus mengambil kesempatan melalui komitmen kerajaan untuk mentransformasikan negara ini, iaitu membawa perubahan kepada cara kita melakukan sesuatu perkara selama ini tanpa perlu mengubah parti kerajaan,” katanya.

Dompok berkata hasil perpaduan dan perjuangan ketiga-tiga parti Kadazandusun, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di negeri ini berjaya diwujudkan.

“Semua ini terjadi kerana kita kini mempunyai seorang Perdana Menteri yang telah memulakan inisiatif mentransformasikan negara kita. Oleh itu inilah detik kita untuk bangkit menyokong inisiatif ini,” katanya.

Berkenaan dengan objektif Gelombang Tataba, Kurup berkata, ia bertujuan untuk melahirkan kerjasama antara tiga parti berasaskan KDM dan mengukuhkan sokongan masyarakat KDM terhadap kerajaan BN.

“Di samping itu ia juga bertujuan untuk mentransformasikan masyarakat KDM sesuai dengan dasar Transformasi Kerajaan BN khususnya dari segi pembangunan politik, ekonomi, sosial, teknologi dan kerohanian agar mencapai potensi seiring dengan masyarakat lain di negara ini,” katanya.

Mengenai PRU-13, beliau berkata masyarakat KDM harus bersatupadu dalam satu suara dan satu bangsa untuk memberikan sokongan penuh kepada calon BN.

ANTARA pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti yang hadir di majlis itu.

KUTIPAN untuk Tabung Wira Lahad Datu turut diadakan di majlis itu.


Gelombang TATABA mantapkan KDM


PAIRIN, Dompok dan Kurup bersama sebahagian daripada ahli jawatankuasa penganjur menyanyikan lagu perpaduan.

PENAMPANG: Gelombang Tataba yang diusahakan kepimpinan Kadazandusun Murut (KDM) dalam tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dapat memantapkan lagi perpaduan sedia ada di kalangan masyarakat KDM di negeri ini.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yakin inisiatif Gelombang Tataba, walaupun baru bermula namun ia menggambarkan usaha-usaha kepimpinan KDM dalam tiga parti itu ke arah pembangunan masyarakat KDM baik dari segi minda mahu pun pembangunan sosio ekonomi rakyat.

“Saya menyeru masyarakat KDM agar menguasai cara berfikir yang betul seiring dengan perubahan zaman. Kita tidak boleh menyelasai masalah-masalah masa kini dengan cara berfikir tahun enam puluhan.”

“Falsafah Gelombang Tataba merangkumi transformasi minda, pembentukan jati diri dan kecekapan untuk menjana bangsa yang berdikari, bermaruah, berdaya saing, maju dan mampu,”.

“Kita harus berkeupayaan melihat jauh ke hadapan dan berupaya untuk melihat potensi kita sebagai pemangkin kemajuan bukan sahaja bagi masyarakat kita tetapi bagi menjana kekayaan negara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Gelombang Tataba anjuran PBS, Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), di Hongkod Koisaan KDCA, di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden UPKO Tan Sri Bernard Dompok, Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup dan semua ahli jawatan tertinggi parti berkenaan.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata beliau turut mengalu-alukan usaha Gelombang Tataba  untuk menggubal perancangan masa panjang atau Pelan Induk KDM dalam menjana pembangunan sosio ekonomi masyarakat KDM.

“Pelan Induk (blueprint) KDM ini masih dalam perancangan, namun kita semua harus menyedari matlamat perancangan masyarakat KDM tidak mungkin tercapai tanpa perpaduan, persefahaman dan kerjasama antara parti-parti politik yang mewakili masyarakat KDM,” katanya.  

Beliau berkata kerjasama ketiga-tiga parti itu menghasilkan blueprint pembangunan masyarakat KDM untuk meningkatkan status sosio ekonomi masyarakat KDM agar seiring dengan masyarakat-masyarakat lain di negara ini. 

“Sebagai warganegara Malaysia, masyarakat KDM berhak untuk menuntut dan menikmati pembangunan yang adil dan saksama ke arah pencapaian objektif Wawasan 2020,”.

“Masyarakat KDM harus diberi peluang bukan sahaja dalam bidang pertanian tetapi juga aktiviti ekonomi bukan berasaskan pertanian seperti pembuatan, pembinaan, perdagangan dan perhotelan,” katanya.

Pairin berharap Gelombang Tataba bakal melahirkan masyarakat yang membudayakan sifat-sifat positif seperti rendah hati, mengasihi, berdikari, rajin bekerja, bertolak ansur, berdisiplin dan saling hormat menghormati.

Beberapa aktiviti dilaksanakan sempena pelancaran itu termasuk Bantuan Bibit Getah Berkualiti, Bantuan Biji Sawit Bercambah, Bantuan Peralatan Gereja dan Karnival Sukan Perpaduan Tataba.

Beliau berharap bantuan seperti bibit getah akan menjadi pemangkin semangat berdikari dan ingin maju di kalangan masyarakat KDM seluruh Sabah.

Katanya, sebanyak 2,000 buah gereja Kristian dari berbagai denominasi menerima manfaat dari bantuan Operasi Tataba iaitu keyboard, speaker dan PA system, kerusi plastik, genset, chainsaw, atap zink dan lain-lain.

“Saya yakin aktiviti seperti ini bukan sahaja mendekatkan parti-parti politik kepada pihak gereja tetapi secara tidak langsung kepada rakyat,” katanya.

Pairin berkata, selain bantuan gereja, Operasi Tataba juga turut memberi bantuan kepada golongan belia di bawah 40 tahun iaitu bantuan peralatan sukan termasuk T-Shirt, baju jersey dan bola kepada 16 kawasan Dewan Undangan negeri.

“Melalui sumbangan ini setiap DUN boleh menganjur karnival sukan termasuk bola sepak, bola tampar dan sepak takraw yang bakal menarik penyertaan para belia dan beliawanis di bawah umur 40 tahun.

“Saya percaya bantuan ini akan dapat dimanfaatkan agar sukan boleh memupuk persefahaman, perpaduan dan persahabatan para belia dan beliawanis dari ketiga-tiga parti PBS, UPKO dan PBRS di setiap kawasan DUN,” katanya.



                  PERSEMBAHAN tarian tradisi oleh penari dari Lembaga Kebudayaan Sabah.

Bukan sendiwara politik tetapi 'grand design', kata Pairin


Dompok, Pairin dan Kurup memancak 'Tiang TATABA' sebagai lambang mereka sah Bersatu dalam perjuangan memantapkan masyarakat KDM di Sabah.

PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata insiden pencerobohan di Lahad Datu bukan sendiwara politik tetapi merupakan sebahagian dari “grand design” pihak tertentu untuk menjejas kedaulatan negara ini.


Beliau berkata, insiden itu mengingatkan semua pihak bahawa ancaman musuh wujud dan nyata.

“Saya amat terkilan dengan kenyataan pihak tertentu yang menghina dan mempersoal status masyarakat KDM di negeri Sabah sebagai penduduk asal negeri Sabah ini.
  
“Mereka berselindung di bawah badan-badan bukan kerajaan yang tidak diketahui agenda sebenar. Saya tekankan PBS berpegang teguh kepada definasi anak negeri yang digubal oleh kerajaan dan termaktub dalam perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Gelombang Tataba gabungan Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), di Hongkod Koisaan KDCA, di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden Upko Tan Sri Bernard Dompok, Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup dan semua ahli jawatankuasa tertinggi parti berkenaan.

Pairin berkata, penceroboh yang menceroboh negeri ini tidak berhak untuk memijak bumi Sabah.

“Ada musuh negara menggambarkan bahawa pendatang asing dari luar Sabah yang menceroboh masuk secara haram adalah penduduk asal negeri Sabah. Pendirian PBS mengenai perkara ini jelas. Warga negara asing tidak berhak terhadap negeri Sabah walau seinci pun.
“Kedaulatan sesebuah negara bukan terletak kepada tuntutan politik yang sudah lapuk tetapi haruslah berdasarkan kepada kehendak rakyat yang menduduki sesebuah wilayah negara tersebut,” katanya.
Katanya kedaulatan negeri Sabah terletak kepada rakyat Malaysia yang tinggal dan menetap di negeri Sabah.
“Soal siapa pemilik negeri Sabah tidak perlu dibahas lebih panjang.  Negeri Sabah dimiliki rakyat Malaysia di Sabah dan mereka sudah menentukan masa depan mereka apabila menyertai gagasan Malaysia dalam tahun 1963,” katanya.

Pairin berkata, dalam konteks ini, PBS telah bekerjssama dan akan terus memberi kerjasama dengan parti-parti komponen dalam BN termasuk Umno, Upko, PBRS, LDP, Gerakan, MCA, dan MIC untuk menjayakan pencapaian matlamat penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin.

“PBS juga akan bekerjasama dengan UPKO dan PBRS memastikan masyarakat KDM tidak akan terpinggir. Kita akan menggagalkan percubaan atau agenda untuk menukar demografi politik Sabah,” katanya. 

TIGA parti tempatan berasaskan KDM disatukan dalam bentuk  gelang
yang mempunyai  misi dan visi perjuangan untuk rakyat dan negeri Sabah.


Antara para pemimpin yang turut hadir.


INILAH antara agenda perjuangan TATABA untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat KDM.

Ketua Pemerintah Tentera Sulu ditangkap dikenali Datu Amir Bahar Hushin Kiram


LAHAD DATU: Ketua Pemerintah Tentera Sulu yang ditangkap di kawasan paya di daerah Semporna pada Sabtu lepas dikenali sebagai Datu Amir Bahar Hushin Kiram.


Identiti lelaki terbabit disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam sidang media Operasi Daulat di Felda Sahabat, dekat sini, hari ini.

Turut hadir sama pada sidang media itu ialah Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Khalid berkata, lelaki berusia lewat 40-an yang juga menteri pertahanan Sulu itu bertindak sebagai panglima yang memberi arahan sejak insiden pencerobohan berlaku di Lahad Datu pada 12 Febuari lalu.

Pada Sabtu lepas, lelaki itu bersama isterinya telah berjaya ditahan dikawasan paya, pada kira-kira jam 1.30 pagi oleh pasukan keselamatan.

Mengenai statistik terkini Operasi Daulat, Khalid berkata sehingga kini 416 individu ditangkap dan daripada jumlah itu 110 orang ditahan mengikut SOSMA.

“Dua tangkapan terbaharu SOSMA itu ialah panglima tentera Sulu terbabit dan isterinya,” jelasnya.

Sementara itu, berhubung dengan penduduk Tanduao yang dipindahkan beliau berkata, pihaknya telah mencapai persetujuan bersama ketua-ketua keluarga dan ketua kampung itu untuk membawa mereka masuk ke kampung berkenaan Selasa ini.

“Langkah itu adalah sebahagian daripada proses penilaian yang sedang dijalankan Majlis Keselamatan Negara dan mereka akan diiringi pegawai daripada Pejabat Daerah Lahad Datu dan pasukan keselamatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zulkifeli memberitahu kawasan Kampung Tanduao kini bersih sepenuhnya daripada ancaman pengganas dengan bilangan pasukan keselamatan yang ditugaskan di kampung tersebut juga sudah dikecilkan.

“Operasi Daulat masih diteruskan dan kini, fokus utama operasi ini ialah meneruskan pembersihan di kawasan Kampung Tanjung Batu dan yakin ia mampu diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya lagi. 



Dompok cadang kaji semula setiap MyKad yang dikeluarkan selama ini


KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok mencadangkan supaya pihak berkuasa mengkaji semula setiap kad pengenalan (MyKad) yang telah dikeluarkan selama ini.

Katanya, cadangan yang akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan kerajaan ini merupakan salah satu langkah untuk membuktikan bahawa hanya penduduk Sabah yang benar-benar tulen sahaja yang akan mendapat dokumen kenegaraan seperti kad pengenalan baru yang akan dikeluarkan.

“Hal ini juga dapat membuktikan ketulenan susur galur kerakyatan kita (rakyat Sabah),” kata Dompok ketika berucap di Majlis Perhimpunan Gelombang TATABA UPKO-PBS-PBRS, di Dewan KDCA, di sini, hari ini.

Tambahnya, penubuhan RCI semata-mata tidak akan menyelesaikan sepenuhnya masalah pendatang asing tanpa izin maka polisi-polisi berkaitan dan penyelesaian haruslah direncanakan.

“Kita boleh tampil menghadap RCI atau secara kolektifnya, menyampaikan kepada Kabinet mengenai rekomendasi bersama ini,” katanya.

Katanya, insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu memberi pengajaran bahawa cabaran utama yang mungkin menghalang Negara untuk mencapai halatuju masa depan ialah keselamatan, lebih-lebih lagi apabila rakyat asing sudah berada di bumi  Sabah ini.

Oleh itu, satu penyelidikan menyeluruh dan komprehensif mengenai insiden pertambahan luar biasa penduduk asing dan bagaimana mereka (penduduk asing) boleh mendapat dokumen Negara perlu dikaji, katanya.

“Saya pasti, pemimpin-pemimpin serta semua ahli UPKO, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) turut sama mahu melihat penyelesaian tuntas kepada masalah pendatang asing di Sabah yang telah membelenggu kehidupan kita sudah sekian lamanya ini,” katanya.

Katanya, cadangan ini juga diharapkan akan mendapat persetujuan daripada semua parti-parti komponen Barisan Nasional di Sabah yang lain supaya sebuah kertas cadangan mengenai isu ini dapat dilaksanakan dan dikemukakan kepada RCI.
Dalam pada itu, cadangan mengkaji semula MyKad ini turut mendapat reaksi yang positif daripada kedua-dua Presiden PBS dan PBRS.

Menurut Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan cadangan ini dikemukakan memandangkan terdapat pelbagai hal yang tidak jelas berkaitan dengan statistik penduduk di negeri ini.

“Hal ini kerana banyak pendatang di negeri ini tidak mempunyai dokumen atau yang ada dokumen tetapi dokumen palsu dan ada pula yang mempunyai dokumen sah tetapi tidak melalui proses-proses tertentu,” katanya.

Jadi katanya, rakyat Sabah yang ‘tulen’ perlu dikenal pasti bagi memudahkan usaha Kerajaan dalam membantu rakyat Malaysia di Sabah seperti usaha membasmi kemiskinan yang perlu dofokuskan hanya kepada rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup, berkata di dalam isu MyKad yang begitu rumit ini, tidak dinafikan bahawa terdapat sesetengah individu yang tidak layak atau mempunyai dokumen yang sah tetapi memiliki MyKad dan mereka ini turut menikmati segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat Sabah.


Wednesday, 20 March 2013

Pertubuhan Masyarakat Suluk tanding PRU-13


SANDAKAN: Seperti yang diramalkan sebelum ini, Pertubuhan Masyarakat Suluk Bersekutu (USCO) mengambil keputusan turut bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 dengan meletakkan lima calonnya di beberapa kawasan nanti. 

USCO mensasarkan untuk bertanding di N.2 Tanjung Kapor, N.14 Likas, N.17 Tanjung Aru, N.38 Nabawan, P.182 Pensiangan dan P.186 Sandakan.

Presiden USCO sendiri iaitu Bentan Alamin dijangka akan bertanding merebut kerusi N.17 Tanjung Aru itu.

Keputusan itu dibuat sewaktu Mesyuarat Agung USCO Kali Ke-3 baru-baru ini apabila sebahagian besar ahli-ahlinya menyokong keputusan pertubuhan yang bermatlamat ingin menyumbang ke arah kemajuan dan pembangunan serta membantu meningkatkan taraf sosial budaya masyarakat suku kaum Suluk di seluruh negeri ini.

"Ini keputusan yang kita buat dalam mesyuarat agung tempoh hari untuk turut bertanding pada PRU-13 dengan meletakkan beberapa calon terdiri dari golongan belia," katanya ketika menghubungi New Sabah Times di sini, hari ini.

Bentan, yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah memberitahu pihaknya tidak gentar untuk berdepan dengan mana-mana parti memandangkan ia adalah permulaan untuk ahli-ahlinya menceburi bidang politik.

Namun, dia berharap rakyat memberikan sokongan kepada calon-calon USCO yang bakal bertanding berikutan perjuangan pertubuhan mereka adalah selari iaitu membela nasib rakyat.
"Saya juga berharap ahli-ahli USCO di seluruh negeri agar menyokong calon-calon yang kita pilih ... apa yang penting sekarang ialah kerja keras untuk memastikan kemenangan mampu dicapai kelak," jelasnya.

Tuesday, 19 March 2013

Tujuh pasangan pengantin baru sanding ramai-ramai

CIPTA SEJARAH … Tujuh pasangan pengantin bersanding di atas pelamin mencatat sejarah dalam Majlis Meraikan Cinta yang pertama kali diadakan secara serentak.


OLEH GINDANAU SAKAT

KOTA BELUD: Tujuh pasangan pengantin baru telah melakarkan sejarah di daerah ini apabila bersanding secara beramai-ramai dalam Majlis 'Meraikan Cinta' yang berlangsung di Dewan Tun Said, di sini, baru-baru ini.

Majlis yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Belud yang turut dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat dari daerah ini.

Antara pasangan pengantin baru yang diraikan pada majlis itu antaranya pasangan Milson Sibul dengan pasangannya Maslini Muslie, Juse Milok-Jucy Yanting, Mohd Rifhan Makbul-Elline Amran.

Jaininim Jaiman pasangannya Norma Shahiera Abd Rashid, Razali Suman-Joanne Justin, Mohamad Bagnah Pidayah-Kadizah Hj. Alimun dan Jefriddin Abd Razak-Pejerwati Paisal.

Acara ‘Meraikan Cinta’ itu bermula jam 11 pagi, di mana para pasangan pengantin bertolak dari sebuah hotel ke Dewan Tun Said dengan menaiki kenderaan yang dihias dan diiringi tujuh ekor kuda berhias.

Setiba para pengantin di Dewan Tun Said mereka disambut dengan muzik tradisional betitik (tigad-tigad ) disusuli para pengantin berarak masuk ke dalam dewan diiringi paluan kompang sambil diiringi seramai 20 gadis memegang bunga manggar.

Semua pasangan pengantin direnjis oleh ibubapa masing-masing disusuli  oleh tetamu-tetamu khas terdiri daripada wakil-wakil rakyat di Kota Belud.
 
Juse Milok dengan pasangannya Jucy binti Yanting ketika ditemui oleh media melahirkan rasa gembira kerana inilah kali pertama majlis perkhawinan beramai-ramai diadakan di daerah ini.

Kedua-dua pasangan pengantin itu berharap program seumpamanya dapat diadakan pada setiap tahun kerana ia bukan sahaja meriah malah dapat membantu pasangan pengantin di daerah ini.

Sementara itu, Mohd Rifhan Makbul dengan pasangannya Elline Amran berkata sejarah perkahwinan mereka akan diabadikan untuk selama-lamanya sebagai satu kenangan terindah dalam hidup mereka ini kerana majlis seumpamanya sebelum ini belum pernah diadakan di daerah tersebut.

Pasangan itu juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada penganjur Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Belud kerana telah berjaya menganjurkan program tersebut.

Hadir sama pada majlis itu antaranya Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan, Ahli Dewan Undangan Negeri Tempasuk, Datuk Musbah Jamli, Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan, Japlin Akim, Presiden Sama Sabah, Datuk Abdullah Sibil, DSP Mohan Nadasen serta para pemimpin setempat yang lain.


 TURUT HADIR … Rahman, Musbah, Japlin dan  Mohan serta para pemimpin setempat yang lain.

Pengagihan insentif EPP 11 bukti kerajaan tingkat ekonomi rakyat

TERIMA WANG INSENTIF … Musbah (tiga kiri) menyampaikan wang insentif  NKEA Pertanaian EPP11 kepada petani disaksikan Salleh (dua kanan) Imus (kiri) dan Hanjan (dua kiri).

OLEH GINDANAU SAKAT


KOTA BELUD: Pengagihan insentif (NKEA Pertanaian EPP11) kali kedua sebanyak RM535,000 kepada 206 peserta projek jelapang padi di sini membuktikan bahawa kerajaan benar-benar berusaha membangunkan  ekonomi rakyat tidak seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang tidak berasas.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Musbah Haji Jamli, berkata program seumpama itu merupakan  sebahagian daripada hasil permulaan projek mega seperti jelapang padi dan agropolitan pada  masa akan datang.
Katanya, kerajaan tidak berhasrat mengambil tanah-tanah sawah milik petani seperti yang didakwa pembangkang yang kononnya  geran tanah  sawah itu akan diambil oleh kerajaan.

“Sedangkan kerajaan memberikan insentif kepada  petani (terlibat projek jelapang padi) melalui agensinya Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Belud bagi menggalakkan para petani  mengusahakan s.awah padi mereka,” jelasnya.

Musbah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tempasuk berkata demikian pada pelancaran Majlis Taklimat dan  Penyerahan Insentif  kepada perserta projek(NKEA Pertanain EPP 11), di  Dewan Datuk Musbah,  di Kampung Taun Gusi, di sini, pada Isnin (18 Mac 2013).

Turut hadir Timbalan Pengarah Pembangunan(LPP) Sabah, Mohd Salleh Haji Katul, Ketua Penolong(IPB), Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Ius Onsiang, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan  Kota Belud, Saludin Haji Jun dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan, Kota Belud, Hanjan Samit.

Musbah juga menyifatkan penyerahan insentif EPP 11  kali kedua itu sebagai permulaan  kerajaan memberikan pulangan  dan meningkatkan pendapatan ekonomi masyarkat petani di daerah itu.


Sehubungan itu,  beliau yakin sungguh diatas usaha PPK, Kota Belud, yang  telah menerima hak pengurusan penuh untuk merealisasikan misi dan visi projek  (NKEA Pertanaian EPP11)  menjelang  tahun 2020 dengan bantuan nasihat pakar daripada  agensi AMC yang mahir dalam bidang pertanian.


Agenda kepenggunaan luar bandar diharap capai objektif: Herbert

HADIAH … Herbert menyampaikan hadiah utama kepada seorang ibu sambil disaksikan oleh Alam Khan (tiga kanan) dan yang lain.


OLEH GINDANAU SAKAT

KOTA BELUD: Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Herbert Timbun Lagadan berharap Program Kepenggunaan Luar Bandar telah mencapai objektifnya mendidik masyarakat sebagai pengguna yang bijak.


 Katanya, penduduk pendalaman dan luar bandar seringkali menjadi mangsa penipuan dan penyelewengan oleh peniaga yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

“Keadaan ini sentiasa berlaku kerana tiadanya kesedaran dalam kalangan mereka tentang hak-hak mereka sebagai pengguna.

“Oleh itu,  melalui program seumpama ini pastinyalah sedikit sebanyak  akan  dapat memberi kesedaran kepada masyarakat pengguna,” katanya.

 Beliau juga berterima kasih kepada Pejabat  Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK), Sabah kerana telah memilih DUN Kadamaian sebagai lokasi untuk melaksanakan Program Kepenggunaan Luar Bandar.

Beliau berkata demikian ketika  merasmikan Majlis Penutupan Program Kepenggunaan Luar Bandar, peringkat daerah Kota Belud, di Dewan  Gopog,  Taginambur, di sini, baru-baru ini.

Sebanyak 14 kampung terlibat menjayakan program berkenaan, iaitu Kg Taginambur Batu 10, Kg Taginambur Jaya, Kg Tambalaung, Kg Bayayat, Kg Bahab, Kg Pinasang Tamu Darat, Kg Tuguson, Kg Pinasang Moroulu, Kg Rajunah, Kg Bokilong, Kg Lasau Tintapan, Kg Rangalau, Kg Puhus dan Kg Ratau.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sabah, Noor Alam Khan Bin A. Wahid Khan, Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Cawangan Tuaran, Robert Peter Takom, ADO(Pentedbiran), Peter Jiton, Ketua Daerah Kota Belud, Datuk Golkhan Hasbullah, kakitangan UPKR Kadamainan dan para pemimpin masyarakat Kadamaian.