OLEH MARRYAN RAZAN
KOTA
KINABALU: Jumlah keseluruhan Geran
Komunal yang dikeluarkan sehingga 31 Mei tahun ini ialah sejumlah 62 geran dengan
keluasan 83,552 ekar, melibatkan seramai 8,115 benefisiari dan 155 buah kampung.
Ketua
Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata,
daripada 62 geran itu, sebanyak empat kawasan iaitu Lalampas, Tongod dan
kawasan Ponguloban I, Ponguloban II dan Kabintaluan Tenom terlibat dengan
Projek Agropolitan yang dilaksanakan oleh Sabah Land Development Board (SLDB).
Beliau
berkata, ia bertujuan untuk pembangunan ladang sawit dan ladang getah secara
usaha sama.
“Kawasan itu
merangkumi keluasan 18,126 ekar dan melibatkan seramai 1,780 orang benefisari,”
katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Wilfred Bumburing (PKR-Tamparuli)
pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan
Negeri, di sini, hari ini.
Bumburing
bertanya sama ada benar para pemilik dan penduduk di atas tanah dalam
“Community Title” dimestikan untuk menandatangani “Joint Venture Agreement”
dengan SLDB dan sama ada nama-nama pemilik tanah tersebut disenaraikan dalam
geran komuniti tersebut.
Musa berkata
tiada paksaan untuk membangunkan secara usahasama ke atas mana-mana Geran
Komunal yang telah didaftarkan.
“Usahasama
untuk membangunkan kawasan Geran Komunal hanya boleh dilaksanakan sekiranya
kedua-dua pihak iaitu benefisari dan pemaju (agensi kerajaan atau swasta)
bersetuju dan tertakluk kepada kelulusan
Ketua Menteri.
“Nama-nama
yang terpilih dicatatkan sebagai benefisiari dalam Geran Komunal berkenaan,”
katanya.
Beliau
berkata, Geran Komunal yang telah didaftar akan dibangunkan secara terancang
agar memberi pulangan optima kepada benifisiari dan untuk mencapai objektif
tersebut jawatankuasa pembangunan tanah geran komunal ditubuhkan di daerah yang
berkenaan.
Katanya,
Geran Komunal yang pertama dan kedua dikeluarkan pada 27 Mei 2010 dengan
keluasan masing-masing 3,000 ekar dan 6,000 ekar melibatkan 444 benefisiari dan
merangkumi 22 buah kampung di daerah Nabawan, Pensiangan.
“Manakala
Geran Komunal ketiga pula dikeluarkan pada 2 Feb 2011 dengan keluasan 9,120
ekar melibatkan 1,022 benefisiari dan merangkumi 16 buah kampung di Lalampas
Tomgod.
“Bagi Geran
Komunal yang keempat, kelima, keenam dan ketujuh, ia dikeluarkan pada 30 Jun
2011 dengan keluasan masing-masing 4,447 ekar, 6,313 ekar, 2,223 ekar dan 470
ekar yang melibatkan 1,195 benefisiari dan merangkumi 27 buah kampung di daerah
Tenom,” katanya.
Musa
berkata, antara objektif pengeluaran Geran Komunal ialah mempercepatkan proses
pengeluaran hakmilik tanah jenis Native Title (NT)/ Field Register (FR) kepada
Anak Negeri Sabah secara berkelompok, melindungi kepentingan anak negeri Sabah
ke atas tanah kerajaan di sekitar kawasan perkampungan anak negeri, menyelesaikan
isu tanah hak adat Anak Negeri Sabah, menyelesaikan isu pertindihan permohonan
tanah, memastikan anak negeri Sabah tidak menjual hak dan kepentingan tanah dan
membasmi kemiskinan melalui pemberimilikan tanah yang terancang dan pembangunan
tanah yang optima.
“Bagi
memastikan pengeluaran Geran Komunal dilaksanakan dengan lebih berkesan,
kerajaan negeri menetapkan dasar, mekanisme, prosedur dan kaedah pemilihan
peserta atau benefisari sebagai panduan pengeluaran Geran Komunal.
“Selain itu,
dasar kerajaan dalam pengeluaran geran komunal ialah ketua menteri boleh
memberi sanksi (sanction) ke atas mana-mana tanah kerajaan yang telah dirancang
dan diperakukan untuk pengeluaran Geran Komunal di bawah pindaan Seksyen 76
Ordinan Tanah (Bab 68 Sabah).
“Geran
Komunal merupakan syarat khas kepada geran NT/FR. Hanya anak negeri yang
ditakrifkan di bawah Ordinan Interpretasi anak negeri Bab 64 yang layak menjadi
benefisari kepada Geran Komunal,” katanya.
Musa
berkata, Pemungut Hasil Tanah adalah pemegang amanah kepada Geran Komunal, nama
setiap benefisari tercatat dalam Geran Komunal, premium dan sewa tanah tidak dikenakan
ke atas geran komunal.
“Penambahan,
penyingkiran dan penggantian (termasuk tuntut waris) benefisari hanya boleh
dilakukan melalui siasatan terperinci oleh penolong pemungut hasil tanah daerah
berkenaan dan tertakluk kepada kelulusan pengarah tanah dan ukur.
“Geran
komunal boleh (tidak diwajibkan) dibangunkan secara usahasama (melalui surat
perjanjian) dengan agensi ekrajaan atau swasta tertakluk kepada persetujuaan
ketua menteri.
“Geran
komunal tidak boleh dipindahmilik atau dicagar. Geran komunal boleh dipecah
bahagi kepada lot individu sekiranya peserta ingin membangunkan sendiri tanah
tersebut. lot individu berkenaan boleh dikeluarkan geran selepas lima tahun
dari tarikh ia dibangunkan sepenuhnya tertakluk kepada disanksi oleh pemungut
selaras dengan peruntukan di bawah seksyen 77 Ordinan Tanah,” katanya.
Beliau
berkata, perancangan pengeluaran geran komunal ke atas tanah kerajaan yang
telah dikenalpasti sesuai akan diproses di peringkat penolong pemungut hasil
tanah daerah yang berkenaan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Katanya, bagi
memastikan pemprosesan dijalankan dengan telus, berkualiti dan berinetgriti
empat jawatankuasa telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Khas Penggunaan Tanah
Daerah, Jawatankuasa Penapisan Tanah Daerah, Jawatankuasa Pemilihan Peserta
Geran Komunal dan Jawatankuasa Kampung.