Tuesday, 23 April 2013

5 MEI 2013 TARIKH TOLAK PEMBANGKANG

RASMI ... Najib menekan ipad tanda perasmian Jambatan Kuala Penyu sambil disaksikan oleh Musa, Isnin dan Azizah.


KUALA PENYU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat Sabah supaya 5 Mei ini diisytiharkan sebagai tarikh menolak pembangkang.

“Rakyat Sabah harus tolak pembangkang 5 Mei ini,” katanya ketika berucap pada majlis jerayawara Yayasan Sabah bersama rakyat di pekan Kuala Penyu, di sini, hari ini.

Majlis itu dihadiri kira-kira 8,000 rakyat pelbagai lapisan yang  turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah yang juga calon BN untuk Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun, calon kerusi DUN Klias, Isnin Aliasneh dan calon muka baharu DUN Kuala Penyu, Limus Jury.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata rakyat Sabah tidak harus berfikir panjang dalam menilai pembangkang kerana mereka sebenarnya sudah bijak membuat pilihan.

Sambil mengulangi manifesto BN lebih merupakan aku janji untuk kesejahteraan rakyat Malaysia, beliau memuji manifesto tambahan BN Sabah yang turut mengandungi kad laporan kerajaan negeri.

Menurutnya, berdasarkan kad laporan itu, kerajaan negeri di bawah pimpinan Musa berjaya melaksanakan pelbagai program pembangunan yang memberi banyak manfaat kepada rakyat Sabah, termasuk mengurangkan kadar kemiskinan.

Najib berkata kerajaan pusat juga akan memastikan peruntukan pembangunan untuk negeri Sabah akan melebihi jumlah bayaran hasil royalti minyak yang diterima negeri ini.

“Apabila siap projek terminal minyak dan gas di Kimanis yang akan menjadi telaga pengeluar minyak, hasil minyak di Sabah akan bertambah...dan kerajaan pusat beri balik kepada rakyat Sabah dan lebih besar daripada 20 peratus royalti seperti dalam manifesto pembangkang,” katanya.

Dalam pada itu, Najib menekankan pentingnya sokongan padu diberi kepada BN oleh anggotanya dan supaya ia tidak dikhianati.

Pada majlis itu, Najib turut merasmikan Jambatan Kuala Penyu yang menyeberangi Sungai Sitompok sepanjang 1.1 km bernilai RM60 juta.



No comments:

Post a Comment