Tuesday, 23 April 2013

‘Kad Laporan’ naikkan populariti Musa


SAMBUTAN MERIAH ... Najib disambut oleh masyarakat Bongawan sebaik tiba.

BONGAWAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memuji kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang terserlah melalui ‘Kad Laporan’ pencapaian yang amat memberangsangkan.

”Saya tertarik dengan beliau punya report card. Rakyat Sabah harus membacanya kerana ini adalah kejayaan kerajaan negeri dan kita sokong sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis bersama rakyat di padang Bongawan, di sini, hari ini.

Turut hadir Musa dan semua calon BN kawasan Parlimen Kimanis dan Papar.

Najib yang juga Pengerusi BN Pusat berkata, kerajaan pusat mempunyai kerjasama baik dengan kerajaan Sabah pimpinan Musa.

Katanya kerajaan pusat telah meluluskan banyak peruntukan kepada Sabah.

”Kita telah meluluskan banyak peruntukan dalam bajet, dan luar bajet pun kita bagi juga dan tambah lagi.

”Bagi kawasan Kimanis kita akan buat  kemudahan sukan untuk golongan muda. Saya cadangkan kita mula dengan gelanggang bola dengan  rumput tiruannya,” katanya.

Najib berkata: “Anifah  (Datuk Seri Anifah Aman) kata kawasan sini tiada bank, maka kita akan wujudkan Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini. Banyak lagi kita boleh buat tetapi tunggu selepas 5 Mei”.

Beliau berkata,  pilihan raya kali ini  bukan sebarang pilihan raya sebab ia akan menentukan destiny negeri  Sabah dan Malaysia pada keseluruhannya.

”Sama ada kita nak Sabah ini aman makmur dan  merdeka atau kita nak pembangkang yang bawa begitu banyak keadaan tidak menentu yang amat kita sangsi pendirian mereka.

”Oleh itu marilah kita bersama-sama untuk menentukan bahawa keputusan yang kita buat pada 5 Mei nanti, kita mesti menentukan kerajaan yang kuat dan stabil,” katanya.

Beliau berkata: “Datuk Seri Anifah sebagai Menteri Luar tahu bahawa Malaysia dihormati kerana kita ada kerajaan yang kuat dan stabil”.

Najib berkata, ketua-ketua kerajaan luar negara termasuk Presiden Amerika Syarikat Barack Obama hormat pada Malaysia  kerana “ kita dilihat sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan kuat”.

Beliau berkata, para pelabur luar negara datang kerana yakin Malaysia adalah sebuah kerajaan yang stabil dan kuat.

”Bila kita dapat menambahkan pelaburan dan menambahkan kekayaan negara, saham kita naik, cukai kita bertambah kita bagi balik kepada rakyat Malaysia.

”Kita bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat Malaysia. Bukan sekadar BR1M 1,BR1M 2, tapi tahun depan BR1M 3 dan 4, terus bertambah RM500 untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Najib berkata, ia adalah bukti jelas bahawa kerajaan BN adalah kerajaan terbaik untuk rakyat.

”Pembangkang nak hapuskan BR1M. BR1M lebih baik daripada kurangkan harga minyak. Harga minyak kurang, hanya orang berkereta besar sahaja untung. Orang yang jual minyak di sempadan yang untung tapi kalau bagi BR1M, semua rakyat akan untung,” katanya.

Sehubungan itu Najib menyeru seluruh rakyat di negara ini supaya memberikan  sokong padu kepada pasukan BN.

”Pastikan 5 Mei nanti bumi Sabah kembali kepada Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata pembangkang tidak boleh dipercayai dan tidak sepakat. “Mana boleh dalam satu kapal mereka (pembangkang) ada tiga nahkoda. Mereka juga mempunyai falsafah yang berbeza, tiada trak rekod, dulu cakap lain, hari ini cakap lain dan  janji bohong ...  ini tidak boleh pakai.

”Apa yang penting kita sokong pasukan BN untuk pastikan Barisan Nasional menang,” katanya.




No comments:

Post a Comment