Monday, 22 April 2013

ATM sedia hadapi serangan balas dendam kumpulan penceroboh


LAHAD DATU:  Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menafikan khabar angin bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengeluarkan amaran berjaga-jaga kepada penduduk Kampung Tanjung Labian berikutan dakwaan terdapat penceroboh menyusup ke kampung itu hari ini.

“Berita ini tidak betul...saya sudah melakukan semakan, dan tiada sebarang amaran dikeluarkan kepada penduduk kampung setakat ini.

“Berdasarkan laporan yang diterima, keselamatan di Kampung Tanjung Labian adalah terkawal, dan penduduk di sana menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

“Kita tidak terima apa-apa maklumat berhubung kemasukan semula kumpulan penceroboh terbabit, dan kita turut memantau perkembangan di lokasi kejadian sebagai langkah berjaga-jaga,” jelasnya.

“ATM juga sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan cubaan susulan kumpulan penceroboh untuk menyusup masuk ke Pantai Timur Sabah.

Zulkifeli berkata kawalan keselamatan akan terus dipertingkat dengan penumpuan operasi di kawasan perairan sekitar lokasi pencerobohan, khususnya di Felda Sahabat.

“Kawalan keselamatan turut dipertingkat, khususnya di kawasan perairan, dengan setiap pergerakan dipantau rapi bagi menghalang sebarang cubaan mereka menyusup masuk ke negeri ini,” katanya ketika dihubungi hari ini bagi mengulas dakwaan terdapat rancangan kumpulan penceroboh untuk menyusup masuk ke negeri ini bagi menimbulkan huru-hara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). 

Difahamkan tindakan itu dikatakan menjurus kepada misi membalas dendam terhadap pasukan keselamatan Malaysia susulan insiden serangan ke atas pengganas bersenjata Sulu, di Kampung Tanduo dan beberapa kampung berhampiran, pada awal Mac lepas.

Sambil menjamin keselamatan di Pantai Timur Sabah berada pada tahap terkawal, terutama menjelang PRU13, beliau berkata orang ramai, khususnya penduduk setempat, tidak harus berasa khuatir kerana ATM mempunyai pegawai dan anggota yang mencukupi di ‘ground zero’.

No comments:

Post a Comment