![]() |
LANCARKAN ... Musa bersama barisan kepimpinan parti komponen BN Sabah menunjukkan Manifesto BN Sabah di ibu pejabat Umno negeri, hari ini. |
KOTA KINABALU: Barisan
Nasional (BN) Sabah menggariskan 16 teras utama dalam manifestonya sebagai
tambahan kepada manifesto atau Akujanji BN Pusat Pada Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13).
Ketua Menteri
Datuk Seri Musa Aman berkata, manifesto itu
adalah komitmen dan iltizam BN kepada semua rakyat di negeri ini untuk
memperjuangkan semua perkara yang dekat di hati rakyat.
“Kita bersyukur
kerana dengan sokongan padu rakyat dan semangat kerja berpasukan, kita berjaya
mencapai kejayaan demi kejayan dalam pelbagai bidang.
“Justeru
sebagai sebuah kerajaan dan parti yang bertanggungjawab dan memikirkan,
merancang serta melaksanakan pembangunan untuk hari ini dan esok, BN Sabah
komited dan penuh iltizam untuk melaksanakan lebih banyak program dan agenda
pembangunan untuk rakyat dalam tempoh seterusnya,” katanya.
Beliau berkata
demikian ketika berucap melancarkan Manifesto Tambahan BN Sabah bertemakan “Kami Telah Tunaikan. Lebih Banyak Lagi Akan
Dilaksanakan”, di Bangunan Umno, di sini, hari ini.
Turut hadir
Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Presiden
Parti Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (PBRS) Tan Sri Bernard Dompok,
presiden-presiden dan pengerusi-pengerusi perhubungan parti komponen BN dan
calon-calon BN PRU13.
Musa berkata,
kesemua 16 agenda utama yang digariskan dalam manifesto itu dirumus hasil
perbincangan semua parti komponen BN.
“Pertama
Menangani Pendatang Haram iaitu komitmen kita untuk melaksanakan
cadangan-cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berdasarkan kepada hasil
siasatannya terhadap masalah pendatang haram di Sabah.
“Kedua ialah
Undang-Undang Tanah iaitu memperkenalkan undang-undang tanah yang relevan dan
institusi khas untuk menyelesaikan pertikaian tanah melibatkan Hak Anak Negeri
serta mempercepat pemprosesan permohonan tanah.
“Ketiga ialah
menjaga keamanan, melindungi rakyat, menjamin keselamatan dan kedaulatan Sabah
dengan mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),” katanya.
Musa berkata, manifesto keempat ialah Peluang Saksama Dalam Perkhidmatan
Negeri. Ia akan memastikan peluang yang saksama berdasarkan merit untuk semua
rakyat Malaysia dan mewakili setiap kaum, cekap serta memberi perkhidmatan
mesra rakyat.
Kelima mengenai Industri Minyak dan Gas iaitu meneruskan bayaran tunai khas
dan pemberian dana untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan sehingga melebihi
20 peratus daripada perolehan minyak dan gas kepada Sabah serta mendapatkan
lebih banyak manfaat dan penyertaan rakyat tempatan dalam industri minyak dan
gas negeri Sabah.
Keenam, BN Sabah akan terus mendokong, memaju dan memelihara semangat
Perjanjian 20 Perkara.
Ketujuh, Pembasmian Kemiskinan iaitu mengurangkan tahap kemiskinan kepada
tiga peratus dalam tempoh lima tahun dengan menyelaraskan semua program
kerajaan untuk memperkasa masyarakat setempat supaya berdikari dan dengan
melaksanakan program-program transformasi.
Kelapan, Memelihara Alam Sekitar dan manifesto kesembilan ialah Membanteras
Rasuah bagi memperbaiki ketelusan dan tadbir urus di semua peringkat
perkhidmatan kerajaan.
Teras lain yang turut ditekankan dalam manifesto itu ialah mengukuhkan
sistem perundingan yang memastikan penyertaan rakyat dari semua peringkat dalam
proses membuat keputusan, memberikan sasaran terhadap pembangunan belia dan
sukan, memperkasakan wanita dan memastikan kesaksamaan gender dan meningkatkan
pembangunan modal insan.
Musa berkata BN Sabah turut mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk
memenuhi ekonomi moden dan berasaskan industri, merapatkan jurang pembangunan
antara bandar dan luar bandar.
Beliau berkata kesemua manifesto BN Sabah itu adalah pelengkap kepada
manifesto pusat yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak, sebelum ini.
“Manifesto ini
merakamkan track record dan bukti kejayaan dan pencapaian kerajaan BN Sabah
yang menjadi pemangkin kepada kestabilan politik, kemakmuran sosial dan
kemajuan ekonomi yang dinikmati oleh segenap lapisan rakyat di bumi yang
bertuah ini.
Beliau berkata,
manifesto itu dirumus seiring dengan Manifesto BN Pusat. “intipati manifesto
kita juga lebih realistik, praktikal, menyeluruh, lengkap-mengambil kira kepentingan
dan kehendak pelbagai lapisan rakyat, yang kita yakin bahawa manfaatnya akan
dinikmati semua pihak termasuklah pemimpin dan penyokong parti pembangkang”.
“Kita tidak
populis dengan menjanjikan sesuatu yang ‘tidak berpijak di bumi nyata’ atau
janji yang tidak sepadan dan sesuai dengan realiti semasa, seperti mana
manifesto pembangkang,” katanya.
Manifesto itu
ditulis dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan
Kadazandusun bagi memudahkan seluruh rakyat Sabah memahaminya.
No comments:
Post a Comment