Monday, 22 April 2013

Undi golongan muda penentu kemenangan: Herbert

OLEH GINDANAU SAKAT

KOTA BELUD:  Calon Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, Datuk Herbert Timbon Lagadan mengakui kelantangan dan semangat golongan muda dalam berpolitik mula terserlah apabila pandangan mereka mendapat perhatian kerajaan.

Katanya, semangat dan keghairahan golongan muda membabitkan diri dalam arena politik banyak menyedarkan bahkan mengerunkan ramai tokoh politik dan pemimpin kerajaan.

Bagaimanapun, tambahnya, golongan tersebut memerlukan bimbangan para pemimpin  tersohor yang lebih berpengalaman supaya hala tuju politik golongan muda tidak tersasar ke ‘lembah kekelaman’.

Sehubungan itu, Herbert berpendapat bahawa bidang politik bukan lagi hak mutlak kepada golongan berumur, sebaliknya perlu dikongsi bersama dengan golongan muda sebagai pemimpin pelapis.

Herbert juga mengakui bahawa undi golongan muda adalah penentu kemenangan kepada semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini. Dimana hari mengundi ialah pada 5 Mei ini.

"Saya percaya sokongan pengundi muda akan berpihak kepada calon BN, memandangkan golongan itu mempunyai pemikiran matang dalam membuat pilihan tepat," katanya pada Majlis Bersama Rakyat di Kampung Piasau, dekat sini, pada Ahad.

Herbert adalah penyandang kerusi DUN Kadamaian dalam kawasan Parlimen Kota Belud, yang dimenanginya dengan majoriti 2,473 undi menerusi PRU12 pada 2008.

Pada PRU13 ini, beliau menghadapi pertandingan empat penjuru ditentang calon PKR, Ukoh @ Jeremmy Malajad @ Malazad; Rubbin Guribah (STAR) dan Peter Marajin (SAPP).
 

LAYAN RAKYAT … Herbert beramah mesra dengan para belia di Kampung Piasau.



No comments:

Post a Comment