Tuesday, 23 April 2013

Najib sebal, masyarakat Kota Belud kesal


KOTA BELUD: Akibat cuaca buruk dan helikopter tidak boleh terbang adalah alasan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak menemui 10,000 masyarakat Kota Belud yang menanti beliau sejak tengah hari.

Dengan rasa sebal dan rendah diri, Najib lantas menghubungi Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang merupakan calon BN bagi kerusi Parlimen Kota Belud, menggunakan telefonnya sendiri dan berulang kali meminta maaf kerana tidak dapat hadir.

Ketika membuat panggilan itu, Najib masih lagi berada di Bongawan. Sebelum itu, beliau menghadiri majlis bersama rakyat di Pekan Bongawan, Papar.

Perdana Menteri dijadual tiba di sini kira-kira pukul 4 petang ini tetapi, terpaksa membatalkan perjalanannya, selepas helikopter yang membawa beliau tidak dapat terbang kerana keadaan cuaca buruk di Papar.

Walaupun gagal menemui 10,000 masyarakat Kota Belud, Najib tidak menghampakan mereka di mana Pengerusi BN itu berjaya menyampaikan amanatnya melalui telefon:  “Saya yakin dan percaya insya-Allah yang datang ini semua menyokong BN. Saya juga rayu jentera BN semua supaya bekerja kuat untuk pastikan kita berjaya menubuhkan kerajaan yang kuat di peringkat nasional dan negeri,” katanya disambut sorakan mereka yang hadir.

Perbualan beliau didengari secara terus ribuan hadirin apabila Abdul Rahman menguatkan speaker dan mendekatkan telefonnya ke mikrofon.

Kepada masyarakat Kota Belud, Najib mengulangi mesej jelas agar mereka menolak pembangkang dan membuktikan calon pembangkang bukan pilihan rakyat Sabah pada pilihan raya umum ke-13, 5 Mei ini.

 “Saya juga beri jaminan pembangunan yang lebih pesat akan kita laksanakan jika rakyat Sabah terus beri sokongan kepada BN,” katanya.

Mengakhiri bicaranya dengan sekali lagi meminta maaf kepada penduduk yang hadir, Najib menarik sokongan rakyat dengan sorakan “Hidup BN” dan “Tatap BN” yang disambut mereka yang hadir.

No comments:

Post a Comment