SAH kira-kira 70 peratus pengundi pos luar negara keluar mengundi di 100 pejabat perwakilan Malaysia, Ahad lepas, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
katanya pengundi luar negara yang berdaftar
berjumlah 8,756 orang, dan daripada jumlah itu, 6,092 hadir pada masa
penyerahan dan penerimaan balik sampul undi pada hari berkenaan.
Abdul Aziz berkata pengundi tidak hadir (PTH) ialah
seramai 2,633 orang dan mereka bertanggungjawab menghantar sendiri kertas undi
secara pos ke pejabat Pegawai Pengurus (RO) pilihan raya masing-masing di
Malaysia sebelum 5 petang, 5 Mei ini.
“Saya sangat gembira dengan respon dari rakyat Malaysia di
luar negara,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal
di Kem Wardieburn, Jalan Genting Klang di Kuala Lumpur, hari ini.
Abdul Aziz berkata dengan lebih 2,000 pengundi, Australia
mencatat jumlah pengundi Malaysia di luar negara paling ramai mengundi bagi
pilihan raya umum ke-13 ini.
Beliau berkata beg diplomatik yang mengandungi kertas undi
pos yang diterima pihaknya itu akan dihantar terus ke pejabat SPR negeri
sebelum disalurkan ke pejabat RO di seluruh negara.
“Sebanyak 100 pejabat perwakilan Malaysia telah menghantar
laporan berhubung proses pilihan raya di sana manakala tiga pejabat perwakilan
lagi dilaporkan tiada pengundi yang hadir,” jelasnya.
Beliau berkata kertas undi pos dan undi awal itu akan
dibuka dan dikira pada hari yang sama dengan kertas undi biasa iaitu pada 5
Mei.
No comments:
Post a Comment