Friday, 31 May 2013

Immaculate Ratu Unduk Ngadau KDCA 2013



RATU UNDUK NGADAU 2013 ... Peserta Unduk Ngadau yang mewakili Bandaraya Kota Kinabalu, Immaculate Lojuki, 20, (tengah) dimahkotakan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2013 di Hongkod Koisaan KDCA Penampang, dekat Kota Kinabalu, hari ini.

Tempat kedua, wakil  dari daerah Ranau, Ritchell Andreas (kiri) dan ketiga, wakil daerah Tuaran, Nillsey Debbie Sening (kanan). Tempat keempat Diana Gilbert (Putatan), tempat kelima Dedie Phang (Penampang), keenam Ledesma Steven (Klang Valley) dan tempat ketujuh Sarah Cleophas Gorotud (Tambunan).

Seramai 40 peserta dari suku kaum Kadazandusun di seluruh Sabah menyertai pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan tahun ini. 

Immaculate adalah seorang kakitangan Hotel Shangri-La Tanjung Aru membawa pulang hadiah bernilai RM87,800 termasuk trofi sumbangan Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bernilai RM1,700, set barangan kemas sumbangan Diamoney Jewellery Holdings  Sdn Bhd bernilai RM38,300, melanjutkan pelajaran peringkat Diploma di Asian Tourism International College bernilai RM25,000, percutian tiga malam di Singapore-Penang-Phuket sumbangan Star Cruise bernilai RM13,000.


Selain itu, beliau juga menerima wang tunai dan hamper sumbangan Nestle bernilai RM6,600, sebuah telefon pintar dan pakej internet selama setahun sumbangan Digi Telecommunications Sdn Bhd bernilai RM1,850, produk kecantikan sumbangan Marie Aesthetic's Beauty Spa bernilai RM300, hamper sumbangan Albert Oliver House Of Dresses bernilai RM600 dan selempang beserta sejumlah bunga bernilai RM450 sumbangan penganjur.

Sementara itu, Norhaninah Malik dari Tongod sebagai Miss Popular Digi 2013 mendapat 3,106 undian dan Ritchel Andreas dari Ranau memenangi Unduk Ngadau Pilihan Facebook mendapat 3,035 undian.



Tuesday, 28 May 2013

PAS Kelantan tidak ‘halalkan’ cara ‘Arab Spring’ untuk tumbang kerajaan

KOTA KIANBALU: Menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat pada pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu dengan cara keganasan dan demonstrasi jalanan ditolak oleh PAS Kelantan dan beberapa pemimpin parti itu.

“Menjatuhkan kerajaan secara ‘Arab Spring’ itu sebenarnya tidak membawa sebarang kebaikan sebaliknya membawa lebih banyak keburukan kepada negara,” tegas  Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

“Kita di Kelantan sendiri pun tidak pernah membincangkan sama ada perlu untuk kita berhimpun seperti yang diadakan di negeri lain dan bagi PAS Kelantan adalah lebih baik untuk apa sekali pun ia dilakukan mengikut kaedah demokrasi,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Baharu, hari ini.

Nik Mohd Amar, yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan itu, berkata jika perhimpunan itu dilakukan secara aman untuk mengkritik kerajaan ia tidaklah menjadi kesalahan bagi pengikut parti itu berkumpul menzahirkan bantahan itu.

Nik Mohd Amar berkata: “Ada dua perkara yang berbeza sama ada kita berkumpul untuk mengkritik kerajaan dan ketidaktelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu tidak mengapa tetapi kita sudah sepakat termasuk dalam DAP yang tidak setuju untuk kita jatuhkan kerajaan dengan cara kegananasan.”

Katanya, baru-baru ini pun PAS Pusat berpendirian tegas tidak akan menyokong sebarang usaha oleh mana-mana pihak termasuklah oleh kumpulan pro pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan secara kekerasan.

Sementara itu, Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali pula berkata,PAS berpendirian begitu kerana di negara ini masih terdapat prosedur lain iaitu melalui mahkamah atau petisyen untuk mencabar keputusan PRU13 itu.

Manakala,  Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz  juga menolak usaha seumpama itu dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai gopoh.


SPR disaran letak gambar dalam daftar pemilih

KOTA KINABALU:  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran meletakkan gambar dalam daftar pemilih bagi mengelak salah guna kad pengenalan oleh individu tidak bertanggungjawab pada hari mengundi. 

Bagaimanapun, Setiausaha Pendaftaran Pemilih SPR Yusniati Ishak memaklumkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai masalah pendatang tanpa izin di Sabah, saranan itu memerlukan kajian bagi memastikan ia bermanfaat kepada SPR. 


Disoal pegawai pengendali Manoj Kurup mengapa langkah itu tidak dilaksana sebelum ini, beliau berkata SPR tidak pernah meminta gambar sebagai satu daripada syarat untuk mendaftar sebagai pemilih.


Pada prosiding di depan panel lima anggota yang diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, Yusniati berkata jumlah pemilih meningkat secara mendadak sejak 1982.


Bagaimanapun, beliau tidak pasti jika SPR ada membuat kajian berhubung peningkatan itu.“Berdasarkan data SPR pada 1982, terdapat 350,609 pemilih berdaftar di Sabah, iaitu meningkat 149,748 sejak 1978, yang merekodkan 208,861 pemilih berdaftar,” katanya.


Yusniati juga berkata jumlah pemilih berdaftar di Sabah meningkat kepada sejumlah 959,669 pada Ogos tahun lepas.


Sementara itu, Pengarah Imigresen Sarawak Datuk Robert Lian memaklumkan RCI bahawa pegawai imigresen di semua 31 pintu masuk ke Sabah melaksanakan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab dan beliau tidak pernah menerima laporan berhubung kemasukan tidak sah.


“Selalunya, mereka (individu yang keluar atau masuk Sarawak) tampil di depan pegawai imigresen. Ini adalah undang-undang,” katanya. 


Panel RCI turut dianggotai bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Profesor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas timbalan ketua menteri dan bekas Peguam Besar Sabah Tan Sri Herman J.Luping. 


PENGHORMATAN TERAKHIR … Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (kanan) memberi penghormatan terakhir kepada adik keduanya, Petrus Paimil, 71, yang telah meninggal dunia pada 25 Mei, 2013.

Mendiang disembahyangkan di Gereja St. Theresa, Tambunan  sebelum dikebumikan di tanah perkuburan gereja berkenan.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap wakil rakyat Tambunan, turut menerima ucapan takziah daripada orang ramai.

Hadir sama memberi penghormatan, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr. Maximus Ongkili dan kelihatan sama Timbalan Presiden PBS, Datuk Alimudin Kaida.

Pairin dan keluarga akan berkabung sehingga ‘monumpoli’ (buka pantang) pada 30 Mei ini.
  

Sunday, 26 May 2013

Gedion juara Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri 2013

BARISAN PEMENANG SUGANDOI ... Gedion (tengah), Fransisca (kiri) dan Jacklyn bersama hadiah kemenangan masing-masing.

OLEH MARRYAN RAZAN

Gedion Hilarius wakil Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) muncul johan pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri 2013 di Dewan KDCA, Penampang, pada malam Sabtu.

Dengan kemenangan itu beliau menerima hadiah wang tunai RM6,000 berserta piala dan sijil penyertaan.

Gedion membawakan lagu “Guminawo Zou Diau” dan lagu baru ciptaan Denis Primus bertajuk “Kanou Masi Id Katangaban”.

Tempat kedua dimenangi oleh Fransisca Juingki yang mewakili daerah Sandakan. Beliau menerima hadiah wang tunai RM4,000, piala dan sijil.

Fransisca yang membawakan lagu wajib “Adaa” dan lagu baru “Titungkap Piginawaan” hasil ciptaan Minami Sugali Anduini turut memenangi penyanyi popular dan menerima hadiah wang tunai RM300.

Manakala tempat ketiga pula dimenangi wakil daerah Penampang, Jacklyn Liew Yun yang membawakan lagu “Iziau Noh Songuhun” dan lagu baru ciptaan Alice Marius “Oi Apa”. Dengan kemenangan itu beliau membawa hadiah wang tunai RM3,000, piala dan sijil.

Pertandingan Sugandoi Kaamatan yang diadakan setiap tahun sempena sambutan Pesta Kaamatan di negeri ini disertai 37 orang yang mewakili semua daerah di negeri ini.

Bagaimanapun hanya 10 peserta dipilih ke pertandingan akhir iaitu Vui Kuang Apau (Kuala Penyu), Chrispine Joseph (Putatan), Jacklyn Liew Yun Len (Penampang), Fred Joanne Asoon (Tanjung Aru), Gedion Hilarius (DBKK), Azlee Mualip (Kudat), Jasri Madin (Kota Belud), Jimmy P. Masamil (Menumbok), Alwie Jusli (Kota Marudu) dan Fransisca Juingki (Sandakan).

Lagu-lagu baru ciptaan ahli jawatankuasa Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri yang dibawakan oleh para peserta ialah “Tomodon” hasil ciptaan Rollis Mitol, Nokotongkiad (Adolf Jamit), Oi Apa (Alice Marius), Ihumonku Kagarasonku (Diana Clevon Monjuil), Kanou Masi Id Katangaban (Denis Primus), Porotio Poh Daa (Betcy Micheal), Poihoo, Polotio Zou (Anna Stanislaus), Ganit Id Ginawoku (Cosmas Chin), Aiso Nodi (Petrus Martin) dan Titungkap Piginawaan hasil ciptaan Minami Sugali Anduini.

Pertandingan Sugandoi Kaamatan itu disempurnakan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bagi mewakili Timbalan Ketua Menteri dan Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan persembahan bekas juara sugandoi kaamatan pada tahun-tahun sebelum ini.

Antara tujuan penganjuran pertandingan Sugandoi Kaamatan ialah untuk mencungkil bakat-bakat baru di kalangan belia tempatan di samping memartabatkan budaya dan lagu-lagu tempatan terutamanya Kadazandusun Murut.


 Penampilan dan nyanyian mantap daripada Gedion.
Persembahan daripada Fransisca

  Jacklyn ketika menyanyikan lagu “Oi Apa”.
  
Azlee, peserta dari Kudat.



Aktiviti Promosi Kraf Malaysia di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu Dari 24 Mei - 3 Jun 2013



































Saturday, 25 May 2013

Jadikan BN parti tunggal perlu dikaji: TPM

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata cadangan untuk menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal adalah rasional dan perlu dikaji secara mendalam untuk kesinambungan sokongan rakyat pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri hari ini berkata cadangan besar dan penting bagi memastikan BN kekal relevan itu perlu difikirkan segera oleh setiap parti komponen dan dijawab dalam tempoh terdekat jika mengambil kira keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas.

“Selepas mengambil kira apa yang berlaku dalam PRU lepas kalangan pimpinan BN melontarkan pandangan apakah wajar BN dilihat semula kerana kerjasama yang wujud sekarang ialah penggabungan 13 parti yang menjadi komponen BN dengan setiap parti mempunyai perlembagaan sendiri dan cuma bergabung atas nama BN.
“Ada yang berpendapat mungkinkah sudah sampai masa bahawa penggabungan itudapat dibentuk dalam satu situasi yang lebih mantap iaitu BN sebagai sebuah  parti politik, bukan lagi gabungan pelbagai parti politik,” katanya mengulas cadangan parti Gerakan yang mahu BN bersifat parti tunggal seperti mana yang dinyatakan pemangku presidennya Datuk Chang Ko Youn dua hari lepas.

Bercakap kepada pemberita di sini (Phuket, Thailand) pada 24 Mei, 2013, Muhyiddin berkata cadangan itu mempunyai asas tetapi menuntut setiap parti melakukan kajian mendalam dengan mendapatkan maklum balas dan pandangan anggota parti masing-masing kerana ia melibatkan soal organisasi dan struktur penubuhannya.

Beliau berkata walaupun cadangan itu mungkin berdepan tentangan tetapi yang penting setiap anggota parti perlu melihat ke depan dan jika merasakan ia wajar dilakukan, satu mekanisme pelaksanaan yang boleh diterima semua anggota parti yang bergabung dalam BN perlu dikemukakan segera.

"Ini adalah lebih dari soal bermuhasabah, kita kena lihat sendiri struktur BN yang sedia ada bahawa apakah sudah sampai ketikanya sebuah parti yang dinamakan BN dibentuk, bukan lagi dalam bentuk gabungan parti-parti komponen BN tetapi BN sebagai sebuah parti politik," katanya.

Sehubungan itu beliau mencadangkan sebuah makmal politik diadakan bagi mencerna idea tentang format baru BN seperti yang dicadangkan di mana semua pihak, termasuk kalangan bukan anggota parti yang mengambil berat mengenai masa depan negara dan ingin memberi sumbangan turut dilibatkan.

“Bagi saya itu sesuatu yang agak besar tetapi saya juga berpendapat ia penting kerana saya tidak tahu sama ada kita boleh kekalkan kedudukan sebegini untuk tempoh lima tahun mendatang tetapi yang pasti persoalan ini perlu dijawab dalam tempoh yang terdekat dan kalau ia wajar, bagaimana hal itu hendak dilaksanakan.

“Ini perlu difikirkan untuk tempoh beberapa bulan dan setahun ke hadapan, kalau sudah dianggap boleh selepas makmal itu dibuat mungkin boleh panggil satu konvensyen maka pemimpin BN boleh duduk bersama bagi membincangkan hala tuju dan survival parti di masa depan,” katanya.

Ditanya apakah beliau akan membawa cadangan penubuhan makmal itu ke peringkat lebih tinggi, Muhyiddin berkata: “Di peringkat BN saya pun telah beritahu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin satu daripada perkara yang kita akan teliti ialah struktur BN itu sendiri, bukan lagi sekadar kosmetik tetapi secara serius bagaimana ia harus berubah dari yang lama kepada struktur baharu yang lebih ke hadapan.

Beliau berkata cadangan itu mengambil kira perubahan pemikiran masyarakat, pengundi dan generasi muda yang sebahagiannya tidak mahu melihat parti yang dikatakan dibentuk berasaskan kaum.

Dalam perkembangan lain Timbalan Perdana Menteri berkata bedah siasat BN berhubung keputusan pilihan raya umum yang sedang dilakukan oleh sebuah badan yang dilantik khas boleh diketahui selewat-lewatnya Julai ini.

Muhyiddin berkata bagi memastikan analisis yang tepat, bebas dan telus pasukan itu dibentuk dari kalangan mereka daripada luar parti bagi memberi kebebasan sepenuhnya kepada mereka untuk mengemukakan pandangan asalkan berasas.

“Kita tidak mahu berselindung, kita hendak tahu apakah sebab kita menang atau kalah, apa faktor yang menyebabkan kemenangan dan kekalahan, dan lebih lanjut daripada itu adalah perakuan-perakuan yang kita akan buat untuk menentukan supaya BN terus relevan dan bagaimana kita menangani tempoh lima tahun sebelum menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.


Friday, 24 May 2013

Marsha perjelas isu ‘Marsha Milan’

PELAKON dan penyanyi popular, Marsha Milan Londoh menyangkal dakwaan mengatakan dia membuang keluarga gara-gara dia menukar namanya daripada Marsha Milan Londoh ke Marsha Milan.

"Saya tak nafi, situasi itu ada berlaku. Orang macam main-main, tersalah sebut nama Londoh jadi Londeh, Lendeh dan sebagainya. Tak tahulah kalau memang ada yang sengaja buat-buat tersalah sebut, tapi apa pun secara positifnya saya fikir itu adalah satu strategi yang baik buat karier saya juga. Saya mahu orang nampak saya matang," jelasnya.

"Saya tak nafi, situasi itu ada berlaku. Orang macam main-main, tersalah sebut nama Londoh jadi Londeh, Lendeh dan sebagainya. Tak tahulah kalau memang ada yang sengaja buat-buat tersalah sebut, tapi apa pun secara positifnya saya fikir itu adalah satu strategi yang baik buat karier saya juga. Saya mahu orang nampak saya matang," jelasnya.

Dipetik dari laporan Utusan, Marsha memberitahu dia membuat keputusan untuk menukar nama kepada yang lebih ringkas itu kerana tidak mahu sesetengah pihak tersalah sebut namanya lagi.

"Kalau orang kata saya buang keluarga, itu salah. Milan itu nama bapa saya. Londoh adalah nama keluarga turun-temurun. Jadi siapa kata saya buang keluarga? Semuanya bermula bila saya menjadi hos program "Propaganza".

Mereka kata nama saya panjang sangat, jadi guna sajalah Marsha Milan. Itu sahaja.

Tegas wanita berusia 27 tahun ini, walaupun dia telah memendekkan namanya, namun dia tetap Marsha yang sama seperti dulu. - TUPAI.com.my

KDCA-ISCEP to hold Kaamatan concert on Sunday nite

KOTA KINABALU: In conjunction with the Harvest Festival, the Kadazandusun Cultural Association (KDCA) in collaboration with the International Student Cultural Exchange Program (ISCEP) will hold a concert KDCA- ISCEP Kaamatan 2013, here on Sunday night.
                Organising chairman of the KDCA-ISCEP Kaamatan Concert 2013 Flavia Ignatius said, the concert involves participants from 16 schools who will be performing dances and singing and playing traditional musical instruments.
                "We warmly welcome the presence of the public to support the Harvest Concert Iscep, which uses the Harvest Festival theme, entitled 'Keep goodwill and understanding through the Harvest'," she said in a statement, here today.
                Flavia said various ethnic cultures of Sabah will be presented by the participants, who have made early preparations for the concert which is part of the ISCEP efforts to promote cultural dignity among the younger generation.

                The concert will be officiated by Huguan Siou cum Sabah Deputy Chief Minister Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Civil and syariah laws should be reviewed to prevent child marriage: Azizah

KOTA KINABALU: The civil and syariah laws in the countryshould be reviewed to allow for a stricter regulations on child marriage, Deputy Women, Family and Community Development Minister Datuk Azizah Mohd Dun said today.

She said the review was necessary to prevent quarters from taking advantage of the loop holes in the law, including the syariah laws which allowed child marriage if it met the stipulated conditions.

“We'll get the views of various quarters, including civil and syariah legal experts, on whether there is a need to formulate a new law or improve the existing laws," she told reporters at a thanksgiving ceremony at her residence in Likas near here yesterday.

Azizah was commenting on a recent Sessions Court case where a 40-year-old man charged with raping an under-age girl married the victim, who is almost 13 years old, according to syariah laws.

She said any child in such a situation should be protected and did not rule out child marriage as one of the reasons for the high number of young single mothers, especially in the rural areas in Sabah.

"Most of them married at a young age. They have no permanent job, so they cannot support their families. The husbands go to the towns to look for job and leave their wives behind. After sometime, they forget their wives and children back home," she added.

She said programmes would be carried out to create awareness among the public on problems facing couples who married at a young age.

KDCA-ISCEP adakan Konsrt Kaamatan 2013 esok

KOTA KINABALU:  Sempena dengan Sambutan Pesta Kaamatan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dengan kerjasama International Student Cultural Exchange Program (ISCEP) akan mengadakan Konsert Kaamatan KDCA-ISCEP 2013 malam Ahad (26 Mei, 2013).

Pengerusi Penganjur KDCA ISCEP Konsert Kaamatan 2013,  Flavia Ignatius berkata, konsert itu melibatkan peserta dari  16 buah sekolah yang akan membuat persembahan berupa tarian kebudayaan dan moden, nyanyian dan bermain alat muzik tradisi.

Konsert  bertemakan "Kekalkan Muhibbah dan   Persefahaman Melalui Kaamatan".

Kata Flavia, kebudayaan dari pelbagai etnik Sabah akan dipersembahkan oleh para peserta, yang telah membuat persediaan awal menghadapi konsert tersebut sebagai usaha ISCEP dalam memertabatkan budaya di kalangan generasi muda.

Tiket RM5 dikenakan seorang sempena konsert tersebut yang akan diadakan di Dewan Utama KDCA, Penampang bermula pada jam 7 malam.

Konsert itu akan dirasmikan oleh Huguan Siou Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

 Pengarah Pelajaran Negeri, Jame Alip dan Pengarah Kebudayaan Kesenian Negara, Kipli Gitam turut hadir  di konsert tersebut.

Turut  diadakan cabutan tiket bertuah yang menawarkan hadiah  menarik berupa  Samsung Galaxi Tab, Samsung Ipad, Komputer Riba dan hamper.



ANTARA gambar-gambar menunjukkan veriasi persembahan pada Konsert Kaamatan KDCA-ISCEP 2013 yang bakal diadakan esok.




Thursday, 23 May 2013

Rakyat asing dakwa dapat KP melalui Projek IC

KOTA KINABALU:  Keluarga rakyat asing mengatakan mereka menerima kad pengenalan biru di Sabah melalui ‘Projek IC’ sebelum memohon untuk pendaftaran lewat bagi anak-anak mereka,” kata seorang pegawai mahkamah kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan dengan pendatang tanpa izin di sini hari ini.

Melissa Chia, pendaftar kanan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memberi keterangan hari ini bahawa rakyat asing, kebanyakannya warga Filipina dan Indonesia tanpa surat beranak Malaysia, membuat permohonan seperti itu untuk anak-anak mereka apabila beliau bekerja sebagai magistret di Tawau dan Semporna semenjak 2008.

“Mereka kata, ‘Saya tidak mempunyai surat beranak kerana dapat IC melalui Projek IC,’” kata Chia semasa RCI hari ini (23 Mei, 2013).


“Mereka kata, ‘Jadi semasa saya bekerja di kem atau industri kayu, terdapat kumpulan yang memberi saya borang untuk memohon. Jadi saya ikut dan pohon. Saya dapat IC biru,” tambahnya apabila ditanya apa maksud keluarga rakyat asing dengan “Projek IC.”


Chia mengatakan beliau tidak mempunyai angka rasmi berapa ramai warga asing memberitahunya mereka menerima kad pengenalan biru melalui 'Projek IC'.


Tun Dr Mahathir Mohamad, yang merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat dari 1981-2003, telah dituduh menerajui 'Projek IC', di mana kewarganegaraan didakwa diberikan kepada pendatang sebagai ganti kepada undi mereka.


Akan tetapi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh, yang mentadbir negeri dari 1976 ke1985, menafikan kewujudan 'Projek IC'.


Sindiket melibatkan bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah mendapat RM11 juta hasil daripada penjualan kad pengenalan (IC) kepada pendatang haram di Sabah, kata Pegawai Polis Kanan Cawangan Khas (SB) Ahmad Fauzan Mohamad Febuari lalu.


Sebelum itu bekas pengarah JPN Ramli Kamarudin, bagaimanapun, memberitahu RCI pada Januari bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Megat Junid Megat Ayub mengarahkan dirinya untuk mengeluarkan resit JPN, yang sama dengan nama dan nombor kad pengenalan pengundi berdaftar kepada pendatang.


Ramli telah mengatakan lebih kurang 200 resit JPN dikeluarkan di lima atau enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), di mana kerajaan merasakan sukar untuk menang, sebelum pilihan raya negeri 1994.


Pilihan raya negeri 1994 menyaksikan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang 25 daripada 48 kerusi DUN.


Akan tetapi beberapa ADUN PBS belot menyertai Barisan Nasional (BN) sejurus selepas itu, menyebabkan kerajaan PBS jatuh.


Ikuiri di hadapan lima orang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong akan bersambung pada Isnin. - The Malaysian Insider  

KDN rampas akhbar Pakatan Pakatan hari ini

KUALA LUMPUR: Akhbar milik parti Pakatan Rakyat (PR) PAS, PKR dan DAP dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di beberapa kawasan pagi ini (23 Mei, 2013) di seluruh negara.

Harakah milik PAS, Suara Keadilan milik PKR dan The Roket milik DAP dirampas oleh pegawai-pegawai KDN di beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah.
“Ya Harakah dirampas di beberapa tempat pagi ini,” kata pengarang Harakah Zulkifli Sulong apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider sebentar tadi.

Harakah yang dirampas adalah Edisi Jumaat 24-26 Mei yang memaparkan tajuk muka depan “GST hadiah BN untuk rakyat”.
Portal Harakahdaily melaporkan Pengurus Pemasaran Harakah, Ahmad Faisal Tawang mengatakan pagi ini beliau menerima pangggilan telefon daripada pengedar-pengedar yang memaklumkan pihak KDN menjalankan operasi merampas Harakah.
Katanya, KDN bukan sahaja merampas Harakah di kedai-kedai malah turut menyerbu premis pengedar. Di Melaka dianggarkan lebih 500 naskah Harakah dirampas manakala di Alor Setar Kedah pula dilaporkan sebanyak 1,000 naskah.

Rampasan di Kedah itu dilaporkan dibuat di atas lori, sebelum sempat akhbar itu diturunkan untuk diagih kepada pengedar dan dijual.

“Di Seremban Negeri Sembilan pejabat pengedar turut diserbu oleh KDN. Tetapi di Kedah pihak KDN tidak menunjukkan kad penguatkuasa dan surat dari KDN yang sah sebelum bertindak,” katanya dipetik dari Harakahdaily.

KDN mengesahkan menjalankan operasi menguatkuasakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 dan merampas sebanyak 1,408 Suara Keadilan, 1,062 Harakah dan 70 The Rocket.

“Tindakan penahanan ini diambil atas kegagalan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 di bawah Seksyen 5 iaitu Kesalahan Untuk Mencetak, Mengimport, Menerbit Akhbar Tanpa Permit, tidak mematuhi syarat-syarat permit iaitu untuk edaran ahli-ahli sahaja seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri,” kata KDN dalam satu kenyataan petang ini.

“Operasi penguatkuasaan ini telah dilaksanakan di premis-premis yang menjual tabloid di seluruh negara bermula pada 22 Mei 2013 dengan mengambil kira tindakan pemantauan dan teguran yang telah dilakukan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri sebelum ini.”

Hari ini ahli Parlimen Batu PKR Chua Tian Chang, ahli PAS Tamrin Ghafar dan aktivis Haris Ibrahim ditahan kerana menghasut dan di bawa ke balai polis Jinjang untuk disoal siasat dan penahanan.

Difahamkan kesemuanya ditahan secara berasingan dalam tindakan keras polis hari ini. Ini adalah siasatan ketiga polis mengenai hasutan semenjak pilihan raya 5 Mei. - The Malaysian Insider


Bakar rumah wanita, lelaki Sarawak dipenjara 18 bulan

KE PENJARA ... Ajang diiringi anggota polis untuk menjalani hukuman penjara .


KOTA KINABALU: Gara-gara cinta tidak berbalas, seorang lelaki dari Sarawak yang bertindak membakar sebuah rumah di mana wanita itu tinggal dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Ajang Wan, 52, yang dihadapkan di hadapan hakim  Duncan Sikodol mengaku melakukan kesalahan itu pada 10 Jan kira-kira jam 10.30 malam do Rumah  Kongsi Ladang Buaya di  Kg Putaton, Penampang.
Kesalahan ini di bawah Seksyen  436 Kanun kesiksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh didenda.

Menurut fakta kes seorang lelaki berusia 55 tahun telah membuat laporan polis tentang kejadian itu selepas dimaklumkan oleh para pekerjanya.

Setelah menerima maklumat tertuduh ditahan di  Klinik Kesihatan Penampang  pada 15 Jan untuk siasatan lanjut.

Polis juga merekodkan kenyataan dari seorang wanita yang tinggal di rumah kongsi itu.

Menurut wanita itu yang bekerja sebagai tukang kebun di  Ladang Buaya, sebelum kejadian kira-kira jam 11 pagi tertuduh telah mengancamnya kerana wanita ni enggan berkahwin dengannya meskipun didesak oleh tertuduh beberapa kali.

Menurut fakta kes semasa kejadian tertuduh juga mengalami kecederaan dan terbakar di bahagian kaki dan ketika itu dia juga di bawah pengaruh alkohol.

Wanita itu juga dipanggil untuk memberikan kenyataan di mahkamah dan berkata dia juga kehilangan banyak barangan peribadi termasuk wang simpanannya.

Wanita itu berkata tertuduh terus memaksa untuk menerima cintanya tetapi wanita itu terus menolak kerana dia (wanita itu) mempunyai anak untuk dijaga.

Wanita itu juga memberitahu tertuduh juga mengamok di rumahnya setiap kali tertuduh mabuk.

Dalam rayuannya, Ajang berkata dia ketika itu dalam keadaan mabuk dan tidak sedar apa yang dilakukannya. Tertuduh juga mendakwa menghadapi masalah mental dan mempunyai empat anak untuk disara.

Timbalan Pendakwa Raya,  Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin bagaimanapun meminta hukuman berat dijatuhkan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.


Muslisah wakil Unduk Ngadau Nabawan

Muslisah  (tengah) diapit oleh Leu Kui Ink (kanan) dan Yesomeh.


NABAWAN: Cik Muslisah Pangawai dimahkotakan sebagai Unduk Ngadau Pesta Kaamatan Daerah Nabawan yang berlangsung di Pentas Terbuka Tamu Pekan Nabawan pada Rabu.
Muslisah, 21, berasal dari Kg. Sabinait Baru, Murni C, Nabawan yang bertugas sebagai Kerani di sektor swasta dengan hobinya menari dan bermain badminton pada masa lapang menewaskan enam peserta yang layak ke pusingan akhir.

Tempat kedua disandang oleh Leu Kui Ink, 18, dari Kg. Bahagia A, Nabawan  yang bekerja sebagai juru kecantikan dengan hobi membaca.

Tempat ketiga jatuh kepada Yesomeh Makiong dari Kg. Layon satu-satunya peserta dari kampung yang terpencil di Mukim Pamuntarian.

Yesomeh, 20, yang berhobi menari dan membaca pada masa lapang seorang pelajar Kolej ILHAM bercita-cita menjadi ‘assistant manager’.

Serama 14 peserta menyertai pertandingan Unduk Ngadau sempena Pesta Kaamatan Perigkat Daerah Nabawan.



Kebolehan guru di Sabah lebih baik berbanding Semenanjung: Masidi

KOTA KINABALU: Tahap kemampuan dan kebolehan guru-guru di Sabah adalah lebih baik berbanding dengan guru-guru di Semenanjung, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Exco Pelajaran Sabah, Datu Masidi Manjun.

Katanya, hal ini kerana masalah yang dihadapi oleh guru−guru di sini adalah berlainan dengan guru-guru di Semenanjung.

“Selalu kita bandingkan pencapaian pendidikan di sini dengan di Semenanjung seperti Terengganu yang telah dijadikan sebagai penanda aras.

“Tetapi lihat sahaja dari aspek geografi Sabah lebih besar daripada Terengganu, ada guru dan murid di Sabah yang terpaksa berjalan kaki setengah hari untuk pergi dan pulang dari sekolah, saya tidak rasa ada guru dan murid di Terengganu yang berhadapan dengam cabaran sedemikian,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Solidaririti dan Apresiasi sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah, di sini, pada malam Rabu (22 Mei, 2013).

Oleh itu, katanya, semua pihak harus berpijak di bumi yang nyata apabila menilai negeri ini dari segi pencapaian pendidikan.

Katanya, walaupun guru−guru di Sabah melalui cabaran yang amat getir, namun semangat mereka untuk mendidik tidak pernah luntur dan semangat juang yang amat tinggi inilah yang menjadikan mereka lebih baik dari guru−guru di tempat lain.

"Dalam pada itu, Sambutan Hari Kemerdekaan yang akan disambut secara besar−besaran pada tahun ini bermula Julai sehingga Sambutan Hari Malaysia pada September nanti juga akan membuka lembaran baru bagi mengingati tentang segala yang telah dicapai oleh Sabah dalam tempoh 50 tahun ini," katanya.

“Tidak terkecuali dalam bidang pendidikan, pencapaian yang diperolehi di negeri ini harus dinilai berdasarkan keadaan dan dituasi yang telah dilalui.

Sementara itu, majlis pada malam tersebut turut menobatkan beberapa para guru yang memberi sumbangan dan jasa dalam dalam pendidikan di negeri ini melalui Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Pensyarah Inovatif, Anugerah Bakti Pedalaman, Anugerah Pemimpin Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Anugerah Pusat Sumber Cemerlang, Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas, Anugerah dan Anugerah KHas Guru Sejati Lahad Datu.

Selain itu, majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 guru dari seluruh Sabah itu juga turut menyaksikan pelancaran buku Sejarah Perkembangan Pendidikan di Sabah, Pen A, Logo ‘Guru Mengajar Murid Belajar, dan Lagu ‘1Agenda 1Impian’.

Kata Masidi, acara pelancaran yang diadakan itu merupakan sumbangan kreatif dan inovatif yang cemerlang oleh guru-guru di Sabah dan perlu diberi penghargaan yang tinggi bagi menjana kecemerlangan Jabatan Pelajaran Sabah yang berterusan.

Sementara itu, Masidi turut menyifatkan ciptaan Pen A oleh Androd Sadian, seorang guru Fizik di SMK Tandek Kota Marudu menunjukkan bahawa kemampuan guru-guru yang mengajar di kawasan pedalaman seharusnya tidak dipandang rendah.

“Pen yang dicipta untuk memudahkan para pelajar menjwab soalan dalam mata pelajaran Fizik ini bukan sahaja yang pertama wujud di Malaysia malah berkemungkinan besar menjadi yang pertama dicipta di dunia juga,” katanya.

Sementara itu, menurut Androd, Pen A yang telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Torray Science Foundation dan Kementerian Pelajaran Malaysia ini merupakan satu alternatif kepada Peraturan Tangan Kiri dan Tangan Kanan Fleming di dalam subjek Fizik Keelektromagnetan.

Pen A dijual pada harga RM7.50 dan akan menemui pasaran di seluruh negara mulai bulan depan termasuk akan dipasarkan di negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia juga.

Sementara itu, menurut penulis buku Sejarah Perkembangan Pendidikan di Sabah, Dr. Dayu Sansalu, buku tersebut membantu pembaca dalam mengetahui tentang Sejarah pendidikan di Sabah bermula dari tahun 1881 sehingga 1981.

“1881 merupakan tahun permulaan kepada pendidikan moden di Sabah dan 1981 adalah tahun wujudnya sistem Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM),” kata Dr. Dayu.

Katanya, buku yang mengandungi 7 bab dan lebih 300 muka surat itu juga menceritakan tentang sistem Pendidikan Sekolah Cina di negeri ini.

Wednesday, 22 May 2013

Perkahwinan warga asing dengan penduduk tempatan Sabah hampir 20,000

KOTA KINABALU: (22 Mei, 2013) - Jumlah perkahwinan warga asing dengan penduduk tempatan Sabah mencecah hampir 20,000 sejak tahun 2000 sehingga tahun ini, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diberitahu hari ini.

Baharuddin Alwi, yang berkhidmat di Jabatan Agama Islam Sabah (JAIS) berkata statistik jabatan itu menunjukkan 8,859 lelaki warga asing berkahwin dengan wanita di negeri ini dari tahun 2000 hingga Oktober 2012.

Beliau yang merupakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran Syariah, di JAIS berkata 10,922 wanita warga asing pula berkahwin dengan lelaki tempatan dalam tempoh sama.

Baharuddin berkata sejak tahun 2000 hingga 2013 jumlah perkahwinan warga asing yang direkodkan ialah 19,781.

Saksi itu berkata perkahwinan warga asing juga meningkat daripada 399 pada tahun 2000 kepada 2,545 pada Oktober 2012.

Menjawab soalan pegawai pengendali Datuk Azmi Arifin, saksi ke-78 itu berkata mengikut Undang-Undang Islam Negeri Sabah setiap perkahwinan warga asing mesti didaftarkan dengan JAIS.

Ketika ditanya pengerusi Suruhanjaya Tan Sri Steve Shim Lip mengenai relevan soalan perkahwinan warga asing itu, Azmi menjawab ia bagi menunjukkan perkahwinan itu menyebabkan populasi penduduk Sabah meningkat.

Shim juga meminta Baharuddin mengemukakan statistik perkahwinan sebelum tahun 2000, di mana saksi itu memberitahu bahawa pihaknya memerlukan masa untuk berbuat demikian kerana rekod sebelum tahun itu dibuat secara manual.

Baharuddin juga berkata warga asing itu termasuk Filipina, Bangladesh, Algeria dan Afganistan.
Saksi itu memberitahu Suruhanjaya bahawa warga asing yang hendak berkahwin dengan rakyat tempatan mestilah mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah seperti pasport, IMM13 iaitu resit pengenalan diri sementara dan surat bancian.

Kepada soalan lain, Baharuddin berkata memang terdapat perkahwinan gadis di bawah umur 16 tahun di negeri itu tetapi sebelum perkahwinan mereka didaftar di JAIS, pemohon mesti mendapat kebenaran untuk berkahwin dari Mahkamah Syariah terlebih dahulu.

Sementara itu, Penolong pengarah Unit Kanak-Kanak di Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah Mohd Azlan Hussin berkata jabatan itu telah membantu kanak-kanak jalanan warga asing dengan menempatkan mereka di Rumah Perlindungan Ihsan dengan menyediakan tempat tinggal, buku, alat tulis, makanan dan pakaian.

Saksi ke-77 itu berkata sejak Jun 2007 hingga Okt 2012, seramai 1,455 kanak-kanak jalanan berumur enam tahun hingga 18 tahun tinggal di situ.

“Daripada jumlah itu, 1,119 adalah kanak-kanak lelaki manakala 336 lagi perempuan,” katanya sambil menambah kanak-kanak ini masuk ke Sabah bersama ibu bapa atau penjaga mereka tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

Beliau menerangkan selepas mereka berumur 19 tahun, sekiranya tiada ibu bapa atau penjaga datang menuntut, mereka akan ditempatkan di penempatan tahanan sementara orang dewasa.

Saksi itu juga tidak menafikan berlakunya eksploitasi buruh kanak-kanak di samping masalah sosial lain melibatkan kanak-kanak jalanan ini.


Sementara itu, saksi ke-79 yang merupakan ketua jurutera Sabah Electric Sdn Bhd (SESB) Christiana Linus Majail, berkata pihaknya menjalankan operasi secara bulanan di setiap kawasan setinggan di negeri itu bagi membendung masalah kecurian talian elektrik.

Beliau berkata syarikat itu mencatat kerugian besar akibat kecurian elektrik yang berlaku di lima kawasan setinggan di negeri ini iaitu di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Semporna dan Lahad Datu.

“Sebagai contoh di Kota Kinabalu dari tahun 2009 hingga tahun lepas jumlah kerugian direkodkan ialah RM3,717,720 membabitkan 33 kawasan setinggan dengan penghuni seramai 5,530,” katanya.

Kepada soalan sama ada tindakan mahkamah diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan ini, Christiana berkata beliau kurang pasti mengenai perkara itu.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sabah Datuk Siti Aishah Mohd Asri pula menafikan jabatan itu tidak memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan malah berkata peluang itu sentiasa terbuka kepada mereka. 

Beliau berkata jabatan itu telah menjalankan promosi dalam sektor pertanian, peladangan dan pembinaan yang banyak dimonopoli warga asing kepada rakyat tempatan tetapi majikan masih sukar menarik minat mereka ke dalam sektor itu.

Beliau bersetuju dengan cadangan pegawai pengendali Manoj Kurup bahawa sektor itu dianggap ‘dull, dirty, dangerous and difficult’ (tidak menarik, kotor, bahaya dan sukar) oleh rakyat negeri itu.

Siti Aishah juga berkata negeri itu tidak membenarkan majikan mengambil warga asing bekerja sebagai pengawal keselamatan atas faktor keselamatan.

Saksi ke-76 itu berkata jabatan itu bertanggung jawab dalam menguruskan permohonan lesen pengambilan pekerja asing yang dikemukakan majikan.

Prosiding di hadapan lima anggota panel diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong bersambung esok.

Panel itu turut dianggotai bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Professor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas timbalan ketua menteri dan bekas peguam besar Sabah Tan Sri Herman J. Luping.

Mahkamah Tinggi perintah pelawak terkenal bela diri



SHAH ALAM: (22 Mei, 2013) -  Pelakon dan pelawak terkenal Saiful Apek bersama tiga pekerjanya diperintah membela diri atas pertuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan tiga tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang membebaskan mereka daripada pertuduhan pada Jun tahun lepas.

Dalam penghakimannya, Abdul Alim berkata beliau cuba melihat kerompongan dalam kes pendakwaan namun semuanya mempunyai penjelasan.

“Ujian air kencing keempat-empat tertuduh juga positif, jadi bagaimana mahkamah boleh katakan bahawa pegawai yang menjalankan ujian air kencing itu berbohong?

“Manusia lakukan kesilapan, dan menghisap dadah pun satu kesilapan. Mahkamah mementingkan keadilan, jadi saya ketepikan semua perintah Majistret dan kesemua responden diperintah membela diri dalam kes ini di Mahkamah Majistret yang sama,” katanya.

Abdul Alim menetapkan Isnin ini untuk sebutan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Pada 25 Jun tahun lepas, Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membebaskan Saiful Apek, 44, atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff dan tiga pekerja syarikat produksi Gitu-Gitu Productions iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 30, Shaiful Baharom, 26, dan Noremy Mohamad, 30, selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan, Petaling Jaya pada 11 malam, 12 Jun 2010.

Keempat-empat tertuduh, yang diwakili peguam Mohd Fadly Hashim, didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad.



Gerakan cadang semua parti komponen BN bergabung


KUALA LUMPUR: (22 Mei, 2013) - Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu bergabung menjadi satu parti sahaja bagi meraih kembali sokongan rakyat dan mengelakkan masalah perkauman, kata Pemangku Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn hari ini.

Katanya, cadangan itu merupakan transformasi yang wajar dilakukan BN setelah mencapai keputusan buruk pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi memenuhi aspirasi rakyat negara ini terutama generasi muda sekarang.

“Ia juga selaras dengan perkembangan senario politik selepas PRU13 yang telah berlaku di mana golongan muda lebih menjurus ke arah menyokong parti dan bukannya memilih calon pada PRU13.

“Kami berpendapat semua parti perlu menjadi parti yang bukan berasaskan perkauman, di mana penggabungan semua parti-parti komponen BN termasuk dari Sabah dan Sarawak dapat membawa imej baru daripada BN bagi memastikan sokongan mereka terhadap BN dapat dikembalikan dan menjaminkan perpaduan di kalangan anggotanya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti di sini.

Pada PRU13 5 Mei lalu, Gerakan hanya menang satu kerusi parlimen (Simpang Renggam, Johor) daripada 11 kerusi yang ditandingi, manakala untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya memperoleh tiga kerusi iaitu Pemanis di Johor serta Tanjong Papat dan Elopura di Sabah daripada 31 kerusi yang ditandingi. 

Chang berkata parti itu akan membincangkan keputusan penerimaan jawatan dalam kerajaan pada mesyuarat jawatankuasa pusat yang dijangka diadakan pada minggu ketiga bulan depan.

Katanya keputusan yang dibuat pada 11 Mei lepas terlalu tergesa-gesa kerana ia dibuat beberapa hari sejurus selepas PRU13 berlangsung.

Beliau berpendapat parti komponen BN tanpa mengira MCA atau Gerakan harus menerima jawatan dalam kerajaan walaupun kalah teruk pada PRU13 bagi meneruskan transformasi kerajaan BN.

“Melainkan jika anda tidak setuju dengan dasar BN maka anda menolak jawatan itu, tapi jika anda masih dengan BN jadi anda mesti setuju menerima jawatan yang ditawarkan untuk memastikan BN dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) melaksanakan transformasi mereka,” katanya.  

Ditanya mengenai penerimaan masyarakat terhadap Gerakan jika menerima semula jawatan dalam kerajaan, Chang berkata keputusan untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan pusat dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Pusat yang boleh diubah dan bukannya pada Mesyuarat Agung Tahunan parti.

 “Perubahan perlu dilakukan selaras dengan keperluan dan kehendak masyarakat bukannya tidak boleh (menerima jawatan kerajaan) buat selama-lamanya, oleh itu kami akan membawakannya kepada mesyuarat untuk membincangkan semula,” katanya.

Dalam pada itu, Chang menyelar tindakan Pakatan Rakyat (PR) yang mengadakan pelbagai perhimpunan bagi membantah keputusan PRU13 yang mendakwa kononnya mereka mendapat undi popular lebih banyak daripada BN.

“Mereka perlu faham negara ini mengamalkan sistem pilihan raya Westminster iaitu pengiraan jumlah kerusi dan bukannya berdasarkan bilangan undi, keputusan PRU13 juga diiktiraf seluruh negara. 

“Jika mereka mahu meminda sistem pilihan raya yang sedia ada ini, mereka seharusnya mengikuti prosedur iaitu membentang usul itu di Parlimen dan mendapat persetujuan semua pihak, bukannya dengan cara mengadakan perhimpunan bagi menanam rasa benci rakyat terhadap kerajaan BN,” katanya.

SPR warta keputusan PRU13, petisyen boleh difailkan


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) hari ini mewartakan keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang berlangsung 5 Mei lepas.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata berikutan pewartaan keputusan pilihan raya itu, calon dan parti politik yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mempunyai tempoh 21 hari untuk memfailkan petisyen atau bantahan mulai esok.

Dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, beliau berkata petisyen boleh difailkan di Mahkamah Tinggi mengikut negeri masing-masing.


Pemimpin APS cadang tubuh parti politik


KOTA KINABALU: ( 22 Mei , 2013) - Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Angkatan Perubahan Sabah (APS), yang bekerjasama rapat dengan Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum lepas, kini mempertimbang kemungkinan mendaftar sebagai sebuah pertubuhan politik.

Mengumumkan demikian, pengerusi APS Datuk Seri Wilfred Bumburing berkata anggota majlis tertinggi (MT) badan itu berpendapat langkah itu perlu bagi mewujudkan platform untuk meneruskan perjuangan politik.


Bumburing, ahli dewan negeri yang baru dipilih bagi kerusi Tamparuli, enggan mendedahkan butir-butir termasuk nama bagi parti yang dicadangkan itu.  


Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT APS di sini hari ini, Bumburing berikrar bahawa APS akan kekal bekerjasama rapat dengan PR.  

Beliau turut menyatakan kesediaan membincangkan rancangan bagi membentuk gabungan pembangkang yang lebih luas dengan parti-parti pembangkang lain di Sabah termasuk STAR and SAPP. 


“Berdasarkan maklum balas di peringkat bawahan...ini yang mereka mahu.


Mereka mahu semua parti pembangkang di Sabah bersatu,” kata beliau.


Kepada satu soalan, Bumburing berkata panel peguam APS sedang mengkaji sama ada akan mengemukakan petisyen pilihan raya bagi calon-calonnya yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang tewas di kawasan yang dikatakan dicemari amalan salah laku termasuk politik wang.