Tuesday, 31 January 2012

DBKK sita peralatan komputer

KOTA KINABALU:  Anggota Jabatan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu telah menyita pelbagai peralatan komputer daripada sebuah premis siber (cyber cafĂ©) yang menjalankan perniagaan tanpa lesen dalam satu operasi khas di Inanam Laut, Isnin lalu.

Menurut Superintendan Ernest Mojikon, Pegawai Penguatkuasa Kanan DBKK, operasi berkenaan dilakukan hasil daripada aduan orang awam dan tindakan telah diambil di bawah Seksyen 10K, Enakmen Hiburan Awam (Pindaan) 2003. 
Katanya, operasi hampir dua jam ini telah bermula pukul 2.45 petang dan dianggotai oleh 13 orang anggota penguatkuasa DBKK.
Antara peralatan yang telah dirampas adalah ‘monitor’ (23 unit), ‘CPU’ (17 unit), ‘keyboard’ (12 unit), tetikus (12 unit), kabel elektrik, kerusi plastik (34 unit) dan sebagainya.
Beliau juga menasihatkan supaya pengusaha pusat siber mendapatkan lesen sebelum beroperasi untuk mengelakkan dikenakan tindakan kerana operasi seumpama ini akan dijalan dari masa ke semasa.
DIRAMPAS … antara peralatan komputer yang disita oleh DBKK daripada pusat siber yang beroperasi tanpa lesen baru-baru ini.

Lelaki mati ditikam, disyaki oleh rakan sebilik


TAWAU:  Seorang lelaki rakyat Indonesia berusia 29 tahun mati ditikam, disyaki oleh rakan sebiliknya di sebuah rumah pekerja di Kem Luasong, kira-kira 110 kilometer dari sini.
Kejadian pada pukul 6 pagi Ahad lepas itu dikatakan hanya disebabkan lelaki itu membawa masuk sebuah katil usang ke dalam bilik yang dikongsi dengan seorang rakyat Filipina berusia 39 tahun itu, kata Ibrahim.

Hanya kerana terpijak kasut remaja maut dibelasah

TAWAU:  Seorang remaja warga asing maut dibelasah sekumpulan lelaki di persimpangan bulatan besar Jalan Tawau-Keningau di Kalabakan, kira-kira 100 kilometer dari sini  hanya kerana terpijak kasut di majlis kenduri dan tari menari di Kalabakan.
Remaja lelaki berusia 16 tahun itu cedera di perut, muka, kepala dan tangan itu mati di Hospital Tawau pada pukul 3.20 petang  Isnin. 
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Ibrahim Chin, berkata siasatan awal polis mendapati remaja rakyat asing itu dipukul menggunakan kayu dan tangan oleh sekumpulan lelaki berusia 17 dan 23 tahun yang tidak berpuas hati dengan kejadian itu.
“Mereka menunggunya di bulatan besar Jalan Tawau-Keningau di Kalabakan.  Sebaik mangsa yang menaiki motosikal tiba bersama dua rakan lain, mereka diserang secara tiba-tiba menggunakan kayu dan tangan.
 “Dua rakan mangsa sempat melarikan diri,” katanya di sini ,hari ini.
Beliau berkata sehubungan itu, polis menahan lapan remaja dengan dua daripadanya rakyat asing dua hari lepas bagi membantu siasatan kes itu.  

Jentera meradak gemparkan JKKK


SAMIN AHMAD.

KENINGAU: Badan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) gabungan lima kampung bersama 162 pengusaha  tanaman kelapa sawit dan getah di Kg. Bukit Indah/Ulu Bunang Sook bertekad akan mempertahankan tanah yang telah mereka usahakan sejak 1994 lagi.
Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak yang juga Pengerusi JKKK Kg.  Serumpun, Samin Ahmad,  64, berkata, mereka amat terkejut apabila sebuah jentera ‘menyelinap’ masuk menceroboh kawasan berkenaan tanpa pengetahuan mereka.
Samin dengan nada marah berkata,  pada 10 Oktober 2011 masalah itu telah mendapat perhatian Pengarah Jabatan Tanah Dan Ukur, Datuk Osman Jamal dan Adun Sook, Datuk Elleon Alfred Angin yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Dalam pertemuan itu, katanya, penduduk telah diberi jaminan tidak akan kehilangan hak kerana masalah itu akan dibincang secara ‘menang-menang’ antara penduduk kampung terlibat dan Safoda.
“Anehnya  tiba-tiba pula muncul jentera pemaju tanpa membawa sebarang dokumen kebenaran ‘meradak’ ke kawasan yang dipertikaikan,” jelasnya.
“Berikutan dengan tindakan ‘biadab’ pemaju itu maka, penduduk telah mengadakan mesyuarat tergampar untuk menentang sekeras-kerasnya penerokaan itu selagi belum ada penyelesaian total dibuat,” tegas Samin.
Menurut Samin, salinan minit mesyuarat bantahan yang diadakan pada 22 Januari lepas itu turut  diberikan kepada pihak-pihak yang berkenaan.

JENTERA  MERADAK ... jentera milik pemaju ini memasuki kawasan yang dipertikaikan tanpa pengetahuan penduduk terlibat.
MULA DITEROKA ...kawasan yang mula diterokai oleh pemaju tanpa sebaran penyelesaian melibatkan penduduk.

BANTAH ... penduduk yang terlibat bergambar selepas mengadakan mesyuarat bantahan.




Kunjungan untuk lahirkan penghargaan



ZIARAH LAHIRKAN PENGHARGAAN … Semalam  Wakil Rakyat Membakut bertandang ke Sekolah Agama Islam Negeri (SAN), Kampung Binsuluk dan Sekolah Kebangsaan Pekan Membakut sebagai  melahirkan penghargaan  usaha yang dilakukan oleh warga pendidik dan  sekolah berkenaan.
Melalui program Ziarah Adun Membakut membolehkan Mohd Arifin dan pihak guru serta ibu bapa dapat berbincang dan bertukar-tukar pandangan berhubung dengan pembangunan pendidikan di sekolah terbabit.
Mohd Arifin (dua, kiri) menyampaikan sumbangannya untuk pembangunan pendidikan di SAN Kampung Binsuluk.

Monday, 30 January 2012

Parti KITA bukan embun pagi, kata Pengiran Othman


 SANDAKAN: Pengerusi Perhubungan Parti KITA Negeri Sabah, Datuk Pengiran Othman Rauf, menolak andaian sesetengah pihak bahawa Parti KITA seumpama ‘embun pagi’ yang lenyap ketika fajar menyinsing.
Katanya, seperti parti-parti lain, parti KITA mempunyai keupayaan untuk membentuk kerajaan kerana misi dan visinya adalah berpandukan kepada kebenaran.
Pengiran Othman berkata, jika dapat menubuhkan kerajaan beliau akan memastikan hanya satu parti atau 'One Party Government' di negeri ini.
“Ini adalah antara agenda KITA  dan sekali gus menguatkan lagi kepercayaan rakyat terhadap parti yang telah dilancarkan pada Oktober tahun lepas,” tambahnya.
Pengiran Othman menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Parti KITA peringkat P.187 Kinabatangan dan P.183 Beluran di Bilik Mesyuarat, Hotel Jockey Lodge, di sini, petang Ahad.
Hadir sama Ketua Pergerakan Pemuda Parti KITA Negeri Sabah, Alias Rahmad Benjamin; Pengerusi Penyelaras Parti KITA Kinabatangan, Edham Karim dan Pengerusi Penyelaras Parti KITA Beluran, Hamza Karuput.
Menurut Pengiran Othman, parti KITA berhasrat untuk bertanding dalam semua kawasan pilihan raya di negeri ini termasuk 60 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parti berkenaan tidak akan bersekongkol dengan mana-mana parti terutamanya pembangkang.
Pada majlis itu juga, Pengiran Othman menerima kemasukan beberapa ahli daripada cawangan parti UPKO di Kinabatangan yang bertindak keluar parti untuk menyertai parti KITA.

BERUCAP ... Pengiran Othman (kiri) semasa berucap pada majlis itu


ANTARA YANG HADIR … sebahagian penyokong  parti KITA dari Kinabatangan dan Beluran.


PBS Tawau dapat 515 ahli baru

AHLI BARU … Pairin (empat, kiri) menerima 515 borang permohonan daripada Thien untuk menyertai PBS di Tawau.


TAWAU: Seramai 515 ahli baru menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS) di sini kerana yakin dengan kepimpinan dan kredibiliti parti itu. 
Kumpulan itu yang diwakili Datuk Thien Kok Poh menyerahkan borang kemasukan mereka ke PBS kepada presiden parti Tan Seri Joseph Pairin Kitingan di majlis sambutan Tahun Baru Cina, baru-baru ini.
Thien berkata, mereka berjanji menyokong dan membantu PBS khasnya di kawasan Sri Tanjung yang diketuai Fung Len Fui.
Sementara itu, Pairin dalam ucapannya berkata, PBS sentiasa mengalu-alukan semua rakyat tanpa mengira fahaman agama dan perbezaan kaum untuk menjadi ahli parti itu.
“Parti ini adalah sebuah parti berbilang kaum yang sentiasa berusaha memperjuangkan hak semua kaum dan agama malah tidak memilih bulu dalam memberi bantuan kepada rakyat,’’ katanya.

DAP kepingin perintah Sabah


TAWAU: Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor dari DAP, Datuk Teng Chang Kim merayu kepada rakyat Sabah supaya diberi peluang  untuk mengurus dan mentadbir negeri ini  menggunakan sistem seperti di Pulau Pinang.
Beliau berkata, sistem tadbiran negeri itu dikenalpasti telah terbukti berjaya dalam pelbagai bidang hasil perancangan yang teliti.
“Negeri itu telah berjaya meningkatkan rizab tunai dan dana amanah serta memberi pelbagai manfaat kepada rakyatnya.
“Walaupun tidak mempunyai pengalaman mengurus tadbir namun ternyata rekod yang baik negeri itu boleh diperluaskan ke negeri lain mengikut kesesuaian dan keadaan setiap negeri," katanya pada majlis makan malam bersama media di sini kelmarin.
Bagaimanapun, jelasnya, negeri ini boleh menggunapakai sistem seperti di Pulau Pinang dengan sedikit perbezaan pada beberapa faktor.
Teng bertandang ke daerah ini untuk melihat sendiri isu air dan elektrik yang telah terjejas beberapa hari sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.
BERTEMU … Teng (kiri) bersama pemimpin DAP yang lain.

Replika wakid penyeri Keningau


WAKID ANTARA SENI KRAF KENINGAU …Keningau  mempunyai banyak  maskot seni krafnya seperti ‘wakid’, iaitu sebuah alat sikutan tradisi suku kaum Kadazandusun dan Murut (KDM) di Sabah, Malaysia.
Replika wakid itu terletak di kawasan bulatan Jalan Apin-Apin  -  Keningau, berhampiran Hospital Keningau dan Pusat Kraftangan Sabah atau kira-kira 5 kilometer dari Pekan Keningau.
Ketua kumpulan pengukir, Arifuddin Alekee,  67,  memberitahu replika wakid itu ditempah khas oleh Kerajaan Sabah. Ianya diperbuat daripada bahan konkrit berkualiti tinggi yang mempunyai ketinggian 10 kaki dan 5 kaki lebar.
Pembinaan wakid itu menelan belanja kira-kira RM14,000. Kerja-kerja mengecat dilakukan oleh dua syarikat tempatan di Keningau.
Di kalangan masyarakat KDM, wakid merupakan alat untuk meletakkan/menyimpan hasil-hasil pertanian dari kebun dan ladang tetapi juga digunakan untuk menyimpan kayu api.
Keningau adalah antara daerah terpencil di Sabah tetapi kaya dengan khazanah warisan leluhur masyarakat KDM.
Kepada anda yang berminat dan ingin menyaksikan kraftangan tradisi KDM yang unik datanglah ke Pusat  
 Kraftangan Sabah di Keningau.
Gambar menunjukkan sebahagian pekerja bekerjasama memastikan replika wakid diletakkan di tapak yang disediakan dengan bantuan kren.



Rakyat senang hati kalau pemimpin berfungsi

MESRA ... Hamisa (kanan) beramah mesra dengan seorang warga emas di Kampung Tanjung Batu, Tawau.
TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat, berkata rakyat yang dibelengu masalah memerlukan perhatian penuh kerajaan supaya membantu mereka.
Hamisa berkata, rakyat akan suka kepada kita dan kerajaan jika masalah yang mereka hadapi itu dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat.
“Jangan biarkan masalah mereka terperam sampai bertahun, ini menjengkelkan rakyat dan tidak yakin lagi dengan keikhlasan kerajaan," katanya ketika menyampaikan kerusi roda kepada golongan kurang upaya di Kampung Tanjung Batu, di sini, kelmarin.
''Tiada simpul yang tidak boleh dileraikan. Saya selalu memandang permasalahan rakyat sebagai sesuatu yang positif dan tidak pernah memandang masalah itu sebagai beban," katanya.
Bagi Hamisa, beliau menganggap kejayaan seseorang pemimpin menyelesaikan masalah rakyat merupakan  pulangan yang besar kepada kerajaan kerana mendapat pujian rakyat.
Sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat, deria pendengaran harus peka mendengar keluhan rakyat dan, bukannya pura-pura tidak dengar lalu mencari helah mengelak diri.
“Berilah rakyat peluang menghabiskan luahan isi hati mereka kerana apa yang mereka lafazkan itu  mungkin lebih penting dan perlukan tindakan segera pemimpin atau kerajaan,” jelasnya.
Hamisa juga mengingatkan pemimpin masyarakat di DUN Tanjung Batu supaya turun padang  mendekati masyarakat untuk mendengar  masalah mereka.
“Kita harus berfungsi dengan baik supaya  jambatan yang kita dibina di antara pemimpin/kerajaan  dengan rakyat tidak roboh,” ujarnya lagi.



Perang siber PRU-13

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said memberi amaran kepada ahli-ahli Puteri Umno supaya memperlengkapkan diri dengan pengetahuan taktikal peperangan menerusi siber untuk menentang propaganda pembangkang.
Salleh mendorong Pergerakan Puteri supaya menggunakan sepenuhnya laman sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube dan Blog untuk menyalurkan maklumat dan mematah propaganda licik pembangkang.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah itu berkata, Puteri Umno perlu mempunyai strategi menangani isu-isu yang ditimbulkan pembangkang yang disiarkan dalam laman sosial itu.
“Kita tidak akan menang ‘peperangan' itu jika kita tidak mempunyai perancangan rapi  dan kelengkapan senjata untuk menangkis  isu-isu  jumud yang diwar-warkan pihak lawan di medan kempen PRU-13 nanti,” katanya semasa merasmikan penutupan Kursus Penyelaras IT Puteri Umno Sabah di Hotel Grand Borneo, di sini, kelmarin.
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mahu ahli-ahli Puteri Umno supaya menjadi sayap muda yang terkuat dalam Umno.
“Kesetiaan kepada parti, kepimpinan pusat dan negeri adalah elemen penting yang perlu diberi keutamaan jika pergerakan itu mahu digelar ‘tiang negara’,” katanya.
Timbalan Menteri Kesihatan itu menjentik Puteri Umno supaya tidak alfa menjaga sistem maklumat  pengundi wanita bawah 40 tahun di mana pada Pilihan Raya Umum (2004 dan 2008) Puteri Umno diberi tanggungjawab mengawasi input/output IT .
Hadir sama Ketua Puteri Umno Sabah, Musliati Moslimin dan Ketua-ketua Puteri Umno bahagian, peserta kursus dari 25 bahagian serta Puteri Umno Malaysia bahagian Biro IT.
RAMAH MESRA ... Salleh beramah mesra dengan Rosnah (dua, kiri) dan Muslaiti (kiri, sekali) pada Program Kursus Penyelaras IT Puteri Umno Sabah.
ALBUM ... Rosnah, Shirlin, Salleh dan Musliati Moslimin merakamkan gambar kenangan bersama peserta Kursus Penyelaras IT Puteri Umno Sabah di perkaranagn Grand Borneo, Kota Kinabalu.









Rumah Terbuka Tahun Baru Cina LCCC 5 Feb dan Tertutup 12 Feb


LABUAN: Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Dewan Perniagaan Tionghua Wilayah Persekutuan Labuan (LCCC) 5 Feb ini di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan.
Presiden Dewan itu, Wong Kii Yii (gambar), berkata majlis itu  bermula jam 7 malam hingga 10 malam akan dihadiri oleh Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Yussof Mahal  dan  Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Yunus Kurus.
Wong turut mengalu-alukan agar semua masyarakat tanpa mengira kaum dan agama serta warga Labuan yang lain  dapat hadir pada majlis rumah terbuka itu nanti.
Wong juga memberitahu majlis yang serupa akan diadakan sekali lagi pada 12 Febuari  ini di Restoran Fisherman Warf.
Bagaimanapun katanya, majlis itu lebih formal dan tertutup   yang akan dihadiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Dato’ Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bersama isteri, turut dijangka hadir pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Dato’ Phesal Talip serta ahli-ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan yang baru dilantik.
Katanya, hadir sama pada majlis itu nanti ialah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal dan , Ahli Dewan Negara, yang juga Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Yunus Kurus.

Sunday, 29 January 2012

BN guna formula PRU-12 agih kerusi Parlimen, DUN


TAMBUNAN: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berkata BN ada formula dalam pengagihan kerusi sama seperti pilihan raya umum ke-12 (PRU-12).
“Sebagai Presiden PBS, saya masih berpegang kepada fomula pengagihan kerusi pada pilihan raya umum lepas,”  katanya.
 “Lobi-melobi dan meminta kerusi tambahan adalah perkara biasa apabila mendekatnya pilihan raya,” ujarnya mengulas kenyataan Timbalan Ketua Bahagian PBS Liawan, Zachary Kinsik yang tersiar di blog ini baru-baru ini.
Pairin yang juga Ahli Parlimen Keningau dan Adun Tambunan, berkata melobi minta jadi calon dan minta kerusi tambahan fenomena biasa dalam rumah tangga parti-parti komponen BN, semua berhak berbuat demikian.
Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur, berpendapat isu itu lebih elok dibincang melalui meja bulat di kalangan pucuk pimpinan parti-parti komponen BN, bukan melalui media.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan majlis penyampaian baucar tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Masyarakat Tambunan pada Sabtu.
Katanya, jika ada perubahan berikutan kerusi-kerusi BN yang ditinggalkan oleh SAPP ia boleh dibincang dengan lebih teliti untuk kebaikan BN.
 “Terserahlah kepada pucuk pimpinan BN untuk membuat keputusan dan menentukan kerusi-kerusi BN yang ditinggalkan SAPP,” tambahnya.







Saturday, 28 January 2012

Puteri Umno segagah ‘tentera elit’ pada PRU-13

KOTA KINABALU: Pergerakan Puteri Umno peringkat bahagian seluruh Sabah diminta perkasakan jentera Pilihan Raya Umum Ke-13 yang bakal meletup bila-bila masa sahaja.
 Ketuanya, Musliati Moslimin, berkata  jangan jadi seperti peribahasa Melayu, ‘sudah terantuk, baru tengadah’.
Musliati mahu anggota Puteri berlagak seperti ‘askar elit’ sentiasa siap-siaga menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
“Saya mahu semua anggota Puteri Umno Sabah supaya mengangkat ‘senjata’ iaitu ‘kebenaran’ untuk mematahkan hujah kotor pembangkang  dan ‘berperisaikan’ loh perjuangan parti.
Selain itu, tegasnya, Puteri Umno Sabah harus tabah dan menguatkan semangat  serta sedia menerima perintah pada bila-bila masa sambil meniupkan nafiri sambil berkidung  iaitu...lagu keramat Umno.
 “Anggota-anggota Puteri Umno juga hendklah bergerak serentak dan menuju ke arah yang sama, sama seperti askar patuh kepada perintah komandan.
“Matlamat  utama kita ialah mencapai kemenangan dengan majoriti yang besar pada PRU-13 nanti,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Puteri Umno Sabah di Hotel Grand Borneo Hotel, di sini pada Jumaat.
 Musliati juga mengingatkan supaya data ahli di kalangan wanita muda dikemaskinikan, di samping memastikan mereka telah mendaftar sebagai pengundi yang sah.
Turut hadir Naib Ketua Puteri Umno Sabah, Zakiah Kalipunya (Semporna), Penolong Setiausaha Puteri, Aziah Atoh (Sepanggar) serta ketua-ketua Puteri Umno bahagian seluruh Sabah.










Slogan sekadar penglipur lara

NABAWAN: “Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan,’ bait kata yang disifatkan oleh  penduduk Kampung Saliku Sumatalun dan Kampung Sibuah sebagai slogan penglipur lara kerana permohonan mereka untuk membina beberapa jambatan kereta amat sukar ditunai oleh kerajaan.
Oleh kerana lagu itu tanpa irama maka, beberapa orang guru dan masyarakat kampung terlibat bertindak sebagai jurutera bergotong-royong membina jambatan baru menggantikan jambatan kayu balak yang sudah runtuh.
 Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Saliku Sumatalun, Ambier Angusa, berkata beberapa jambatan di sepanjang jalan masuk ke Kg. Saliku dan Sibuah sudah lama runtuh dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan.
Ambier dengan sinis berkata, jalan raya dan jambatan yang ada di kampung itu adalah ‘ihsan’ oleh syarikat kayu balak tetapi, semuanya tidak bertahan lama apabila syarikat kayu balak meninggalkan kawasan itu kerana pokok balak sudah habis.
“Sekarang jalan raya dan jambatan telah runtuh...hasil pertanian tidak dapat dibawa keluar atau masuk, begitu jugalah peralatan sekolah kerana masalah itu,” katanya.
Oleh itu, penduduk mencadangkan supaya jalan itu diambil alih oleh kerajaan dan diselenggarakan melalui jabatan-jabatan yang berkaitan. 

JAMBATAN BINAAN JURUTERA KAMPUNG ... beginilah keadaan jambatan kayu yang dibina oleh beberapa’ jurutera kampung’ terdiri daripada guru-guru dan masyarakat secara bergotong-royong. 

PADU TENAGA … beberapa orang guru-guru dan masyarakat kampung meninjau lokasi sebelum memulakan membina jambatan kereta di Kg Saliku Sumatalun yang runtuh.




Friday, 27 January 2012

Geran program tanaman getah


GERAN  PROGRAM TANAMAN GETAH ... Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Bernard Dompok (dua, kanan) menyampaikan geran program tanaman getah kepada salah seorang peserta terpilih pada majlis pelancaran program pengembangan ekonomi belia Pasokmomogun berasaskan penanaman getah dan kelapa sawit di Dewan Taginambur Jaya di Kota Belud, hari ini.
Sambil diperhatikan oleh Pengarah Kewangan dan Sumber Manusia MPOC, Mua- hamad Sanusi Sarijan (dua, kiri) dan Presiden Pertubuhan Belia Pasokmomo- gun Sabah, Ewon Benedick (kanan).

Gampaun kehilangan ‘kasih sayang kerajaan BN’


 “Tiada lagi kasih sayang kerajaan, bantuan kebajikan RM300 dihentikan” - GAMPAUN 

KENINGAU:  Gampaun @ Agustine Balantas, 8o, dari Kampung Marapok dekat sini berkata, beliau tidak lagi mendapat  ‘kasih sayang kerajaan’ apabila bantuan  kebajikan RM300 sebulan yang dinikmatinya sebelum ini dihentikan pada Nov tahun lalu.
Alasan yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Daerah ialah beliau mempunyai ramai anak yang mampu menampung kehidupannya.
“Saya sudah merayu supaya bantuan kebajikan itu diteruskan tetapi tidak diambil peduli oleh jabatan berkenan. Saya sangat kecewa dengan alasan itu sedangkan anak-anak saya mempunyai tanggungan masing-masing,” katanya dalam keadaan sebak.
“Saya tidak mahu menambah beban mereka  kerana saya sendiri menumpang di rumah anak-anak,” jelas Gampaun.
Dengan nada yang kecewa, beliau berkata:  “Saya memang kecewa dan keliru kerana dalam masa yang sama kawan-kawan yang lebih muda dari saya masih menerima bantuan kebajikan malahan suami isteri pun dapat.”

Pemain golf Ranau sumbang RM16,700

SUMBANGAN  WANG … Jusli (kanan) menyampaikan sumbangan itu kepada Sabri disaksikan Supt.   Jauteh Dikun (tengah), Amran (kanan sekali) dan ahli jawatankuasa yang lain.
RANAU: Rumah Putera Harapan Ranau menerima sumbangan kewangan berjumlah RM16,700.
Sumbangan itu hasil inisiatif  jawatankuasa sementara Kelab Golf Ranau dan Kelab Rekreasi Ranau serta para pemain golf daerah itu.
 Wang itu dikutip melalui Kejohanan Golf Amal yang dianjurkan oleh jawatankuasa berkenaan yang telah dilangsungkan di Padang Kelab Golf Ranau baru-baru ini.
 Menurut pengerusi penganjur Jusli Potoh, kejohanan khas yang julung kali diadakan itu bertujuan mengutip derma bagi mendapatkan sumber kewangan untuk didermakan kepada seramai 25 orang penghuni rumah anak yatim itu.  
 Jusli yang juga merupakan Pemangku Pengurus Besar Sedcovest Holding Sdn Bhd,  telah menyampaikan sendiri sumbangan berkenaan kepada Pengurus Rumah Putera Harapan Mohd. Sabri Abdullah dalam satu majlis ringkas di Kelab Rekreasi Ranau.
 Sambil mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pemain gof dan penderma (syarikat dan orang perseorangan) yang menyumbang pada kejohanan itu, Jusli berkata kejohanan sedemikian akan diteruskan dimasa depan di daerah lain pula.
 Turut hadir di majlis itu, Timbalan pengerusi penganjur, Supt. Jauteh Dikun, Bendahari kejohanan Amran Muntu dan ahli jawatankuasa yang lain.



Hindari aktiviti someng, kata Hamisa

TAWAU: Mengabdikan diri dalam aktiviti persatuan adalah cara terbaik untuk menghindarkan golongan belia daripada terlibat gejala-gejala someng, kata  Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat.
Katanya, banyak aktiviti yang menjana kesihatan fizikal, mental dan rohani yang disodorkan oleh mana-mana persatuan sepertinya aktiviti sukan lasak.
“Semuanya itu boleh mencetuskan kemahiran belia itu sendiri,” ujarnya.
 Hamisa menyifatkan belia sebagai ejen perubahan masyarakat yang berakhlak menuju ke arah pembangunan diri  yang lebih gemilang.
“Untuk mencapai matlamat itu golongan belia harus memiliki akhlak dan disiplin yang baik, tanpanya sukar bagi belia itu memimpin diri dan masyarakat,”  katanya semasa merasmikan program Sukan Rukun Tetangga Kampung Kuala Merotai, dekat sini, hari ini.
 Beliau mengakui ramai belia yang terjelepok dalam aktiviti ‘lembah kekelaman’ adalah mereka yang hidup tanpa menganggotai persatuan atau pertubuhan.

AKTIVITI SUKAN ... perlawanan sepak takraw anjuran Rukun Tetangga Kuala Merotai.


ALBUM ... golongan belia dan kaum wanita bergambar bersama dengan Hamisa.

   

Thursday, 26 January 2012

PBS ‘main api’ di Liawan

KENINGAU: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian  Liawan merayu kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) Pusat dan Negeri supaya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)  Liawan diberikan kepada PBS pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Bahgian Siri 1/2012 baru-baru ini.
Timbalan Ketua Bahagian PBS Liawan, Zachary Kinsik (gambar), dengan gah mengemukakan dalil tuntutan mereka bahawa  PBS Bahagian Liawan  mendapat sokongan padu masyarakat  DUN Liawan dan dan Parlimen Keningau.
 Menyentuh isu melobi calon, beliau berkata, ianya perkara biasa  menjelangnya pilihan aya.
“Terdapat parti-parti komponen BN turut mengemukakan tuntutan kerusi di kawasan tertentu, apa salahnya PBS menuntut kerusi DUN Liawan. Terserah kepada pucuk pimpinan BN Pusat,” katanya selepas merasmikan merasmikan penutupan pertandingan Kejohanan Bola Sepak Terbuka Tujuh Sebelah Piala Ketua Bahagian PBS Liawan, Datuk Jake Nointin. 
Kejohanan itu anjuran Pemuda Cawangan PBS  Kg. Toboh Baru di padang SK Toboh Baru dekat sini baru-baru ini.

Proton Iswara putus dua, penumpang selamat

LAHAD DATU: Enam sekeluarga selamat, meskipun Proton Iswara yang mereka naiki terputus dua apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah Lori Nissan di Kilometer 12, Jalan Lahad Datu-Tawau, dekat sini, petang Rabu.
Hanya empat daripada enam ahli keluarga itu yang berusia antara 12 hingga 40 tahun mengalami cedera ringan, kesemuanya telahpun menjalani rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Lahad Datu (HLD).
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitenden Shamsudin, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang semasa mereka dalam perjalanan dari Kampung Ranggu Tawau menuju ke Sandakan untuk menghantar  salah seorang ahli keluarga terbabit yang menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Bagaimanapun, katanya, apabila kenderaan itu melalui satu selekoh tajam di tempat kejadian tiba-tiba pemandunya yang berusia 29 tahun itu hilang kawalan dipercayai akibat permukaan jalan yang licin menyebabkan kereta dinaiki memasuki ke lorong sebelah kanan jalan.
“Pada waktu yang sama, sebuah lori datang dari arah bertentangan, menyebabkan kereta proton dinaiki enam sekeluarga itu berlanggar pada bahagian tengah tangki air sebelah kanan lori itu menyebabkan depan kereta itu terputus dua.
“Pelanggaran itu menyebabkan enjin kenderaan tertanggal dan terheret ke tepi bahu jalan sebelah kiri, manakala kedua-dua bahagian pintu depan kereta itu remuk teruk,” katanya sambil menambah ketika kejadian keadaan cuaca adalah hujan renyai.

PUTUS DUA … beginilah keadaan kereta yang dinaiki enam sekeluara terbabit.



Abang bakar rumah adik

BAKAR RUMAHA ADIK ... Tertuduh yang hanya berkain pelikat (tiga, kiri) diiringi keluar oleh pegawai polis dari mahkamah.

TAWAU: Seorang abang tergamak membakar rumah adik sendiri mengakibatkan kerugian kira-kira RM45,000.

Tertuduh Dua Alang @ Azmir Sangkalang, 42, mengaku pergi ke rumah adiknya dan menggunakan mancis yang dibawanya bersama telah membakar kertas dan meletakkan kertas itu di ruang tamu sehingga menyebabkan kebakaran.
Tertuduh mengatakan dia membakar rumah itu kerana adiknya menganggap dirinya bukan abangnya.  
Berdasarkan fakta itu, Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke Dua Alang kerana membakar rumah adik sendiri.
Majistret Egusra Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas, Dua Alang selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di sebuah rumah kayu tidak bernombor di Kampung Salimbangun, Semporna, kira-kira pukul 4 petang pada 29 Sept tahun lalu.
Hukuman penjara itu diperintahkan berkuat kuasa mulai tarikh tertuduh ditangkap pada 30 Sept tahun lalu di Kampung Salimbangun, Semporna.
Dakwaan terhadap Dua Alang dikemukakan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda.
Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar.
Sebelum kejadian, pengadu bersama anaknya telah meninggalkan rumah pergi ke rumah pakciknya di Kg. Kabogan dan semasa dalam perjalanan pengadu telah berselisih dengan tertuduh dan tertuduh mengatakan dia mahu membakar rumah pengadu.
Pengadu tidak menghiraukan kata-kata tertuduh kerana disyaki tertuduh kurang siuman dan meneruskan perjalanan ke rumah pakciknya.
Semasa pengadu balik ke rumahnya dia telah mendapati rumahnya yang diperbuat daripada kayu telah hangus musnah terbakar dan tiada barang yang berjaya diselamatkan.
Pihak bomba telah dihubungi bagi memadam kebakaran namun rumahnya telah musnah dijilat api dan pengadu telah mengesyaki tertuduh yang membakar rumahnya lalu bertindak membuat laporan polis.



Empat kategori kawasan jadi tumpuan kerajaan BN


TURUN PADANG ... Hamisa (dua, kiri) meninjau projek membuat titian di Kampung Tanjung Batu Laut yang siap dilaksana dengan diiringi Abdul Jalil Rasah dan Rahim Hassan.

TINJAU ... Hamisa (dua, kanan) meninjau jalan raya  
kampung yang sudah siap dilaksanakan bersama pemimpin masyarakat kampung di DUN Tanjung Batu.
TAWAU: Prasarana di empat kawasan di negeri ini dipertingkatkan untuk keselesaan hidup rakyat selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat, berkata kawasan-kawasan yang dimaksudkan ialah bandar, luar bandar, pinggir bandar dan pedalaman.
Katanya, prasarana tersebut termasuklah menaik taraf kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik, jalan raya dan perumahan.
“Kemudahan asas rakyat di kawasan DUN Tanjung Batu juga dipertingkatkan. Itulah komitmen kerajaan BN ingin melihat rakyat hidup selesa,” katanya selepas melawat projek kecil-kecilan yang
telah siap dilaksanakan di Kampung Tanjung Batu Laut, di sini kelmarin.
Turut hadir Pemimpin Kemajuan Rakyat kawasan Tanjung Batu, Abdul Jalil Rasah dan Pemaju Masyarakat Tanjung Batu, Rahim Hassan.
Hamisa yang juga Ketua Wanita Umno Kalabakan mengingatkan rakyat di kawasan itu supaya sebarang masalah berkaitan infrastruktur atau prasarana yang mereka hadapi dikemukakan
terus kepada permimpin masyarskat setempat seperti pengerusi JKKK, Ketua Kampung atau kakitangan di Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat Tanjung Batu.
Jelasnya, pegawai dan kakitangan UPKR Tanjung Batu sentiasa mendengar sebarang aduan atau permohonan untuk dipanjangkan kepada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
Katanya, untuk rekod pada tahun 2011 lebih kurang 20 projek kecil-kecilan telah dilaksanakan seperti membina titian pejalan kaki dan jambatan, membaik pulih surau sekolah agama rakyat di kawasan DUN itu.



Wednesday, 25 January 2012

Lelaki peluk mayat teman wanita

 PUJUK ... Anggota polis cuba memujuk seorang lelaki yang berbaring bersebelahan dengan mayat teman wanitanya yang mati selepas terjun dari tingkat 17 di sebuah flat di Taman Utara, Batu Uban, George Town, Pulau Pinang  awal pagi tadi.
Polis mengambil hampir sejam memujuk lelaki berkenaan yang memeluk mayat teman wanitanya. 
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, lelaki terbabit dikatakan tidak dapat menerima hakikat yang teman wanitanya, Lau Kah Kah, 22, maut selepas terjun dari tingkat 17 flat berkenaan.
Orang ramai yang mengerumuni tempat kejadian pada mulanya menyangkakan ada dua mayat di situ namun agak terkejut apabila melihat lelaki berkenaan secara tiba-tiba bergerak.
Anggota polis cuba memujuk lelaki itu dan selepas hampir sejam dia mula melepaskan pelukannya itu dan bersandar di tepi tangga berhampiran mayat.

George tinggalkan PBRS kerana ‘jatuh cinta’ dengan PKR


KENINGAU: Naib Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk George Sangkin (gambar) mengucapkan ‘bye-bye’ kepada parti itu kerana ‘jatuh cinta’ kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau menyerahkan borang keahliannya  kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis parti itu di Kinarut baru-baru ini.
George merupakan mantan Ahli Parlimen Bandau dilantik sebagai Naib Presiden PBRS pada Mac tahun lalu namun, jodohnya dengan PBRS tidak panjang.
Penyertaan George ke PKR Kota Marudu dapat memberi ‘sinar baru’ kepada parti itu yang diterajui oleh Ketua Cabangnya, Anthony Mandiau yang kini giat aktif turun padang ke seluruh pelusuk kawasan itu untuk meraih sokongan.

Penyerahan bantuan RM500 daripada BN



HADIAH KERAJAAN ... Penyerahan bantuan RM500 daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada isi rumah yang berpendapatan dinbawah RM3,000 sebulan kepada penerima dalam senarai pertama bagi Daerah Membakut dirasmikan oleh Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Haji Aman.
            Majlis penyerahan di Dewan Masyarakat Membakut kelmarin turut dihadiri oleh wakil rakyat Membakut Datuk Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif.
Lebih 2,000 penerima pertama menerima bantuan tersebut.
Kelihtan dalam gambar Mohd Arifin menyampaikan bantuan RM500 kerajaan kepada salah seorang warga emas.

TYT kunjungi Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PBS dan MCA



Kelihatan Tun Juhar dan Musa bersama Pairin dan Dr Yee dan isteri masing-masing pada perayaan Tahun Baru Cina PBS di Hotel View Airport di Kota Kinabalu.


Tun Juhar (tujuh, kanan), Toh Puan Norlidah (enam, kanan), Musa (lapan, kanan) dan Faridah (tujuh, kiri) serta Liow (lima, kanan) dan Edward (enam, kiri) pada sambutan Tahun Cina Baru MCA di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Haji Juhar Haji Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Hajah Norlidah Datuk RM Jasni diiringi oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman dan isterinya Datin Seri Hajah Faridah Haji Tussin mengunjungi Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PBS dan MCA pada hari kedua perayaan itu di Kota Kinabalu.
PBS mengadakan rumah terbuka di Hotel Airport View manakala MCA di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu.
Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Presiden, Datuk Dr Yee Moh Chai bersama isteri masing-masing serta pemimpin-pemimpin PBS yang lain turut hadir.
Sementara itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai dan Ketua MCA Sabah, Datuk Edward Khoo menyambut Tun Juhar dan Musa di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA mereka.
Turut hadir ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal dan Timbalan Ketua Umno Sabah, Datuk Salleh Tun Said.

Pastikan BN terus memerintah: Abdul Hamid



SANDAKAN: Ketua Penerangan Umno Bahagian Sandakan, Abdul Hamid Sabal (gambar), mengajak rakyat pelbagai kaum di negeri ini supaya memberikan sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Katanya, kerajaan BN perlu terus memerintah kerana banyak manfaat telah rakyat nikmati dan terbaru pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) termasuklah bantuan-bantuan pendidikan yang meringankan beban golongan berpendapatan rendah di negara ini.
Beliau berkata, bantuan BR1M diberikan tanpa mengira latar belakang mahupun perbezaan pendapat politik sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan BN yang mahu semua kaum mendapat manfaat sebagaimana matlamat 1Malaysia.
"Saya juga mengambil contoh seperti pelaksanaan rumah-rumah kos rendah samada di kawasan bandar mahupun luar bandar di mana rakyat telah mendapat manfaat jangka panjang apabila begitu banyak Program Perumahan Rakyat Termiskin atau PPRT dilaksanakan.
Abdul Hamid berterima kepada kerajaan hari ini yang melaksanakan pembinaan sebanyak 1,000 unit rumah PPRT di Taman Mesra, Batu 4 dekat sini yang membolehkan golongan berpendapat rendah khususnya mangsa-mangsa kebakaran mendiami rumah kos rendah tersebut.
Difahamkan terdapat lebih kurang 2,000 unit lagi rumah akan dibina di taman ini.
Ujarnya, Umno Sandakan sudah pun bersiap sedia dengan jentera partinya telah diperkemaskan di setiap peringkat akar umbi.


5,000 rakyat Labuan akan terima BR1M pada 4 dan 5 Feb depan


SIMBOLIK .... Yussof (tengah) ketika menandatangani plak sebagai simbolik perasmian dan pelancaran Pasar Tamu Labuan Walk, sambil diperhatikan oleh Zainul (kanan) danYunus (kiri).


LABUAN: Kira-kira 5,000 rakyat Labuan  daripada 6,137  penerima  yang layak  akan menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam bentuk baucer RM500 di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan pada 4 dan 5 Febuari depan.
Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Yussof Mahal berkata,  mereka yang layak menerimanya akan di beritahu oleh   ketua kampung masing-masing bagi membolehkan mereka hadir  untuk menerima  baucer BR1M bernilai RM500.
“Surat pemberitahuan  kepada mereka yang layak menerimanya akan diserahkan kepada  ketua kampung masing-masing  untuk diedarkan kepada penerima yang layak’ katanya ketika ditemui oleh pemberita pada Majlis Perasmian Tamu Labuan Walk dan Pelancaran Kibar Bendera Wilayah Persekutuan  sempena Sambutan Hari Wilayah  2012 di perkarangan Wisma Perbadanan Labuan, pada pagi Ahad.
Katanya, mereka yang menerima  BR1M dalam bentuk  baucer bernilai RM500 sebelum ditukar dalam bentuk tunai melalui tiga buah bank terpilih untuk pengeluaran wang tersebut.
“Bagi memudahkan orang ramai mengeluarkan wang tunai RM500 secara terus,  tiga buah bank  yang  terpilih akan membuka kaunter pada majlis penyerahan itu di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan,” katanya.
Terdahulu, sebelum itu beliau melancarkan dan merasmikan  tapak  baru pasar tani yang kini dikenali sebagai Pasar  Tamu Labuan Walk yang melibatkan sebanyak 135 gerai peniaga  kecil yang sebelum ini mereka berniaga di Jalan Bunga Melor.


Tindakan segera SESB berjaya kurangkan impak gangguan bekalan elektrik


KOTA KINABALU: Tindakan segera anggota kerja SESB telah berjaya mengurangkan impak gangguan bekalan elektrik akibat kerosakan luar jangka pada pepasangan elektrik berkeupayaan 132 kiloVolt (kV) di Pencawang Masuk Utama (PMU) Beaufort.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir. Ahmad Fuad Md Kasim dalam kenyataannya yang diemailkan berkata, kerosakan ini juga telah  menyebabkan lebih kurang 80,000 pengguna di sekitar kawasan Wilayah Persekutuan Labuan, Beaufort, Keningau, Tambunan, Tenom, Sipitang dan Kuala Penyu mengalami gangguan bekalan elektrik bermula pada jam 11.32 pagi kelmarin (24 Januari 2012).
Katanya, kejadian itu juga turut menyebabkan Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi dan Stesen Janakuasa Patau-Patau, masing-masing berkeupayaan 66 MegaWatt (MW) dan 60 MW terpelantik (tripped).
“Persediaan 24 jam oleh lebih 500 anggota kerja SESB di seluruh Sabah sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina ini turut membantu mengurangkan impak gangguan bekalan ini.
“Bekalan telah berjaya dipulihkan secara berperingkat bermula pada jam 1.25 petang pada hari yang sama,” jelasnya lagi.
Pihak SESB memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi oleh pengguna ekoran daripada kejadian ini.
         


Garuda juarai Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah


TENOM: Pasukan Garuda menjuarai Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah sekali gus merangkul piala iringan, medal dan wang tunai RM500.
Naib johan Pemuda Tolokoson menerima RM300, piala iringan dan medal manakala, tempat ketiga, Express 44 pula menerima  RM200, piala iringan dan medal.
Tempat keempat dimenangi oleh pasukan Sime Darby menerima RM100, piala dan medal.
Idril Jainal pula dinobatkan sebagai Pemain Terbaik manakala Pasukan Terbaik pula Sime Darby.
Kejohanan itu anjuran Belia Desa Sapong dan Kelab Pemuda Tolokoson Kemabong yang berlangsung di Padang Bola Sepak Ladang Sapong, pada Ahad.
Sementara itu, pengerusi penganjur kejohanan itu Megah Intung, berkata semua hadiah disumbangkan oleh Ketua Bahagian PBS Kemabong, Sabini Ansumor.
Sabini pula dalam ucapan ringkasnya berkata, kejohanan itu bertujuan memilih pemain-pemain untuk diserapkan sebagai pemain Kelab Pemuda Tolokoson dan mengeratkan lagi hubungan belia di sekitar kawasan Kemabong.

HADIAH ... Sabini (tengah) menyampaikan hadiah kepada ketua pasukan Garuda (dua, kiri) sambil diperhatikan oleh Pengerusi Penganjur, Megah Intung (dua, kanan).

Tuesday, 24 January 2012

PBBS ikrar tidak akan khianati BN


BEAUFORT: Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), berikrar tidak akan sekali-kali mengkhianati Barisan Nasional (BN) sama ada di peringkat Pusat mahupun Negeri.
 Timbalan Presidennya Kamarlin  Haji Ombi, berkata ini kerana Perdana Menteri Dato Seri Mohd. Najib Tun Abul  Razak dan Datuk Seri Musa Haji Aman mengiktiraf sumbangan masyarakat Bisaya walaupun merupakan suku kaum menoriti di negeri ini. 
 “Ini  terbukti adanya masyarakat  Bisaya  di negeri ini membarisi kepimpinan di peringkat Negeri dan Persekutuan,” katanya ketika meninjau projek pembangunan di Kampong Jabang, dekat sini, baru-baru ini.
 Selain itu, katanya, pemberian peruntukan sebanyak RM3 juta oleh kerajaan Persekutuan kepada PBBS adalah bukti nyata kerajaan Pusat dan BN tidak meminggirkan masyarakat Bisaya. 
Wakil Rakyat Lumadan itu berkata, PBBS juga berbangga kerana mempunyai pemimpin persatuan yang bijaksana Janang Gayuh Datuk Seri Haji Lajim Haji Ukin yang berjaya mengemudikan  PBBS dengan jayanya.
 Kamarlin juga menyangkal dakwaan kononnya  PBBS bermotif politik yang menyokong perjuangan pembangkang.

TINJAU … Kamarlin (kanan)bersama pemimpin masyarakat Kg. Jabang ketika meninjau pembinaan jalan ke kampung itu.

BERPUAS HATI … Kamarlin (kiri) turut meneliti jambatan gantung yang telahpun siap sepenuhnya di Kg. Jabang turut memberikan kemudahan asas kepada masyarakat setempat.



Sofia Leong tinggalkan Umno sertai Usno


Saya hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan Umno Bahagian Tenom.”
   “Perjuangan saya dan rakan-rakan pengasas tidak dihargai.
   “Datuk Seri Musa Haji Aman, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi malah Presiden Umno Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak tahu apa yang telah kami lakukan di Tenom.
  Saya akan bekerja keras untuk mengajak lebih ramai ahli Umno menyertai Usno.
-      Sofia Leong Chau Chu

Nota:
Sofia Leong Chau Chu merupakan
-  Pengasas parti Umno Tenom 1992
- Keluar Umno 14 Jan. 2012 di Kg. Jawa Sumbiling, jam 4.46 petang dan menyertai Usno.
Kini memegang jawatan Ahli Majlis Tertinggi (Penaja) Usno.