PUTRAJAYA, 13, Feb Bernama): Panel Mahkamah Rayuan hari ini
sebulat suara memutuskan mengurangkan hukuman dari lima kepada dua tahun
penjara ke atas dua orang adik beradik yang didapati bersalah oleh Mahkamah
Sesyen atas tuduhan membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dua tahun
lepas.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Wira Low Hop Bing
berkata walaupun mahkamah rayuan bersetuju terhadap jatuhan hukuman oleh
mahkamah lebih rendah yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi, hukuman
lima tahun penjara bagi kedua-dua perayu itu adalah keterlaluan.
Beliau memerintahkan penghantar surat Raja Muhammad Faizal,
25, dan Raja Muhammad Idzham, 23, seorang pekerja bank, menjalani hukuman
mereka berkuatkuasa hari ini.
Kedua-duanya dikenakan ikat jamin RM20,000 tiap seorang
sementara menunggu kes rayuan mereka didengar.
Dua hakim lain dalam panel yang mendengar rayuan hari ini
ialah Datuk Abdul Malek Ishak dan Datuk Ramly Ali.
Hakim Low berkata mahkamah sudah mengambil kira faktor
rayuan dikemukakan pihak penguam bela mereka, Salim Bashir, bahawa semasa
kesalahan dilakukan kedua-duanya masih agak muda dan merupakan pesalah kali
pertama.
“Kedua-dua mahkamah
bawahan sebelum ini (Sesyen dan Mahkamah Tinggi) telah dengan betul
menimbangkan prinsip keterangan sokongan di mana kedua-duanya mempunyai niat
bersama dalam melakukan perbuatan jenayah,” kata Low.
Beliau berkata mahkamah juga mengambil kira tidak seorang
pun cedera akibat perbuatan mereka itu, dan kerajaan membelanjakan RM500,000
dalam membaik pulih gereja berkenaan.
Hakim Low menegaskan bahawa mahkamah perlu mengimbangkan di
antara kepentingan orang ramai, yang mana dalam kes jenayah memerlukan hukuman
bagi mencegah, namun pada waktu sama kepentingan tertuduh juga tidak semestinya
diketepikan.
Pada 13 Ogos 2010, kedua-dua mereka dijatuhi hukuman penjara
lima tahun seorang setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur
melakukan perbuatan jahat dengan membakar gereja di Jalan 4/4c, Desa Melawati
pada 11.50 malam 7 Jan 2010.
Kedua-duanya didakwa di mahkamah bersama-sama beberapa yang
lain yang masih bebas.
Pada 30 Julai 2010, seorang kawan kepada dua bersaudara itu,
Azuwan Shah Ahmad, 24, yang dituduh bersama mereka, dibebaskan oleh Mahkamah
Sesyen tanpa dipanggil membela diri.
Pada 27 Mei tahun lepas Mahkamah Tinggi mengekalkan
keputusan hukuman yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen.
Timbalan Pendakwaraya Azlina Rasdi tampil bagi pihak
pendakwaan.- Bernama
No comments:
Post a Comment