KUALA LUMPUR, 21 Feb: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim tidak akan menyaman Wall Street Journal (WSJ) berhubung laporan
mengenai sokongannya terhadap Israel yang disiarkan akhbar itu bulan lepas.
Anwar berkata laporan yang dikeluarkan WSJ adalah tepat
seperti mana yang beliau maksudkan.
Ditanya kenapa beliau bertegas tidak mahu menyaman WSJ,
Anwar berkata akhbar itu telah meletakkan semua syarat yang disebutkannya yang
perlu diikuti sebelum menyokong segala usaha melindungi keselamatan Israel.
Anwar berkata demikian sebagai mengulas desakan Majlis Syura
Ulama Pas yang memutuskan supaya Anwar menarik balik kenyataan beliau mengenai
Israel itu atau menyaman WSJ jika akhbar itu tidak tepat melaporkan
kenyataannya.
Beliau ditemui pemberita selepas bertemu dengan Menteri
Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am Pas di sini
hari ini.
Mengenai pertemuan itu, Anwar berkata Nik Aziz telah
mendengar penjelasannya berhubung isu tersebut.
Pertemuan itu turut disertai Ketua Penerangan Pas Datuk Tuan
Ibrahim Tuan Man.
Ditanya adakah pendiriannya berhubung Israel berbeza dengan
Pas, Anwar berkata terdapat sedikit perbezaan iaitu dari segi penekanan.
Sementara itu, Tuan Ibrahim yang dihubungi melalui khidmat
pesanan ringkas (SMS) memaklumkan Pas akan mengeluarkan kenyataan berhubung
pertemuan itu dalam masa terdekat. -
Bernama
No comments:
Post a Comment