KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama): Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam)
memandang berat dan bimbang dengan kenyataan Peguam Negeri Sabah, Datuk Roderic
Fernandez bahawa Ordinan Tanah Sabah (OTS) yang berkuat kuasa pada tahun 1930
tidak membenarkan wujudnya Hak Tanah Adat yang baru di Sabah.
Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam, berkata kenyataan Fernandez
bahawa tidak ada peruntukan dalam OTS bagi anak negeri untuk membuat penempatan
selepas 1930 dan menuntut Hak Tanah Adat adalah jelas bercanggah dengan
kedudukan Hak Tanah Adat, yang merupakan hak asas Orang Asli dan Asal seperti
mana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Suruhanjaya juga rasa terkejut dengan komen Peguam Negeri
Sabah kerana kedudukan yang dinyatakan ini adalah sama sekali baru dan
bercanggah dengan semua dasar-dasar sedia ada dan interpretasi OTS, khususnya
undang-undang adat dan perspektif Bumiputera.
“Pendirian itu amat membimbangkan kerana ia mungkin akan
terus menambahkan kesulitan yang sedang dihadapi oleh anak negeri Sabah
berhubung pemilikan tanah di bawah dasar dan undang-undang sedia ada,” katanya
dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkuasa agar dapat
memastikan sebarang keputusan polisi oleh kerajaan negeri, terutamanya tentang
hal-hal tanah mestilah berdasarkan konsultasi yang berkesan dan bermakna serta
mendapat persetujuan daripada masayarakat dan pihak lain yang berminat.
Beliau mengulas kenyataan Fernandez semalam bahawa tiada
tanah baru berstatus NCR yang akan diwujudkan memandangkan hanya tanah yang ‘masih’
diduduki oleh pribumi sebelum tarikh penguatkuasaan Ordinan Tanah Sabah (SLO) yang
mendapat pengiktirafan status itu.
Hasmy berkata suruhanjaya itu juga menggesa agar penangguhan
kepada sebarang polisi baru berkaitan hal-hal tanah dibuat sehingga selesai
Inkuiri Nasional mengenai tanah Orang Asal dan Asli.
Inkuiri itu, yang diketuai oleh Hasmy, dimulakan di Sabah
pada Jun tahun lepas diikuti Perak, Kelantan, Pahang, Johor dan Selangor. Ia melibatkan beberapa penyelidik daripada
Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaya
bertujuan mendapatkan fakta selain melihat dari segi undang-undang, amalan
dan prosedur yang melibatkan tanah Orang
Asal dan Asli.
Laporan inkuiri itu, yang akan mengesyorkan penyelesaian
bagi jangka masa panjang, sederhana dan pendek, dijangka dapat disiapkan pada
Julai dan akan diserah kepada Parlimen, Dewan Undangan Negeri, kerajaan
Persekutuan dan negeri. - Bernama
No comments:
Post a Comment