Wednesday, 15 February 2012

Star tiup slogan kedaerahan di Sabah?

KENINGAU, 15 Feb, (Bernama): Pemuda Umno Bahagian Keningau menyelar sebuah parti politik pembangkang di Sabah yang cuba menghidupkan sentimen kedaerahan melalui slogan ‘mereformasikan Sabah’ menerusi pakatan yang dinamakan Perikatan Borneo Bersatu.
Ketuanya Azman Ruslan berkata saranan oleh Parti Reformasi Negeri (Star) itu hanya akan menyempitkan ruang dan peluang rakyat Malaysia di Sabah untuk bersaing dengan masyarakat lain di negara ini ke arah mencapai kemajuan.
“Slogan perjuangan yang mereka laung-laungkan untuk mereformasikan Sabah melalui Perikatan Borneo Bersatu tidak menunjukkan hala tuju yang jelas, terutama bagaimana untuk membangunkan dan meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia di Sabah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Azman, yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Sabah, berkata saranan parti itu tidak realistik, memandangkan Sabah sudah menikmati kemajuan setelah mencapai kemerdekaan selama lebih 50 tahun melalui pembentukan Malaysia.
“Kalau benar-benar mereka berniat jujur untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah, saya nak cabar mereka supaya mengumumkan agenda pembangunan yang lebih baik daripada apa yang telah, sedang dan akan dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional,” katanya.
Azman berkata kerajaan Barisan Nasional sentiasa responsif dan proaktif, terutama dalam memelihara dan mempertahankan semangat Malaysia seperti yang diinginkan menerusi gagasan 1Malaysia. 
Beliau berkata sebarang usaha untuk membawa perubahan di Sabah tidak mungkin dicapai sekiranya soal perpaduan, kestabilan ekonomi dan politik diabaikan.
“Kita mesti menerima hakikat bahawa sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai tanggungjawab, malahan terikat, untuk mempertahankan kedaulatan negara.
“Dalam situasi sedemikian, saya tidak melihat apa signifikannya bagi mana-mana pihak terutama pembangkang, membangkitkan perkara-perkara yang boleh membawa kesan negatif terhadap perpaduan,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment