Saturday, 4 February 2012

Pungutan hasil MPT cecah RM37.68 juta

TAWAU: Pungutan hasil Majlis Perbandaran Tawau (MPT) mencecah RM37.68 juta berbanding RM33.58 juta perbelanjaan dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.
Presiden MPT, Datuk Ismail Mayakob, berkata sistem pengurusan kewangan berhemah dan mengutamakan outcome yang dipraktikkan telah memberi impak positif apabila RM4.9 juta lebihan hasil direkodkan.
Menurutnya, pembangunan pesat adalah antara penyumbang peningkatan hasil MPT dan ia dijangka meningkat sehingga 40 peratus apabila permohonan kawasan perkadaran sehingga ke sempadan Tawau diluluskan.
Dalam pada itu, beliau menyatakan MPT bukan sahaja berjaya mengukuhkan kedudukan kewangannya malah mendapat pengiktirafan sijil kewangan bersih selama lapan tahun berturut-turut dari Jabatan Audit Negara.
Tidak setakat itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ujarnya turut menyenaraikan MPT di tangga ketiga, di antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terawal di negeri ini yang mengemukakan penyata kewangan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Upacara Lafaz Ikrar dan Menandatangani Watikah Lantikan Ahli MPT, di Dewan Persidangan MPT pada Jumaat.
Dalam hal berkaitan, Ismail berkata bahawa MPT kini turut berusaha mengurangkan kebergantungannya kepada hasil tradisi seperti cukai pintu dan lesen iaitu dengan membuat pelaburan di dalam bidang pertanian.
Bagaimanapun katanya, pelaburan yang dijangka memberi pulangan hasil kepada majlis itu hanya akan dapat dilaksanakan sebaik pelaksanaannya diberi kelulusan.
“Perbelanjaan terbesar majlis adalah membayar emolument gaji dan elaun kakitangan RM13.1 juta diikuti penswastaan RM11.1 juta, utiliti RM3 juta, Modal RM2.5 juta dan lain-lain RM4.9 juta,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 25 Ahli Majlis MPT (Kaunselor) menerima Watikah Pelantikan mereka, yang merupakan lanjutan perkhidmatan untuk tempoh enam enam bulan bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2012.


TERIMA WATIKAH ... salah seorang Ahli Majlis (kanan) menerima Watikah Pelantikannya daripada Ismail di majlis itu.


No comments:

Post a Comment