Ramalan itu, ditegaskan beliau dalam program “Dalam Radar”
terbitan Bernama Radio24, semalam, adalah berdasarkan kepada sokongan padu yang
diterimanya dalam siri jelajah ke seluruh negara baru-baru ini di mana puluhan
ribuan penduduk turun padang untuk menyambut kehadirannya.
Beliau berkata gambaran dan sambutan awal yang diterimanya
meyakinkan beliau bahawa masa hadapan pergerakan kuasa ketiga di Malaysia
adalah cerah meskipun ia merupakan sesuatu yang baharu dalam arena politik
negara.
“Saya percaya blok
kuasa ketiga yang dirancang ini akan mendatangkan impak besar, setidak-tidaknya
kepada kumpulan masyarakat Malaysia yang sudah tahu berfikir. Mutakhir ini,
rakyat Malaysia sudah menjadi sebuah masyarakat pemikir yang mana mereka tidak
akan mudah menerima sesuatu yang dianggap basi.
“Kehadiran kuasa
ketiga berkenaan sesungguhnya akan menjadi lebih dominan dan besar untuk
melancarkan satu sistem gerakan yang sangat diperlukan di Malaysia.
Pemecatan saya daripada PAS yang pada awalnya tidak
signifikan dan dikatakan hanya mencetuskan gelombang kecil, kini telah menjadi
suatu gelombang besar,” katanya.
Dalam pada itu, Hasan turut menjelaskan Jati tidak mempunyai
sebarang masalah untuk mengadakan pelbagai bentuk hubungan dengan mana-mana
pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun badan-badan politik yang
kecil dan besar selagi pihak berkenaan mempercayai konsep perjuangan yang
dibawa Jati iaitu IMR, singkatan kepada perjuangan untuk Islam, Melayu serta
mendaulatkan institusi Raja-Raja.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan Jati bergabung dengan
NGO lain termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) sebagai cara untuk
mengukuhkan pengaruh kuasa ketiga, Hasan berkata, perkara tersebut bergantung
kepada kesediaan pihak-pihak berkenaan dalam mengangkat martabat IMR.
Bagaimanapun, menurut Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran
dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Shaharudin
Badaruddin, blok kuasa ketiga itu hanya akan muncul sebagai satu kuasa kuat dan
digeruni jika wujud pelbagai elemen tertentu.
Yang pertamanya, tegas Shaharuddin, kuasa ketiga itu hanya
akan mendapat sambutan sekiranya rakyat ataupun pengundi sudah meluat dengan
gelagat dan politiking parti pemerintah mahupun pembangkang.
Selain itu, kuasa ketiga itu akan bertambah mantap dan boleh
memainkan peranannya dengan berkesan jika Jati dan beberapa NGO bergabung
tenaga, bukannya secara bersendirian.
Beliau juga berpendapat, mana-mana kuasa ketiga yang ingin
mendapat sokongan padu rakyat Malaysia perlu mempunyai elemen kemajmukannya
yakni diterima baik oleh masyarakat majmuk dan bukannya hanya sesuatu kaum
tertentu sahaja.- Bernama
No comments:
Post a Comment