KOTA KINABALU, (21 Feb): Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mengatakan bahawa beliau akan
mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang
Tanpa Izin (PATI) di Sabah semasa lawatannya ke Sabah baru-baru ini.
Setiausaha
Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan (gambar) berkata,
perkara itu (penubuhan RCI) hanya digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak
sahaja.
“Keputusan pembentukan
RCI terpulang kepada Kabinet,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan
Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Datuk Wilfred Bumburing mengenai
perkara itu kelmarin.
Abdul Rahman
berkata, beliau tidak ada akses kepada minit mesyuarat Kabinet yang
diklasifikasikan sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan tidak dibenarkan untuk
dihebahkan kepada awam.
“Tetapi jika
ianya benar Kabinet telah membuat keputusan mengenai RCI seperti mana yang dihebahkan
oleh sesetengah pihak, saya yakin Perdana Menteri akan mengambil tindakan
yang sewajarnya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Belud ketika dihubungi kelmarin.
Bumburing dalam
kenyataannya kelmarin dilaporkan
berkata, bahawa Amanah berkongsi kekecewaan yang dialami seluruh
penduduk Sabah yang telah menunggu dengan sabar pengumuman penubuhan RCI
mengenai pendatang tanpa izin di Sabah.
Menurut Bumburing
yang juga Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazadusun Murut Bersatu
(Upko) mereka semua menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
akan mengumumkan penubuhan RCI itu semasa lawatannya ke Sabah minggu lepas.
“Saya turut
berkongsi kekecewaan dengan setiap penduduk Sabah apabila Perdana Menteri
gagal mengumumkan penubuhan RCI untuk menyelesaikan isu-isu PATI dan
pertambahan luar biasa penduduk Sabah sejak dekad lalu semasa lawatannya ke sabah
baru-baru ini,” katanya.
Bumburing
berkata, baru-baru ini sebelum lawatan Perdana Menteri ke Sabah kita
dimaklumkan melalui akhbar, pertama oleh seorang pemimpin dari LDP bahawa
kabinet Persekutuan telah bersetuju dengan penubuhan RCI itu dan kemudian
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan diikuti
oleh Tan Sri Bernard Dompok Dompok bahawa Perdana Menteri akan
mengumumkan penubunan RCI semasa lawatannya ke Sabah.
Katanya, rakyat
menunggu pengumuman itu dengan penuh minat tetapi malangnya, Najib datang
dan pergi tanpa memberi sebarang bayangan mengenai penubuhan itu RCI
itu.
Dengan itu,
Bumburing berkata, jika benar Kabinet Persekutuan telah membuat keputusan
mengenai isu RCI itu, maka tidak ada sebab kenapa pengumuman
keputusan Kabinet Persekutuan mengena perkara itu tidak dibuat dan atau
dilengah-lengahkan oleh Perdana Menteri.
No comments:
Post a Comment