JAKARTA, 18 Feb, (Bernama): Mahkamah Perlembagaan Indonesia
pada Jumaat membuat satu keputusan penting yang memberi hak hubungan darah dan
hubungan sivil dengan bapa dan keluarga bapa, kepada anak-anak yang lahir di
luar pernikahan rasmi dan yang lahir di luar nikah.
Ia sekaligus memberi mereka hak kepada harta pusaka bapa
mereka, dengan syarat hubungan pertalian darah itu dapat dibuktikan secara
saintifik atau alat bukti yang dibenarkan oleh undang-undang.
Status itu diperoleh apabila Mahkamah Perlembagaan
memansuhkan satu seksyen dalam Undang-undang Perkahwinan 1974, yang menyatakan
bahawa anak-anak yang lahir di luar perkahwinan hanya mempunyai hubungan sivil
dengan ibu dan keluarga ibu mereka.
Dalam keputusan itu, sembilan hakim Mahkamah Perlembagaan
bersetuju bahawa artikel itu tidak berpelembagaan.
“Saya ingin menekankan bahawa sejak pukulan tukul
(keputusan) hari ini, anak yang lahir di luar perkahwinan rasmi, baik itu
kahwin siri (pernikahan secara agama yang tidak didaftarkan), perselingkuhan,
atau hidup serumah tanpa nikah, adalah mempunyai hubungan darah dan hubungan
sivil dengan bapanya,” kata Ketua Mahkamah Perlembagaan Indonesia Mahfud MD.
Keputusan itu dibuat berikutan permohonan kajian semula
undang-undang yang dikemukakan seorang penyanyi dangdut Machica Mochtar atau
Aisyah Mochtar, yang mempunyai anak hasil perkahwinannya dengan Moerdiono,
seorang bekas menteri di era Orde Baru atau pemerintahan Soeharto, namun
pernikahannya itu hanya secara agama dan tidak didaftarkan secara rasmi.
Mereka bernikah pada tahun 1993 tetapi bercerai pada 1998. Moerdiono meninggal dunia pada Oktober tahun
lepas, namun keluarga bekas suaminya itu dilaporkan menolak sebarang hubungan
dengan anaknya yang bernama Muhammad Iqbal Ramadhan itu.
Machica mengemukakan permohonan itu kerana berasa dirugikan,
khususnya untuk mendapatkan status undang-undang untuk anaknya. - Bernama
No comments:
Post a Comment