KUALA LUMPUR, 20 Feb, (Bernama): Mahkamah Tinggi di sini
hari ini menetapkan 1 Jun tarikh membicarakan isu awal soal perundangan dalam
saman yang dikemukakan kerajaan negeri Kelantan terhadap Petronas.
Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof memutuskan tarikh itu dalam
kamarnya setelah menemui peguam Rahayu Mumazaini bagi kerajaan Kelantan dan
Peguam Persekutuan Idamaliza Maarof bagi pihak defendan.
Pada 18 Jan lepas Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada permohonan
Kerajaan Persekutuan dan Petronas supaya hakim menentukan kes saman itu diputuskan
mengikut isu perundangan.
Kedua-dua pihak itu meminta hakim menentukan kes mengikut
isu perundangan di bawah perkara 14A Perintah Mahkamah Tinggi 1980 dan perkara
33 peraturan yang sama tanpa perlu diadakan perbicaraan sepenuhnya.
Kerajaan negeri Kelantan menyaman Petronas kerana dikatakan
mengingkari kontrak supaya membayar tunai kepada Kelantan bagi hasil minyak.
Dalam samannya yang dikemukakan pada 30 Ogos 2010, pihak
plaintif menamakan Petronas sebagai defendan pertama.
Kerajaan Persekutuan bagaimanapun berjaya dalam permohonan
mencelah dan dinamakan defedan kedua dalam saman tersebut.
Dalam pernyataan tuntutan, Kerajaan Negeri meminta Petronas
membayar tunggakan dan bayaran tunai di masa akan datang bagi petroleum yang
dikeluarkan di luar pantai Kelantan seperti termaktub dalam perjanjian
petroleum.
Kerajaan Negeri juga
menuntut gantirugi dan kos. Bagaimanapun ia tidak menetapkan jumlah keseluruhan
yang dituntut daripada Petronas.
Dalam tuntutannya
Kerajaan Negeri itu berkata Perjanjian Petroleum Kelantan yang dimeterai pada 9
Mei 1975 jelas menyatakan bahawa Petronas hendaklah membayar secara tunai lima
peratus daripada hasil minyak diperolehi melalui carigali sama ada di kawasan
pantai atau luar pantai.
Kerajaan Negeri berkata satu perenggan dalam perjanjian itu
menyebut bahawa pembayaran hendaklah dibuat secara tunai dua kali setahun pada
atau sebelum 1 Mac, atau pada atau sebelum 1 Sept. - Bernama
* KERAJAAN negeri Kelantan sudah mula bertindak tegas
menuntut hak dengan menyaman Petronas kerana mengingkari kontrak supaya
membayar tunai kepada Kelantan bagi hasil minyak.
Perjanjian Petroleum Kelantan
yang dimeterai pada 9 Mei 1975 jelas menyatakan bahawa Petronas hendaklah membayar
secara tunai lima peratus daripada hasil minyak diperolehi melalui carigali
sama ada di kawasan pantai atau luar pantai.
Dalam kes di Sabah, Petronas mungkin menunaikan janji
membayar 5 peratus hasil minyak kepada kerajaan negeri Sabah, apa yang dituntut
rakyat Sabah sekarang ialah supaya royaliti minyak dinaikkan kepada 20 hingga
50 peratus.
Bagaimanapun tuntutan itu ditolak mentah-mentah oleh
Kerajaan Pusat.
Soalnya sekarang, apakah kerajaan negeri Sabah berani mengikut jejak kerajaan
negeri Kelantan iaitu menyaman Petronas dan Kerajaan Persekutuan?. –
Editor Sidang Rakyat
No comments:
Post a Comment