GARA-gara kedapatan khalwat dengan isteri orang di Balok,
Kuantan, Pahang pada Sabtu, Anggota
Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr Badrulamin Bahron berkata: “Saya rela
berundur sekiranya pengunduran itu boleh menyelamatkan perjuangan Parti
Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung tindakan
yang mungkin diambilnya selepas didakwa terbabit dalam kes khalwat dengan
isteri orang di sebuah hotel di Balok, Sabtu lepas.
Katanya kejadian itu hanya melibatkan dirinya seorang dan
tidak ada kena-mengena dengan parti dan oleh itu beliau mahu menanggungnya
sendiri dengan mengambil pendekatan berundur dari parti.
“Walaupun belum didapati bersalah atau tidak didapati
bersalah pun, saya dah fikirkan tidak akan libatkan sesiapa pun dalam hal ini
dan biar saya tanggung sendiri dan sedang menimbang untuk berehat dari jawatan
baik dalam parti dan negeri,” katanya ketika ditemui selepas hadir ke Pejabat
Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) untuk memberi keterangan berhubung kejadian
itu.
Dr Badrulamin berkata cadangan Pejabat PKR Selangor supaya
beliau bercuti sebulan bagi menyelesaikan kes itu disambut baik olehnya kerana
tidak mahu parti turut merasa tempias daripada kes itu.
Terdahulu, Dr Badrulamin yang berjaket hitam dan berkopiah
coklat ditemani isterinya Zumrah Husni serta tiga peguamnya iaitu Muhammad
Sazali Abdul Aziz, Ahmad Nizam Hamid dan Mohd Irfan Abdullah, untuk memberi
keterangan lebih dua jam kepada pihak JAIP.
Sementara itu, wanita yang dipercayai berkhalwat dengan Dr
Badrulamin tiba di pejabat Jaip pada pukul 3.05 petang dengan menaiki sebuah
kereta Perodua Alza ditemani seorang lelaki dan seorang wanita.
Wanita 28 tahun itu memakai baju kurung dan bertudung kuning
dilihat keluar meninggalkan pejabat Jaip pukul 6.20 petang.
Dr Badrulamin berkata beliau mengenali wanita tersebut dan
suaminya sejak setahun lepas di mana beliau sekeluarga dan keluarga wanita itu
pernah mengerjakan umrah bersama-sama.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jaip Datuk Mohd Ghazali
Abdul Aziz ketika dihubungi berkata beliau tidak mempunyai sebarang maklumat
mengenai keterangan Dr Badrulamin setakat ini kerana sedang bertugas di luar
daerah.
Sebelum itu, Mohd Ghazali dilaporkan berkata Badrulamin
diminta tampil memberi keterangan dalam proses siasatan terhadap kes itu.
“Ia merupakan prosedur biasa dalam kes seperti itu dan
disiasat mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam
Melayu Pahang 1982,” katanya.
Menurut laporan media, Badrulamin ditangkap bersama wanita
itu yang bekerja sebagai seorang juruteknik di sebuah kolej.
Bagaimanapun Badrulamin dilaporkan menafikan beliau telah
ditangkap berkhalwat serta mendakwa insiden itu adalah tindakan terancang untuk
memerangkap serta mengaibkannya.
Beliau juga mendakwa dipukul lebih kurang 20 lelaki ‘ala
samseng’ pada pagi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani
Yusof ketika dihubungi hari ini berkata pihak polis sehingga kini masih belum menerima
sebarang laporan berhubung kejadian Badrulamin dipukul.
No comments:
Post a Comment