Thursday, 9 February 2012

Polis sedia hadapi ancaman culik


LABUAN, 8 Feb: Polis Sabah sentiasa membuat pemantauan dan bersedia menghadapi rancangan pengganas untuk melakukan penculikan di perairan negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kejadian pelancong asing di culik di luar perairan Pulau Sipadan patut dijadikan pengajaran bahawa aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas amaran kerajaan Australia kepada pengembara baru-baru ini supaya lebih berjaga-jaga terhadap kemungkinan pengganas terus merancang melakukan penculikan di perairan Sabah.
Katanya tanggungjawab menjaga keselamatan perairan Malaysia tidak hanya terletak di bahu polis semata-mata, tetapi juga agensi penguatkuasaan lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkataan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kastam.
"Kami sentiasa bekerjasama demi kepentingan negara. Kami juga sentiasa bersedia sekiranya ini (penculikan) berlaku. Kami sedang memperkemas dan meningkatkan kawalan keselamatan," katanya selepas menghadiri mesyuarat polis bantuan yang dihoskan Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB).
Maklumat yang disiarkan pada akhir bulan lepas dalam laman web smartraveller.gov.au milik Jabatan hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia membayangkan bahawa pengganas terus merancang untuk melakukan penculikan di perairan Sabah.
Kenyataan amaran itu juga menasihati pengembara Australia supaya lebih berhati-hati apabila berada di kawasan peranginan di pantai barat Sabah keranakemungkinan berlaku kes penculikan.
Pengembara juga dinasihati supaya menimbang semula keperluan untuk mengunjungi kepulauan berkenaan, tempat menyelam dan kawasan pantai di timur Sabah berikutan meningkatnya ancaman kegiatan menculik oleh pengganas dan penjenayah.
Sebelum ini, Kumpulan Abu Sayyaf, yang berpangkalan di Filipina, menculik warga asing yang mengunjungi pantai timur tanah besar Sabah, kepulauan berkenaan (Sipadan, Mataking dan Pandanan) serta kawasan perairan sekitarnya.
Berikutan kejadian tersebut, pihak berkuasa Malaysia telah meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan itu.

No comments:

Post a Comment