KUALA LUMPUR, 19 Feb, (Bernama): Datuk Seri Najib Tun
Razak berkata setiap tindakannya dalam sambutan keagamaan kaum lain di negara
ini adalah berlandaskan kepada syariat Islam yang dibenarkan.
Perdana Menteri berkata apa yang dilakukannya adalah
mencontohi tindakan Nabi Muhammad S.A.W. dalam menghormati agama orang lain,
tanpa menyalahi akidah Islam itu sendiri.
“Saya jaga akidah. Saya jaga peranan saya sebagai pemimpin
Islam. Kita juga mesti ikut cara-cara Rasulullah S.A.W, yang menghormati agama
orang lain tapi tidak menyalahi dari segi akidah,” katanya semasa menutup
Perhimpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012 di Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Beliau berkata dengan cara ini, umat Islam dan
agama Islam akan lebih dihormati dan kepimpinan umat Islam itu akan membawa
rahmat bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga kepada rakyat negara ini.
Menyentuh mengenai kenyataan Mufti Perak Tan Sri Dr
Harussani Zakaria mengenai kehadiran Perdana Menteri di sambutan Thaipusam di
Batu Caves baru-baru
ini, Najib berkata beliau berasa lega apabila Mufti Perak
itu menyatakan apa yang dilakukannya itu tidak bertentangan dengan hukum syarak
dan ia juga disahkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Saya terangkan kepada dia (Harussani), kenapa dan di mana
saya pada ketika itu. Saya tidak masuk pun, saya di perkarangan dalam dewan dan
saya bagi ucapan menyentuh soal sosio ekonomi orang India beragama Hindu. Saya
tidak terlibat dalam majlis keagamaan sama sekali.
“Saya rasa lega dan berterima kasih kepada Mufti Perak
apabila menyatakan bahawa ianya tidak
bertentangan dengan hukum syarak dan juga fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis
Fatwa,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment