KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN)
memanggil The Star untuk memberi penjelasan berhubung penyiaran gambar seorang
penyanyi wanita Amerika Syarikat yang mendedahkan bahagian atas dadanya, yang
tertera tatu perkataan ‘Allah’ dalam akhbar itu.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk
Lee Chee Leong berkata KDN memanggil Pengarang Urusan, Ketua Pengarang Berita
dan Pengarang Kanan The Star petang ini untuk memberi penjelasan mengenai
tindakan akhbar itu menyiarkan gambar berkenaan dalam edisinya hari ini.
Beliau berkata akhbar itu juga
akan diberi Surat Tunjuk Sebab untuk memberi penjelasan bertulis dalam masa
seminggu kepada KDN.
“Tindakan susulan akan dibuat
berdasarkan kepada penjelasan yang diberikan (akhbar itu kepada KDN),” katanya
dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, malam ini.
Dalam ruangan muziknya, The Star
menyiarkan gambar penyanyi “funk”, “hip-hop” dan “soul”, Erykah Badu, 40, yang
menunjukkan wajah dan bahagian atas dadanya.
Sebahagian dadanya terdedah dan
tertera pelbagai tatu, termasuk perkataan “Allah”, di bahagian sisi kiri dan
kanan dadanya berhampiran ketiak.
Penyanyi itu, yang berasal dari
Dallas, Texas, pernah memenangi anugerah Grammy dan akan membuat persembahan di
Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 29 Feb ini.
Sementara itu, The Star memohon
maaf kepada pembaca beragama Islam kerana menyiarkan gambar penyanyi Amerika
Syarikat tersebut.
“Kami secara ikhlas memohon maaf
kepada pembaca beragama Islam kerana terlepas pandang,” katanya dalam portal
online akhbar itu.
Akhbar itu berkata gambar Erykah
Badu, dengan tatu pelbagai simbol termasuk perkataan Arab bagi ‘Allah’,
disiarkan secara tidak sengaja dalam Star2 hari ini.
No comments:
Post a Comment