SIPITANG, 16 Feb, (Bernama): Sambil menegaskan bahawa isu
royalti minyak tidak boleh dilihat secara berasingan, Datuk Seri Najib Tun
Razak hari ini menyifatkan janji pemimpin pembangkang untuk meningkatkan
royalti minyak sehingga 50 peratus bagi Sabah sebagai gimik pilihan raya umum
akan datang.
Perdana Menteri berkata kadar royalti perlu dilihat dalam konteks
jumlah hasil kerajaan dan dalam soal peratusan peruntukan belanjawan bagi Sabah
dan juga negeri-negeri lain.
“Jika kamu ambil 20 peratus atau 50 peratus untuk royalti,
ia bermakna bahawa peruntukan bagi kementerian-kementerian untuk Sabah akan dikurangkan,”
katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek Sabah Ammonia
Urea (SAMUR) bagi Petronas Chemical Group Berhad’s (PCG) bernilai RM4.5bilion
di sini, hari ini.
Najib berada di Sabah untuk lawatan kerja dua hari.
Pemimpin pembangkang termasuk Penasihat Parti Keadilan
Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata beliau akan menaikkan
royalti minyak Sabah daripada lima kepada 20 peratus malah Datuk Dr Jeffrey
Kitingan pula menjanjikan 50 peratus.
Najib menarik perhatian wakil media kepada janji pembangkang
yang lain seperti mengurangkan harga bahan api, melupuskan pinjaman Perbadanan
Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menghapuskan tol.
“Dari mana mereka akan mendapat hasil untuk mentadbir
negara? Kamu tidak boleh menjanjikan sesuatu secara berasingan, kamu perlu
mengambil kira kesemuanya dalam konteks menyeluruh,” katanya.
Najib berkata kerajaan Barisan Nasional akan menyediakan
peruntukan yang mencukupi bagi pembangunan Sabah di bawah pelbagai skim
pembangunan dan transformasi. - Bernama
No comments:
Post a Comment