BELI BUAH TEMPATAN ... Seorang pelancong Ron Griffin (kiri) membeli buah nangka daripada salah seorang daripada tujuh pelajar itu, Rachael Thompson. |
MARI-MARI, BELI-BELI ... dua pelajar ini menunjukkan sayur kubis yang dijual di pekan Tuaran. |
RAKAM KENANGAN ... Masyarakat daerah Tuaran juga mengambil kesempatan bergambar bersama gadis-gadis cantik berpakaian baju tradisi Lotud ini. |
ISTIMEWA ... Joungin Molondoi berumur 61 menyifatkan kehadiran tujuh pelajar Australia itu sebagai sesuatu yang istimewa. |
SUMAZAU ... tiga pelajar ini menggayakan pakaian Lotud dengan aksi tarian Sumazau kepada masyarakat di Tuaran. |
OLEH JOANES ROBERT JOHNNY
Kehadiran tujuh wanita anggun memakai pakaian
tradisi masyarakat kaum Lotud di sini, menimbulkan pelbagai reaksi berbeza daripada
pengunjung Tamu Minggu di pekan Tuaran.
Mereka merupakan sebahagian daripada peserta
program Global Citizen Study Tour yang dianjurkan oleh Deakin
University Melbourne, Australia bermula sejak 5 Februari dan dijangka
selesai pada 18 Februari ini.
Menurut jurucakap (Liason Person) mereka Jude Day,
ketujuh pelajar ini sedang dalam proses membantu masyarakat Lotud di Kampung Selupoh di samping mengadakan pelbagai aktiviti untuk mengetahui budaya
tempatan dan alam sekitar.
“Kami dapat tahu bahawa majoriti masyarakat Lotud adalah
dari daerah Tuaran, maka kami memilih daerah Tuaran khasnya Kampung Selupoh sebagai
destinasi utama,” jelas Jude.
Ditanya sebab memilih Lotud, katanya kerana mereka
kagum dengan kaum Kadazan Dusun yang mempunyai sub-suku kaum yang pelbagai dan perbezaan
unsur-unsur dari segi pakaian, bahasa, perayaan, makanan dan lain-lain dan
salah satunya adalah Lotud.
“Kami sangat suka dengan budaya Lotud, terima
kasih kepada keluarga Jilan dan masyarakat di daerah ini terutamanya kepada
Persatuan Komulakan Lotud Sabah (KLOSA) yang banyak membantu kami,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengunjung Tamu Minggu
Tuaran, Joungin Molondoi, 61 menyifatkan hari tersebut amat istimewa kerana daerah
Tuaran mendapat kunjungan daripada pelajar luar negara.
“Masyarakat di sini (Tuaran) dan di Kampung Selupoh patut
berbangga kerana terpilih sebagai destinasi para pelajar ini, saya turut berbangga,”
ujarnya.
Mariamah Hassan, 43 tahun dari Kampung Kindu yang
kebetulan lalu untuk membeli sireh agak terkejut apabila mendapati ‘orang
putih’ memakai pakaian tradisi Lotud dan padanya itu jarang berlaku.
“Kehadiran mereka cukup istimewa sehingga tamu
kita nampak berseri-seri,” katanya bersungguh-sungguh.
Pelajar-pelajar ini dilihat membantu para penduduk
Kampung Selupoh menjual pelbagai hasil tanaman dan kuih-muih sambil memanggil
pelanggan dengan sapaan ‘mari-mari, beli-beli’ yang nyata begitu mencuit hati
masyarakat tempatan.
Sementara itu, wakil dari sebuah pusat kebudayaan Lotud
terkenal Sabah Linangkit Cultural Village yang juga merupakan penganjur bersama
program berkenaan Elvin Alrick Jilan, selain program pertukaran kebudayaan, kesemua
pelajar ini sebenarnya terlibat dalam membantu membina sebuah pusat sumber untuk
kegunaan pelajar sekolah rendah di Kg Selupoh.
“Gadis-gadis
cantik ini akan membantu kita mencari sumber atau dana melalui organisasi
yang boleh membantu menyediakan bahan-bahan
pembelajaran yang sesuai untuk pusat itu nanti,” katanya yang juga salah seorang pengurus di LCV.
LCV yang menjadi kebanggaan masyarakat Lotud di
daerah Tuaran telah diilhamkan pembinaannya oleh keluarga Jilan dari Kampung Selupoh, Tuaran yang merupakan salah satu daripada kira-kira 25 perkampungan
Lotud di situ.
Elvin menjelaskan, selain berpeluang melawat
tempat-tempat menarik di Sabah seperti Taman Kinabalu, Kolam Air Panas Poring,
Kundasang dan banyak lagi, kesemua pelajar berkenaan turut dijemput menghadiri
majlis perkahwinan mengikut adat istiadat suku kaum Kadazan Dusun di sekitar
Tuaran.
Menurut Elvin, kesemua tujuh pelajar
yang kesemuanya wanita ini akan
menganjurkan ‘hari
terbuka’ pada 17 Februari di LCV di mana masyarakat setempat akan diberitahu mengenai kegunaan serta fungsi utama pusat sumber itu pada
masa itu.
‘Hari Terbuka’ berkenaan dijangka akan disempurnakan
oleh Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah yang juga Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) Sulaman, Datuk Hajiji Hj Noor.
No comments:
Post a Comment