SHAH ALAM, 22 Feb: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad berkata seseorang Muslim tidak perlu berbai’ah kepada pemimpin yang
hanya merupakan orang biasa.
“Bai’ah bermakna kita ‘swear loyalty’ (sumpah taat setia)
kepada pemimpin yang manusia biasa dan boleh buat benda yang salah...bahkan
kita dapati banyak pemimpin PAS yang buat salah daripada segi agama,” katanya.
Katanya seseorang Muslim hanya perlu tunduk kepada Allah
SWT dan mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh Allah.
Dr Mahathir mengulas laporan akhbar hari ini bahawa
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata setiap calon PAS yang
bertanding dalam pilihan raya diwajibkan berbai’ah, satu bentuk pengakuan yang
lebih besar dan berat daripada bersumpah dan sesiapa yang melanggarnya “akan
celaka dunia dan akhirat”.
“Tidak ada perlu Bai’ah kepada sesiapa...bukan pun Nabi,
jadi nak Bai’ah buat apa?” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas
menyampaikan syarahan perdana “Transformasi Minda Penyelidik Muda” anjuran
Persatuan Pascasiswazah Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA di sini
hari ini.
Dr Mahathir berkata PAS cuba mengongkong pemikiran para
penyokongnya dengan tidak membenarkan mereka menerima pendapat-pendapat yang
berlainan daripada parti itu kerana itu mereka mengamalkan bai’ah di dalam
parti itu.
Mengenai kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim bahawa beliau tidak akan menyaman The Wall Street Journal, Dr Mahathir
berkata Anwar memang menyokong Israel.
“Jadi Nik Aziz (Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat) nak cuba pertahan dia kononnya soalnya kenapa kerajaan Malaysia benarkan
kapal Israel masuk pelabuhan?
“Ya, itu adalah satu amalan antarabangsa. Kita kalau nak
ada sekatan kita mungkin melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.
Dr Mahathir berkata Malaysia tidak boleh
menyokong Israel sama sekali kerana negara itu ditubuhkan daripada tanah yang
dirampas daripada hak orang lain dan ini bukan satu perkara yang betul.
“Walaupun dunia
mengiktiraf Israel, ia pula cukup ganas dan membelakangkan undang-undang
antarabangsa seperti membuat sekatan ke atas Gaza di Palestin.
“Inikah manusia yang patut kita jaga
keselamatan dia? Orang patut jaga dia daripada serang orang lain, bukan jaga
keselamatan dia,” katanya.
Beliau berkata beribu rakyat Palestin ditahan di dalam
penjara di Israel, kebanyakannya tanpa bicara dan ia merupakan satu rejim yang
cukup zalim.
“Jika Amerika Syarikat hendak menukar rejim pemerintahan
sesebuah negara, rejim Zionis Israel perlu ditukar dahulu,” katanya.
Mengenai pelancaran badan bukan kerajaan JATI semalam,
beliau berkata Presidennya Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata JATI bukan sebuah
parti politik tetapi beliau sepatutnya menerangkan apakah matlamat JATI seperti
perjuangannya dalam memperjuangkan Islam.
Bagaimanapun, beliau berkata: “Saya tidak suka lebih
banyak parti lagi ditubuhkan, ia memecah-belahkan orang Melayu yang sudahpun
berpecah kepada tiga, kini mereka berpecah kepada empat, lima, enam sehingga
menjadi minoriti”.
Ditanya mengenai
kerajaan perpaduan Umno bersama PAS, beliau
berkata: “Kita dah buat dulu kita masukkan PAS dalam BN tapi dia
bukan memperjuangkan Barisan Nasional
dia cuma memperkembangkan pengaruh dia sahaja semasa jadi menteri dan sebagainya.
“Jadi tak ada keikhlasan untuk bekerjasama sebab itu kita
berpecah dan sekarang ni mereka tidak suka nak bekerjasama dengan Umno, mereka
nak kerjasama dengan DAP hingga sanggup gugur bahasa nak dirikan negara Islam
pasal nak kerjasama dengan DAP...itulah PAS.”
Beliau berkata apa yang membimbangkan ialah bangsa Melayu
masih lagi kaum termiskin di Malaysia dan jika ia terus berpecah menjadi lemah,
harta mereka akan jatuh ke tangan orang lain.
No comments:
Post a Comment