Thursday, 23 February 2012

Pegawai Imigresen terlibat jenayah Pemerdagangan Orang: Hamisa



SIJIL PENGHARGAAN … Hamisa menyampaikan Sijil Penghargaan kepada para peserta seminar sambil diperhatikan Mariati.


TAWAU: Pegawai-pegawai Jabatan Imigresen Malaysia memang terlibat secara langsung dalam aktiviti jenayah pemerdagangan orang, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat.
 “Buktinya, lima orang pegawai Jabatan Imigresen telah ditangkap kerana penglibatan mereka dalam memperdagangkan pelarian-pelarian orang Myanmar. Seorang daripada mereka telahpun didakwa di mahkamah,” katanya.
Katanya semenjak penguatkuasaan sepenuhnya Akta Pemerdagangan Orang 2007, lima orang individu telah dijatuhi hukuman di bawah akta ini.

RAMAH MESRA …  Hamisa beramah
mesra dengan para peserta seminar.
 
Pendakwaan pertama yang dianggap berjaya ialah pada Disember 2008 di mana seorang warganegara berbangsa India telah mengaku salah mengeksploitasi pembantu rumahnya dalam kancah pelacuran dan telah dijatuhi hukuman selama lapan tahun.
“Pada Februari 2008, pihak polis telah menangkap 173 orang di bawah Akta Pemerdagangan Orang di mana 23 daripada mereka telah didakwa.
“Sehingga kini 17 kes telah dibawa ke mahkamah, 36 kes masih dalam siasatan dan 80 peratus merupakan pemerdagangan berbentuk seksual,” jelasnya.
Hamisa berkata, masalah pemerdagangan orang sebenarnya bukan isu baru bagi Malaysia, kerana sebelum tahun 2007 tidak ada undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen Malaysia untuk menangani masalah besar serupa ini.
Tegasnya, hasil gesaan dan pandangan badan-badan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan dan parti-parti politik, Parlimen Malaysia telah membentangkan Rang Undang-Undang Pemerdagangan Orang 2007.
“Di mana Parlimen kemudiannya meluluskannya sebagai akta dan penguatkuasaan sepenuhnya Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 bermula pada akhir bulan Februari tahun 2008,” tambahnya.
Menurut Hamisa lagi, selain aktiviti pemerdagangan orang dalam Malaysia,  terdapat juga jenayah pemerdagangan orang di kalangan warganegara Malaysia sendiri yang diperdagangkan di luar negara seperti Singapura, Macau, Taiwan, Hong Kong, United Kingdom, Australia dan Kanada.
“Manakala gadis dan wanita dari luar negara yang dibawa masuk ke Malaysia adalah dari negara-negara Thailand, Myanmar, Kemboja, Vietnam, Republik Rakyat China, Filipina, Korea dan Indonesia,”ujarnya.
“Kegagalan membendung kegiatan pemerdagangan orang telah membawa persepsi bahawa pihak berkuasa Kerajaan Malaysia yang terlibat tidak melaksanakan tugasan dan tanggungjawab mereka dengan sempurna,” katanya.
Berikutan itu, sebuah majlis terdiri daripada agensi-agensi pelbagai kerajaan juga telah ditubuhkan bagi menyediakan Pelan Tindakan Lima Tahun dalam menangani aktiviti pemerdagangan manusia.
Katanya, kebanyakan mangsa adalah gadis dan wanita di mana golongan ini terdedah kepada eksploitasi seksual dan juga buruh paksa. Mereka telah didera secara emosi, mental dan fizikal untuk menjadi hamba seks.
“Kebanyakan mangsa diculik, diperdaya dengan janji-janji pekerjaan bergaji lumayan dan peluang
perkahwinan luar negara, mengiklankan peluang-peluang pengambilan pekerja melalui akhbar, atau menemui mangsa dan keluarganya secara langsung dengan menjanjikan pekerjaan yang baik,” jelas Hamisa.
Hamisa yang juga Pengerusi Pembangunan dan Keluarga Parlimen Kalabakan berkata, aduan-aduan rasmi yang diterima terdapat pekerja-pekerja asing di negara ini dikurung, ditempatkan dalam kediaman yang amat daif, tidak dibayar gaji, bekerja tanpa rehat dan pasport mereka disimpan/dirampas majikan.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Penutupan Seminar Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 di Hotel Promenade, Tawau di sini kelmarin.
Kira-kira 140 peserta menghadiri seminar tersebut dan merupakan anjuran Majlis Penasihat Wanita Sabah.
Turut hadir Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah, Datuk Hajah Mariati Robert, wakil Presiden Majlis Perbandaran Tawau,  penceramah jemputan Dg. Rozahanie Rohani Awang Mokti yang juga Ahli Jawatankuasa Undang-Undang Majlis Penasihat Wanita Sabah.



No comments:

Post a Comment