Tuesday, 21 February 2012

300 kanak-kanak di Ulu Paitan buta huruf



TIDAK BERSEKOLAH ... Sebahagian kanak-kanak di Kampung Matanggal Baru di Ulu Paitan yang tidak dapat ke sekolah kerana masalah lokasi sekolah jauh dari kampung mereka.
RUBIAH MUADI ... hantar seorang anaknya berusia 10 tahun
di sekolah tidak formal di Estet Tujuh Ribu yang menyediakan kelas dan pembelajaran atas ehsan estet berkenaan.

PAITAN, (Beluran ): Kementerian Pelajaran perlu bertindak menangani masalah kesukaran anak-anak di empat kampung di Ulu Paitan untuk mendapatkan pendidikan disebabkan lokasi kampung mereka terletak jauh dari sekolah.
        


RICKSON DUNSUL ...
 hilang minat untuk
pergi ke sekolah.
 

Kampung terbabit adalah Matanggal Baru, Kaiboton, Kinadaan dan Tongkud yang kini ada penduduk di situ menghadapi masalah buta huruf kerana tidak dapat pergi ke sekolah dan anak-anak mereka dijangka mengikuti jejak mereka jika tidak mendapat pendidikan sepenuhnya.
        
Ahli Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee, berkata kaedah terbaik mengatasi masalah itu adalah dengan membina asrama desa bagi membolehkan mereka tinggal di kawasan berhampiran sekolah.
        
Katanya dianggarkan kira-kira 300 anak-anak penduduk di empat kampung tersebut yang berusia antara 7 hingga 17 tahun masih tidak memperoleh pendidikan formal yang disalurkan kerajaan.
        


"Kedudukan kampung yang jauh dari sekolah dan masalah perhubungan antara punca ibubapa tidak dapat menghantar anak-anak mereka untuk belajar di sekolah,” katanya dalam Majlis Mesra Rakyat di Kampung Matanggal Baru Ulu Paitan, baru-baru ini.
        

MASLIN IMPORAT ...
pemuda ini tidak
pernah menjejakkan
kaki ke alam persekolahan.
 
Katanya, pendekatan terbaik yang lain boleh dilakukan oleh Kementerian Pelajaran adalah dengan membina sekolah di kawasan berhampiran dengan empat kampung berkenaan tetapi ia merupakan perancangan masa yang panjang dan pembinaan sekolah adalah mengikut keutamaan keperluan.
       
Ronlad   berkata langkah terbaik  menangani masalah itu adalah dengan membina asrama desa di Sekolah Kebangsaan (SK) Binsulung dan SK Sungai-Sungai untuk menempatkan pelajar yang tinggal di kampung yang tidak mempunyai kemudahan sekolah.
        
Beliau berkata, perkara tersebut perlu dipandang serius dan diambil tindakan segera agar semua anak-anak penduduk kampung berkenaan dapat bersekolah sekaligus dapat mengeluarkan keluarga mereka daripada kepompong kemiskinan pada masa akan datang.
        
Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu juga  berkata, perkara itu sekiranya tidak diberi perhatian khusus, adalah tidak mustahil mereka akan terus berada dalam kepompong kemiskinan tegar seperti yang dialami sekarang.
        
Katanya, kerajaan tidak pernah mengabaikan penduduk luar bandar dalam aspek pendidikan, namun sekiranya anggota di Jabatan berkenaan tidak mengenal pasti masalah tersebut dengan kadar segera, ianya akan membantutkan usaha kerajaan dalam menyalurkan pendidikan formal kepada rakyat.
        

NORMI ROBINSON ... ibu muda ini tidak
pernah menjejakkan kaki ke sekolah.
 
Beliau berkata, kebanyakan jalan kampung di Ulu Paitan ketika ini hanya boleh dihubungi menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan mengambil masa lebih sejam untuk tiba ke sekolah berhampiran.
        
“Ada juga segelintir anak-anak penduduk kampung berkenaan menerima pendidikan tidak formal di sekolah yang diwujudkan atas ehsan estet swasta tetapi tidak fasih berbahasa Melayu,” katanya.
       
 Dalam pada itu, beberapa penduduk kampung yang ditemui turut menyuarakan masalah sama dan antara mereka adalah seorang ibu, Rubiah Muadi, 50, yang menyatakan, seorang anaknya yang berusia 10-tahun hanya belajar di sekolah tidak formal di Estet Tujuh Ribu yang menyediakan kelas dan pembelajaran atas ehsan estet berkenaan.
        
Katanya, beliau dan suaminya tidak mampu menghantar anaknya ke sekolah di Sk. Binsulung ekoran masalah perhubungan yang dihadapi.
        
Bagi seorang remaja, Maslin Imporat, 18, berkata dia tidak pernah menjejakkan kaki ke alam persekolahan sama ada sekolah rendah atau menengah kerana kedudukan sekolah yang jauh dari rumahnya.
        
Maslin ketika ini hanya bekerja membantu ibu bapanya di kebun untuk menampung kehidupan seharian.
        
Beliau yang juga mempunyai seorang adik perempuan berusia 17 tahun sehingga kini masih tidak pandai membaca atau mengira serta menulis.
        
Disebabkan masalah buat huruf yang mereka hadapi sekeluarga, beliau maminta kerajaan memandang serius masalah yang mereka alami agar generasi akan datang tidak mengalami masalah sama.
        
Berbeza dengan Rickson Dunsul, 11, kedudukan kampung yang jauh dari sekolah dan masalah perhubungan menyebabkan beliau hilang minat untuk pergi ke sekolah.
        
Rickson berkata, pada awalnya beliau bercita-cita menjadi seorang guru, namun melihat keadaan keluarga yang susah, beliau tidak mahu memaksa ibubapanya untuk meneruskan hasratnya bersekolah.
        
Rickson fasih menggunakan bahasa Sungai tetapi tidak mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik.
        
Seorang lagi ibu muda berusia 18 tahun, Normi Robinson, berkata telah mendirikan rumah tangga bersama suaminya sejak dua tahun lalu dan sebelum berkahwin beliau juga tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah untuk menerima pendidikan yang disalurkan kerajaan itu.
        
Beliau yang sedang menyusukan anaknya berusia sebulan ketika ditemui turut menerima nasib sama dengan remaja lain masih tidak pandai membaca atau menulis.
 mahupun mengira.
        
Katanya beliau berhasrat melihat anaknya bersekolah dan tidak mahu anaknya menjejaki keperitan hidup keluarga seperti yang dialami ketika ini.
        
Suara rakyat itu jelas menyatakan bahawa kemudahan yang diperlukan rakyat luar bandar ini bukan sahaja perlu dipertangungjawabkan sepenuhnya ke bahu wakil rakyat malah agensi berkaitan iaitu Kementerian Pelajaran melalui Jabatan Pelajaran Daerah perlu bersama-sama memikul menangani masalah tersebut untuk diselesaikan agar usaha melahirkan modal insan berkualiti dapat direalisasikan.
       
 Pada majlis mesra rakyat itu, selain bertemu penduduk setempat bagi mendengar masalah dialami penduduk, Ronald turut bekesempatan menyampaikan sumbangan berupa dua ribu keping zink kepada penduduk untuk membaiki rumah yang diduduki.
    

BANTUAN ... Ronald menyampaikan sumbangan zink kepada seorag penduduk Kampung Matanggal Baru Ulu Paitan.



No comments:

Post a Comment