SESIAPA yang mencipta, mengguna dan menyebarkan hadis ‘palsu’
dianggap telah melakukan pendustaan besar terhadap Nabi Muhammad SAW.
“Jika mereka ini berniat jahat, ia boleh menyebabkan umat
Islam hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap agama mereka,” kata Ketua
Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha di Kuala
Lumpur, kelmarin (27 Feb).
Sambil melahirkan rasa bimbang terhadap penggunaan hadis
palsu yang kini menular di Internet, beliau berkata ia boleh menyebabkan umat
Islam beramal dengan suatu syariat yang salah kerana hadis berkenaan tidak
berlandaskan sumber rujukan yang diperakui kesahihannya.
Othman berkata mereka yang terlibat menggunakan hadis daif
dan palsu disebarkan melalui blog atau laman sosial peribadi ini, kebanyakannya
tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai hadis.
“Ada pula yang tidak dapat membezakan antara kata-kata
sahabat atau hukamak (cendekiawan) dengan hadis Nabi. Mereka menganggap semua
itu sama sahaja daripada segi statusnya,” katanya.
Othman berkata hukum mengguna dan menyebarkan hadis palsu
adalah haram di samping bererti suatu pengkhianatan kepada syariat Islam itu
sendiri.
Beliau berkata jika hendak menyebarkan sesuatu hadis kepada
umum, sama ada melalui media cetak, media eletronik atau media baru, ia
mestilah terlebih dahulu merujuk kepada mereka yang arif tentang hadis atau
daripada sumber yang muktabar.
Kesalahan menyebarkan hadis palsu boleh dikenakan tindakan
mengikut pelbagai seksyen seperti mencerca agama dan penerbitan agama
bertentangan dengan hukum syarak.
Kesalahan ini terletak di bawah Akta Kesalahan Jenayah
Syariah Wilayah Persekutuan, Seksyen 13 (1).
Othman berkata tindakan boleh juga diambil mengikut
Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-negeri.
Memandangkan kesalahan ini dilakukan di alam siber, pihak
berkuasa agama negeri perlu mendapat kerjasama daripada pihak yang mempunyai
bidang kuasa dan kepakaran khususnya Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM), katanya.
Othman berkata penyebaran seumpama itu akan memberi kesan
yang besar kerana ia boleh diakses oleh sesiapa sahaja di serata tempat.
“Perbuatan ini seolah-olah menyebarkan fitnah dan pendustaan
terhadap Rasulullah SAW kepada seluruh umat manusia dan merosakkan aqidah umat
Islam dan kewibawaan nas-nas syarak itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan penelitian Jakim, masih banyak
kes yang berbentuk menghina Islam dan Rasulullah SAW yang dibuat secara
terang-terangan, namun ia sentiasa dipantau.
No comments:
Post a Comment