Friday, 10 February 2012

BN tagih undi golongan muda


KOTA MARUDU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepingin untuk mendapatkan sokongan total daripada pengundi  muda pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 ini untuk terus hidup, kata Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Kota Marudu, Redonah Bahanda.
Katanya, golongan mudalah yang lebih layak untuk menentukan masa depan negara.
Oleh itu, tambah Redonah, Puteri bahagian itu ligat bergerak untuk mendaftar ahli-ahli baru bagi memperkukuhkan barisan hadapan parti.
Ketika ini, katanya, Puteri Umno Kota Marudu bekerja keras mengemas kini data-data keahlian dan pengundi muda melalui bancian sikap di Parlimen Kota Marudu.
Redonah berkata, bancian sikap adalah gerak kerja dengan memberi khidmat kepada masyarakat sepertinya Barber On Wheel, ziarah kasih, menyusur akar dan juara rakyat.
Menurut Redonah, matlamat khidmat itu ialah mendidik dan menyedarkan golongan muda yang menjadi tumpuan dan sasaran parti-parti pembangkang menerusi media internet dan sebagainya.
“Dalam hal ini, adalah menjadi tanggungjawab Puteri untuk memperjelaskan isu sebenar kepada mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas Program Gunting Rambut Percuma untuk 36 kanak-kanak Tadika Kemas Kampung Sebayan, dekat sini, kelmarin.
Program Gunting Rambut Percuma itu bertujuan mendekati rakyat serta mengurangkan beban kewangan ibu bapa setiap kali musim baru persekolahan tiba.
Turut hadir Guru Tadika Kemas Kampung Sebayan, Sharifah Bayan, E & E Hair & Beauty Salon, kanak-kanak tadika dan Ahli Jawatankuasa Puteri Umno Kota Marudu.



ADA BAKAT ... Redonah menggunting rambut salah seorang kanak-kanak tadika Kemas sambil diperhatikan oleh rakan-rakannya.


ALBUM ... Redonah (berdiri, lima kanan) dan Sharifah berserta E & E hair & Beauty Salon, kanak-kanak tadika dan Ahli Jawatankuasa Puteri Umno Kota Marudu merakamkan gambar kenangan bersama kanak-kanak tadika.

No comments:

Post a Comment