KEDUDUKAN daerah Tenom yang berada jauh di pedalaman
memang tidak dapat dinafikan, justeru usaha yang dilakukan oleh Institut
Kemahiran Mara, Kota Kinabalu (IKMKK) dengan kerjasama Pergerakan Pemuda Umno
Tenom, Sabah yang diketuai oleh ketuanya, Jamawi Jaafar baru-baru ini telah
memberikan sedikit sinar baru kepada anak-anak muda di daerah ini untuk
melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran.
Kedatangan pihak IKM ke daerah Tenom amat di hargai oleh penduduk di sekitar daerah ini terutamanya yang tinggal jauh di pelusuk kampung.Mungkin bagi mereka yang mudah mendapat pendedahan dan peluang untuk melanjutkan pelajaran, usaha ini kurang diberikan perhatian dan penghargaan.
Walaupun terdapat segelintir pihak yang memandang rendah akan bidang kemahiran sebagai pendidikan kelas kedua namun hakikatnya kebanyakan negara-negara maju hari ini menganggap pendidikan teknikal dan vokasional dianggap sebagai satu kekuatan utama dalam sistem pendidikan di negara mereka.
Justeru tidak hairanlah negara hari ini memerlukan perubahan besar dan transformasi dalam pendidikan vokasional kerana pertumbuhan ekonomi nasional menuntut peningkatan bilangan graduan dalam bidang teknikal dan vokasional.
Pengarah IKM, Kota Kinabalu, Idris Alias, berkata sebab mengapa pelajar digalakkan memilih IKM adalah kerana 3 sebab iaitu kita menyediakan peluang-peluang untuk melanjutkan pelajaran daripada peringkat sijil sehingga ke peringkat ijazah, keperluan bekerja dan peluang untuk menjadi usahawan.
Katanya, di Sabah terdapat 3 institusi kemahiran iaitu satu daripadanya Institut
Kemahiran Mara (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP), dan Institut
Kemahiran Belia Negara (IKBN).
“Jika dibandingkan antara institut-institut kemahiran ini, 3 sebab utama
itulah antara perbezaan yang terdapat di IKM dengan institut kemahiran yang
lain.
“Sesiapa yang ingin melanjutkan pelajaran, kita ada Universiti Kuala Lumpur
(UniKL) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM).Dalam masa lima tahun sekiranya
kita ada semangat untuk belajar bersungguh-sungguh, adalah tidak mustahil untuk
kita berjaya dalam bidang ini selepas mendapat ijazah dengan keputusan minima
PNGK 2.0 di peringkat diploma”, jelasnya.
Idris berkata, Universiti Kuala Lumpur merupakan universiti yang ada
menyediakan pelbagai kemudahan yang lengkap kepada pelajar dalam bidang
kemahiran.Peluang untuk lulus adalah cerah kerana 70 peratus pembelajaran
adalah di bengkel dan selebihnya adalah teori.
“Ini bermakna bidang kemahiran atau vokasional ini adalah berkonsepkan
‘hands-on’ iaitu berdasarkan kepakaran tangan.Sekiranya kita mungkin kurang
minat atau cemerlang dalam bidang akademik, peluang masih ada dengan
menceburkan diri dalam bidang kemahiran kerana ia lebih memerlukan keupayaan
manual atau praktikal.
“Sesiapa yang mempunyai minat untuk menjadi usahawan atau ahli perniagaan,
MARA ada menyediakan pelbagai kemudahan seperti bantuan pinjaman, peruntukan
dan kursus keusahawan.
“Daerah Tenom adalah tempat yang pertama di Sabah, yang kita pilih untuk
datang dan menawarkan peluang-peluang yang ada di IKM kepada anak-anak muda di
daerah ini.
“Kita juga akan mengambil dua buah sekolah di daerah Tenom ini sebagai
sekolah angkat di mana kita akan menjalankan pelbagai aktiviti dan program di
sekolah ini termasuklah dengan masuk ke kampung-kampung untuk melakukan khidmat
masyarakat dalam kerja-kerja seperti mengecat bangunan, servis aircond,
memperbaiki enjin kereta, dan sebagainya yang pihak IKM sediakan dalam bidang
kemahiran bagi penduduk di daerah ini.
“Kita nak bantu pelajar-pelajar didaerah ini dengan peluang-peluang yang
disediakan oleh pihak kerajaan dan bantuan kewangan iaitu melalui MARA dengan
peluang melanjutkan pelajaran di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan
Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Menurutnya, ini terbukti dengan ramai pelajar-pelajar kita yang dilahirkan
oleh MARA telah berjaya dan mempunyai Ijazah.Pada peringkat awal, mungkin
mereka tercicir dalam bidang akademik tetapi apabila menceburi bidang
kemahiran, peluang untuk mendapat pekerjaan adalah lebih cerah berbanding
mereka yang tidak ada kemahiran tetapi bergantung kepada kelulusan akademik
semata-mata.
“Tetapi kita daripada awal sudah ada sijil dalam bidang kemahiran, sambung
kepada diploma dan ijazah kemahiran peluang untuk mendapat pekerjaan adalah
lebih baik.
“Walaubagaimanapun, perlu kita ingat bahawa kita kena kekalkan disiplin
kerana kita hendak melahirkan modal insan yang berintegriti untuk mencapai
Wawasan 2020 dalam melahirkan seramai mungkin usahawan-usahawan dan
pekerja-pekerja yang mahir.
“Dalam mewujudkan negara yang berpendapatan tinggi, kita memerlukan pekerja
mahir yang ramai kerana pada hari ini hanya sebanyak 20 peratus pekerja mahir
di negara kita sedangkan untuk mencapai matlamat negara maju kita sekurang-kurangnya
mempunyai pekerja mahir sebanyak 60 peratus bagi mencapai hasrat Kerajaan itu.
“Untuk mencapai matlamat itu, pada masa yang sama kita kena ada ilmu,
pengetahuan dan kemahiran.Untuk maju kehadapan, kita bukan setakat kena ada
keperibadian yang tinggi di mana adanya budi pekerti yang baik malah ini semua
akan diterapkan dalam pembelajaran di IKM nanti dalam sahsiah diri para
pelajar.
Tambahnya lagi, dengan adanya semangat belajar bersungguh-sungguh, segala
peluang dan kemudahan yang disediakan oleh IKM diharap dapat dimanfaatkan oleh
para peajar.Kita juga akan membuat perancangan agar para pelajar yang akan
masuk ke alam pekerjaan dapat diserap masuk bekerja disyarikat-syarikat yang
besar dan mempunyai kerja yang tetap.
“Kita mahu lihat program kita kali ini berjaya dan adanya sokongan daripada
ibubapa.Ibubapa juga kena mengambil berat terhadap pembelajaran anak-anak
selain tanggungjawab pihak IKM dalam menerapkan sahsiah dan nilai-nilai
insaniah dalam diri para pelajar agar setelah bekerja nanti mereka ini
mempunyai disiplin yang baik dan rajin bekerja,” kata Idris.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno Tenom, Sabili Ahunang, berkata bagi
pihak Pergerakan Pemuda Umno Tenom amat berterima kasih dengan keperihatinan
pihak IKM kerana memberi peluang kepada belia-belia di sini untuk mengikuti
kursus-kursus kemahiran yang ditawarkan oleh IKM.
Beliau berkata, melalui pembelajaran di IKM diharapkan akan dapat membantu
belia-belia di daerah ini menjadi pekerja yang mahir atau usahawan yang mana
akan dapat membantu dan mengubah keadaan keluarga apabila berjaya kelak.
“Kami Pergerakan Pemuda Umno Tenom akan terus membantu golongan belia di
daerah ini dalam pelbagai aspek dan kami juga akan dan telah menjalankan
berbagai-bagai aktiviti serta program yang bersesuaian bagi belia di daerah
ini.
“Tanpa dorongan dan galakan dari ibubapa juga mungkin agak sukar bagi
belia-belia di daerah ini mengikuti bidang yang mereka ingin ceburi dan minati.Hari
ini, generasi muda yang tidak berminat dalam pembelajaran akademik wajar
diberikan sokongan dan galakan untuk mengikuti latihan berbentuk skil dan
teknikal.
“Justeru, kepercayaan ibubapa terhadap pihak IKM dalam membantu golongan
belia di daerah ini untuk menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran amat
dihargai.
“Syabas dan tahniah kepada 13 orang pelajar yang telah berjaya ditawarkan untuk
mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan oleh IKM.Semoga peluang yang telah
diberikan ini dapat digunakan dengan sebaik yang mungkin untuk masa depan diri,
keluarga dan negara,” katanya.
TAWARAN ... Idris (dua, kiri) menyerahkan surat tawaran dan sumbangan wang saku daripada Pergerakan Pemuda Umno Tenom kepada salah seorang pelajar. |
No comments:
Post a Comment