Wednesday, 15 February 2012

KOLUMNIS AKHBAR MOHON PENGISYTIHARAN MAHKAMAH UNTUK IKTIRAF NCR


KOTA KINABALU, 15 Feb, (Bernama):  Seorang kolumnis akhbar setempat Marcel Jude hari ini memfailkan permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman terhadap Ketua Menteri Sabah dan kerajaan negeri Sabah, berhubung isu status Hak Tanah Adat (NCR) di Mahkamah Tinggi di sini.

Permohonan itu ditetapkan untuk pendengaran pada 9 pagi, 3 April di hadapan Hakim Datuk David Wong Dak Wah.

Dalam permohonannya, Marcel memohon perintah mandamus dan larangan untuk menghalang responden daripada menguatkuasakan dasar tidak akan mengiktiraf mana-mana tanah NCR yang wujud selepas 1930 atau NCR yang tidak dapat dibuktikan telah wujud sejak 1930.

Beliau juga memohon pengisytiharan untuk memberikan kuasa dan hak milik sah kepada NCR yang diwujudkan selepas 1930.

Permohonan bagi semakan kehakiman itu dibuat berikutan kenyataan yang dibuat pada minggu lepas oleh Peguam Besar Negeri Sabah bahawa untuk membolehkan tanah NCR disahkan, ia perlu dibuktikan telah wujud sejak 1930.

“Walaupun kenyataan itu mungkin dilihat sebagai sekadar kenyataan semata-mata, ia tidak sepatutnya dibuat,” kata Marcel.

Beliau berkata pegawai kerajaan, agensi dan badan pentadbiran akan menganggapnya sebagai peraturan atau dasar berikutan ia berasal daripada pejabat Peguam Besar Negeri Sabah, penasihat undang-undang kerajaan negeri.

“Daripada sekadar satu kenyataan ia akan secara automatik bertukar menjadi dasar kerajaan dan mungkin menjadi satu peraturan atau konvensyen. Adalah penting untuk perkara itu dihalang dari awal.

“Sebaik sahaja ia menjadi peraturan atau dasar, ianya sudah terlambat untuk mengubahnya dan akan mendatangkan kemudaratan ke atas NCR di negeri Sabah,” katanya.

Selepas memfailkan kesnya itu, Marcel mengeluarkan kenyataan menerusi e-melnya iaitu “kenyataan yang dibuat oleh Peguam Besar Negeri mengenai NCR minggu lepas bukan sekadar kenyataan peribadi tetapi mungkin kini mencerminkan dasar kerajaan negeri”.
“Malah ia akan bermakna akhirnya akan berlaku pemansuhan tanah NCR kerana tiada dokumentasi dibuat mengenai hak ini.

“Ia tidak mungkin ada kerana NCR bukan sebahagian hak yang mempunyai dokumen. Malah anda tidak boleh meletakkan sekatan untuk melindungi NCR. Tetapi berapa ramai orang boleh menunjukkan atau membuktikan NCR mereka wujud sejak 1930,”  katanya.

Marcel berkata kenyataan Peguam Besar Negeri itu tidak harus dilihat sekadar kenyataan semata-mata.

“Saya berikan contoh, sehari selepas kenyataan itu dibuat, mari kita andaikan satu pendengaran sedang diadakan di pejabat ACLR atau PPHT. Satu daripada pihak dalam pendengaran itu menuntut NCR yang dipertikaikan tetapi telah ditolak berikutan kenyataan Peguam Besar Negeri mengenai perkara itu dan ACLR dijangka mematuhi undang-undang sepertimana ditetapkan oleh Peguam Besar Negeri.

“Lagipun semua perkara berkaitan dengan undang-undang dan isu, pegawai kerajaan negeri akan mengikut pendapat atau kenyataan Peguam Besar Negeri,” katanya.- Bernama

No comments:

Post a Comment