Saturday, 11 February 2012

TIADA ‘TITIK PEMISAH’ DALAM STATUS TANAH NCR DI SABAH: DOMPOK


PENAMPANG, 11 Feb (Bernama): Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok menegaskan bahawa penduduk pribumi Sabah telah berkelana dan membangunkan sendiri sistem budaya mereka, termasuk pemilikan harta atau tanah, sejak sekian lama sebelum sistem perundangan diwujudkan ketika zaman penjajahan British.
Sehubungan itu, katanya budaya ini perlu dihormati, malah mahkamah telah menetapkan bahawa Tanah Hak Adat Negeri (NCR) tidak boleh dihapuskan oleh seseorang yang mentafsirkannya.
“Saya terpaksa mengatakan tidak bersetuju dengan pandangan Peguam Besar Sabah bahawa ‘tiada tanah NCR selepas 1930’.
Saya fikir penduduk pribumi telah pun berada di sini sejak sekian lama sebelum undang-undang itu digubal. Hanya setelah kedatangan British barulah undang-undang itu diwujudkan.
 “Jika kita lihat kepada peristilahan pribumi, pribumi bermaksud seseorang yang telah pun tinggal di satu-satu tempat itu sejak zaman berzaman. Saya fikir untuk menyatakan bahawa wujudnya titik pemisah adalah tidak tepat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kalendar dalam bahasa Kadazandusun di SK Putaton, dekat sini hari ini.
Dompok, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, diminta mengulas kenyataan Peguam Besar Sabah Datuk Roderic Fernandez semalam bahawa tiada tanah baru berstatus NCR yang akan diwujudkan memandangkan hanya tanah yang ‘masih’ diduduki oleh pribumi sebelum tarikh penguatkuasaan Ordinan Tanah Sabah (SLO) yang mendapat pengiktirafan status itu.
Fernandez turut dipetik sebagai berkata tiada peruntukan di bawah SLO bagi pribumi untuk menduduki tanah selepas 1930 dan kemudian menuntut status NCR, dan “pihak yang menuntut NCR hari ini mesti menunjukkan bukti pendudukan tanah itu sebelum 1931”.
Ditanya sama ada tafsiran Ferdandez terhadap peruntukan NCR dalam SLO mewakili pendirian kerajaan berhubung perkara itu, Dompok percaya ia hanyalah pendapat Peguam Besar Sabah.
“Peguam Besar Sabah perlu menyatakan dengan jelas kepada kerajaan negeri dan saya berharap beliau telah pun berbuat demikian... jika tidak ia akan meletakkan kerajaan dalam kedudukan yang tidak baik,” katanya.
Dompok berkata ini disebabkan penghapusan status NCR mungkin menimbulkan perasaan kurang senang kepada sekumpulan besar masyarakat, lebih-lebih lagi kalangan pribumi di Sabah. - Bernama

No comments:

Post a Comment