OLEH RAPHIEL
PINUS dan JOANES ROBERT JOHNNY
KOTA KINABALU: Kehadiran
pengutip bahan kitar semula disyaki warga asing yang berkampung di Tapak
Pelupusan Sampah Kayu Madang, di Telipok dekat sini kini mencecah jumlah 1,000
orang dan semakin tidak terkawal.
Jumlah warga
asing yang didakwa datang dari kawasan penempatan Telipok dan kampung berdekatan
ini juga dikatakan bertambah terutamanya pada musim cuti dan seolah-olah kini
menjadi ‘tuan’ di situ.
Anggaran kasar
mendapati jumlah kediaman yang didirikan di tapak pelupusan itu dianggarkan lebih
200 buah dan dijangka bertambah dari semasa ke semasa.
“Ada yang telah
beranak-pinak dan membawa keluarga mereka menetap di rumah yang didirikan di
celah-celah sampah di sini
“Bayangkan jika
sebuah rumah didiami 10 orang, tidak mustahil tempat ini menjadi ‘kampung’ dan
kepunyaan mereka di masa akan datang,” kata seorang daripada kakitangan di
tapak pelupusan berkenaan.
Keadaan itu
didakwa lebih meruncing sejak 2007 sehingga kakitangan terhad di pusat
pelupusan berkenaan tidak mampu berbuat apa-apa.
Ekoran masalah
dihadapi, kakitangan terbabit memberitahu pihaknya telah berulang kali membuat
laporan polis dan pihak berwajib yang lain untuk memantau kawasan itu, namun
sehingga kini tiada sebarang tindakan berkesan dilakukan.
Berdasarkan kenyataan
sumber berita, warga asing ini bukan sahaja mengganggu proses pengurusan
pembuangan sampah tetapi juga semakin berani dengan mengugut para pekerja yang
menyelia tapak itu sama ada cemuhan mahupun ancaman menimbulkan ketakutan dan
sebagainya kerana ditegur kerana mengganggu kerja-kerja pelupusan sampah oleh
para petugas.
Antara perbuatan
tidak bertanggungjawab pengutip sampah ini, mereka sesuka hati menyelongkar semula
sampah yang telah disusun oleh para pekerja Dewan Bandaraya Kota Kinabalu
(DBKK) dan membiarkannya bertaburan.
Dimaklumkan,
terdapat pengutip sampah itu membawa peralatan memasak antaranya tong dan dapur
gas yang dikhuatiri boleh mengakibatkan kebakaran.
“Kami juga bimbang
dengan sikap segelintir pengutip sampah ini yang sering mengugut pekerja kami
dengan perkataan ‘tapau’ (difahami sebagai satu ugutan menimbulkan rasa gerun),
mengajak ‘sparring’ (berlawan) dan pelbagai lagi,” kata mereka.
Katanya, jika dilarang
untuk menggunakan sumber air di pondok penyeliaan sampah berkenaan, para pengutip
sampah kitar semula bertindak merosakkan harta benda kepunyaan DBKK di situ.
Lebih
mengejutkan, seorang pekerja di tapak itu yang enggan namanya disiarkan turut
memberitahu bahawa mereka juga pernah menemui mayat bayi di kawasan pembuangan
sampah berkenaan selain daripada pergaduhan kerana bersaing.
“Mereka (pengutip
bahan kitar semula) juga sebenarnya terdedah kepada bahaya kerana selain
daripada benda-benda tajam yang dibuang di sini, ada kalanya mereka ini terlalu ‘teruja’ apabila melihat lori dengan
muatan ‘barang baru’ yang masuk sehingga mengabaikan keselamatan.
“Sebelum sempat
lori menumpahkan muatan, terdapat kalangan mereka yang terlebih dahulu menaiki
lori berkenaan dalam usaha berebut ‘hasil’,” katanya lagi.
Wartawan New
Sabah Times yang meninjau keadaan di pusat berkenaan kelmarin turut berasa tidak
selesa apabila kehadiran di tapak pelupusan seolah tidak disenangi pengutip
sampah di situ.
Dalam tinjauan
itu, selain daripada ratusan pondok kecil dijadikan kediaman, turut didapati
terdapat penghuni di sana yang menjaja makanan di lokasi sebagai persinggahan
‘penduduk’ di situ.
Pembukaan
operasi sebuah kilang kitar semula berdekatan kawasan tapak itu dipercayai telah
menggalakkan lebih ramai pengutip bahan kitar semula menjadikan pusat pelupusan
berkenaan sebagai ‘lubuk’ mata pencarian.
Sementara itu, Penyelia
Tapak Pelupusan Sampah Kayu Madang, Richard Phan ketika dihubungi memberitahu, purata
jumlah kemasukan lori sampah ke tapak yang beroperasi 24 jam itu sebanyak 300
sehari.
“Itu belum
termasuk kenderaan persendirian yang menghantar sampah mereka. Selain itu, ada
kalangan pengutip bahan kitar semula yang turut membawa masuk kenderaan mereka
sehingga menyebabkan kesesakan,” tambahnya.
Lebih
mengecewakan, terdapat dakwaan bahawa segelintir penduduk termasuk pemimpin
kampung bukan sahaja menutup sebelah mata berhubung kebanjiran warga asing di
kawasan mereka malah bersekongkol dengan menyewakan tanah dan rumah mereka
kepada warga asing terdiri daripada Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati).
Justeru, beliau
memohon kepada pihak berkuasa khususnya Jabatan Imigresen mengadakan operasi
bersepadu bersama agensi dan pihak berkaitan yang lain untuk mengambil tindakan
serius bagi menghalang kebanjiran warga asing yang berkampung di Kayu Madang terutamanya
mereka yang tidak memiliki dokumen sah.
No comments:
Post a Comment