KOTA KINABALU, 29 Feb: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee membayar RM1 juta kepada
bekas Ketua Menteri Tan Sri Harris Salleh kerana memfitnah beliau berhubung
nahas pesawat pada 6 Jun 1976 yang mengorbankan Ketua Menteri ketika itu Tun
Mohd Fuad Stephens dan 10 yang lain.
Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli,
berkata Yong bertindak di luar batasan dengan menyatakan bahawa “terdapat darah
di tangan Harris” walaupun tidak salah bagi Yong meminta supaya satu siasatan
semula diadakan berhubung tragedi itu.
Katanya beliau mendapati perkataan “jenayah” dan “pembunuhan”
yang digunakan oleh Yong adalah satu fitnah terhadap Harris, yang mencetuskan
spekulasi kononnya Harris tahu lebih awal bahawa sesuatu yang buruk akan
menimpa pesawat jenis Nomad itu dan beliau (Harris) membiarkan Tun Fuad mati
agar beliau dapat menjadi Ketua Menteri Sabah.
Harris memfailkan saman RM50 juta terhadap Yong sebagai
defendan pertama, dan SAPP selaku defendan kedua, kerana mendakwa kononnya
beliau ada kaitan dengan punca pesawat itu terhempas.
Hakim Abdul Rahman berkata beliau berpendapat RM1 juta
merupakan jumlah yang adil dan wajar dengan mengambil kira semua aspek kes itu
termasuk perilaku defendan dan juga hujahannya yang masih lagi memburukkan
keperibadian dan kewibawaan Harris.
“(Perbuatan) ini amat kejam terhadap plaintif,” katanya.
Mahkamah juga memerintahkan Yong membayar faedah lapan
peratus ke atas jumlah yang dikenakan itu sehingga ianya dilangsaikan.
Yong kelihatan tenang dan tersenyum ketika penghakiman
dibuat manakala Harris tidak hadir.
Hakim Abdul Rahman berkata apabila Yong mendakwa “terdapat
darah di tangan Harris” dan ini perlu disiasat kerana mungkin ada unsur
jenayah, hanya berdasarkan apa yang dianggap sebagai “maklumat baru” yang
diberikan oleh Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, Yong telah
bertindak di luar batasan tanpa dapat membezakan antara ulasan adil dan sesuatu
yang berniat jahat.
Pada hari pertama perbicaraan pada 16 Nov tahun lepas,
Harris memberitahu mahkamah bahawa Yong telah tersalah dalam membuat kenyataan,
fakta dan takrif, dengan meminta supaya tragedi itu disiasat semula bagi
menghapuskan sebarang keraguan mengenai punca sebenar nahas itu selepas
keterangan Tengku Razaleigh tentang bagaimana beliau (Tengku Razaleigh) tidak
menaiki pesawat itu di saat akhir dan ini telah menyelamatkan nyawa beliau.
Mahkamah menolak permohonan Yong dan SAPP bagi menangguhkan
pelaksanaan perintah itu sehingga rayuan dibuat kerana kedua-dua defendan itu
tidak dapat memberikan alasan luar biasa bagi mewajarkan penangguhan itu.
Yong dan SAPP diwakili peguam Datuk Simon Shim manakala
Yunof Maringking mewakili Harris.
Perbicaraan selesai pada 23 Dis tahun lepas.-Bernama
No comments:
Post a Comment