Saturday, 11 February 2012

Ghapur berang


TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh dengan nada keras mahu pihak polis bertindak tegas mengekang dan membanteras aktiviti perjudian haram mesin slot dan wahui di daerah ini.
Beliau kesal kerana masih wujud premis-premis judi haram di beberapa tempat di daerah ini dan menunjukkan pihak berkuasa terbabit lemah dalam penguatkuasannya.
“Saya tidak tahu kenapa aktiviti-aktiviti sebegini masih berlaku walaupun ia pernah disuarakan. Saya sendiri juga terpaksa membawa hal ini ke Parlimen dan ke pengetahuan YB Menteri berkaitan untuk tujuan tindakan.”
“Kalau tidak, masalah kewujudan premis-premis ini tidak akan berakhir sekaligus dan boleh menjahanamkan pemikiran generasi muda,” katanya dalam kenyataannya.
Menurutnya lagi, beliau ada terbaca di akhbar tentang individu yang dihadapkan ke mahkamah kerana terlibat dalam pengendalian mesin slot, tetapi ia melibatkan pekerja dan bukannya pemilik sebenar aktiviti itu.
“Saya ada terbaca di akhbar tentang tindakan polis, tetapi yang saya nampak kena tindakan ialah pekerja dan bukan majikan. Mengapa pula mereka yang jadi sasaran?”
“Sepatutnya majikan atau pemilik premis terlibat yang dikenakan tindakan keras,” katanya.
Berikutan itu, beliau menggesa pihak polis supaya serius membanteras judi haram di daerah ini dan beliau juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar campur tangan menyiasat isu berkenaan.

No comments:

Post a Comment