MELAKA, 24 Feb: Surat
yang diutuskan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada dua
pemimpin Israel akan didedahkan kepada umum jika tiada kemudaratan kepada
negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib berkata beliau telah meminta Wisma Putra untuk
menyemak semula surat tersebut dan memberi ulasan sama ada ia boleh didedahkan.
“Saya fikir kalau tidak ada apa-apa kemudaratan kepada
negara, tidak ada sebab kita tidak boleh siarkan surat itu secara terbuka
lebih-lebih lagi kerana pihak pembangkang cuba menimbulkan kekeliruan dan
mempertikaikan surat tersebut,” katanya kepada pemberita selepas membuat
tinjauan mesra di sekitar bandar Melaka di sini, hari ini.
Beliau berkata pihak pembangkang sudah tersepit dengan
kenyataan seorang pemimpin mereka yang menyokong usaha menjamin keselamatan
Israel.
“Ini adalah satu sokongan yang ‘unqualified’ sebenarnya yang
mana kenyataan itu sudah menimbulkan kemarahan yang begitu ketara dalam
kalangan rakyat Malaysia.
“Jadi sekarang ini mereka cuba nak mencari alasan kononnya
kita ada hubungan dan ada membuat sesuatu dengan kerajaan Israel dan
sebagainya,” kata Najib.
Beliau berkata usaha
perlu dibuat untuk menghilangkan salah tanggapan yang cuba dibangkitkan
pembangkang.
Dr Mahathir dilaporkan mengakui pernah berutus surat dengan
dua Perdana Menteri Israel ketika beliau menerajui kerajaan bagi menegaskan
bahawa rakyat Malaysia tidak mengiktiraf rejim Zionis yang menindas rakyat
Palestin.
Dr Mahathir berkata beliau masih menyimpan surat berkenaan
dan mendakwa tidak tahu kenapa kerajaan tidak membenarkan kandungannya
disiarkan.
Kerajaan PAS Kedah berkocak
Mengulas laporan berhubung keengganan beberapa Exco kanan
kerajaan PAS Kedah untuk dilantik semula kerana dikatakan tidak berpuas hati
dengan corak pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Najib
menyifatkan ia masalah dalaman parti itu.
“Pada masa sekarang ini kita tengok apa yang berlaku sebab
nampaknya pergolakan itu semakin hangat dan semakin serius, bagaimanapun kita
tunggu dululah apa yang berlaku pada 28 Feb nanti,” katanya yang merujuk kepada
tarikh pelantikan semula anggota Exco Kedah yang dijadual berlangsung di Istana
Anak Bukit. - Bernama
No comments:
Post a Comment